Skip to main content

Singapura

SIA, SilkAir perkenalkan struktur tambang baru mulai Jan 2018

Syarikat Penerbangan Singapore Airlines dan SilkAir memperkenalkan beberapa perubahan pada struktur tambang tiket mulai bulan depan, menurut syarikat-syarikat penerbangan tersebut dalam satu kenyataan media bersama hari ini (15 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Dec 2017 02:06PM Dikemas Kini : 15 Dec 2017 09:41PM

SINGAPURA: Syarikat Penerbangan Singapore Airlines dan SilkAir memperkenalkan beberapa perubahan pada struktur tambang tiket mulai bulan depan, menurut syarikat-syarikat penerbangan tersebut dalam satu kenyataan media bersama hari ini (15 Dis).

Perubahan harga tiket penerbangan itu melibatkan pemilihan awal tempat duduk, program KrisFlyer miles dan elaun bagasi.

Struktur tambang baru itu akan diperkenalkan pada 20 Januari tahun depan bagi semua tiket yang dijual di merata dunia.

Para pelanggan boleh memilih antara tiga jenis tambang - Lite, Standard dan Flexi ketika menempah tiket.

BAYARAN BAGI PILIHAN TEMPAT DUDUK

Di bawah sistem tambang baru itu, mereka yang memilih kelas Ekonomi kini harus bayar untuk pemilihan awal tempat duduk (iaitu satu pilihan yang disediakan dengan percuma buat masa ini bagi semua tempahan Ekonomi) sekiranya mereka memilih jenis tambang Lite iaitu kategori yang paling rendah.

Para penumpang harus membayar AS$5 (S$6.70) bagi setiap segmen penerbangan, menurut kenyataan media itu.

Namun, pemilihan tempat duduk lebih awal masih tetap disediakan dengan percuma bagi keluarga yang mempunyai anak bawah 12 tahun dalam tempahan yang sama.

Mereka yang memilih tambang Standard ataupun Flexi tidak perlu membuat bayaran bagi pemilihan tempat duduk lebih awal. Bagaimanapun, ada kategori tempat duduk "zon depan" yang akan dikenakan tambang Standard.

Bayaran juga dikenakan untuk ruang kaki tambahan (sebelum ini ia dikenali sebagai tempat duduk pilihan) bagi tambang Ekonomi dan Ekonomi Premium sekiranya mereka bukan anggota Kelab PPS.

Semua pelanggan, tidak kira jenis tambang, boleh memilih tempat duduk secara percuma ketika mendaftar masuk melalui internet sehingga 48 jam sebelum mereka berangkat, tambah syarikat itu.

Selain itu, mereka yang memilih jenis tambang Flexi bagi tempahan Ekonomi akan mendapat berat bagasi yang dibenarkan sebanyak 35 kilogram. Bagi tambang Lite dan Standard pula ia kekal, 30 kilogram.

Anggota Kelab PPS dan KrisFlyer Elite boleh menikmati tawaran istimewa di bawah struktur tambang baru itu termasuk berat bagasi yang dibenarkan untuk semua kelas.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman syarikat penerbangan itu.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita