SIA siasat wanita hilang 76,000 KrisFlyer miles, dipercayai digodam
Apabila pengurus besar, Cik Sherie Low, 34 tahun, log masuk ke akaun KrisFlyer Ahad lalu (15 Apr), beliau mendapati bahawa sebahagian besar KrisFlyer ‘miles’ yang dikumpulnya sudah digunakan oleh empat individu warga Rusia yang tidak dikenalinya.
Petikan skrin potongan miles dalam akaun Cik Sherie Low.
SINGAPURA: Apabila pengurus besar, Cik Sherie Low, 34 tahun, log masuk ke akaun KrisFlyer Ahad lalu (15 Apr), beliau mendapati bahawa sebahagian besar KrisFlyer ‘miles’ yang dikumpulnya sudah digunakan oleh empat individu warga Rusia yang tidak dikenalinya.
Beliau hanya tinggal 769 daripada 76,769 miles yang diperolehi sebelum ini.
Cik Low yang pertama kali mendaftar untuk akaun program 'frequent flyer' Singapore Airlines (SIA) 10 tahun lalu, memberitahu Mediacorp bahawa kali terakhir beliau logmasuk ke akaunnya untuk mendapatkan miles adalah pada pertengahan Mac lalu.
Sejurus kemudian, antara 24 Mac dengan 25 Mac, empat urus niaga dilakukan untuk menebus KrisFlyer miles dalam akaunnya bagi penerbangan Lufthansa dari Frankfurt, Jerman ke Saint Petersburg, masing-masing bagi 12,500 ‘miles’. Selain itu, 26,000 ‘miles’ pula ditukar menjadi mata terkumpul bagi program 'frequent flyer' Velocity kendalian Virgin Australia.
Urus niaga itu dilakukan oleh empat individu - Cik Kseniia Migel, Cik Elena Migel, Encik Matvei Kotliar dan Encik Andrei Migel - yang memegang pasport Rusia.
SINGAPORE AIRLINES SIASAT INSIDEN
Menjawab pertanyaan Mediacorp, SIA menyatakan: "Singapore Airlines mengesahkan bahawa kami menerima aduan daripada anggota KrisFlyer kami yang hilang KrisFlyer miles. Kami sedang menyiasat isu tersebut dan akan menghubungi pelanggan itu secara langsung.
"Singapore Airlines juga maklum bahawa sesetengah akaun anggota KrisFlyer mungkin terjejas. Kami sedang memantau akaun-akaun ini dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang relevan dalam siasatan mereka jika perlu.
"Kami juga sudah menghubungi anggota yang terjejas dan menasihati mereka agar mengambil pelbagai langkah untuk mengelakkan maklumat mereka dicuri. Ini termasuk menggunakan kata laluan yang lebih kukuh, menukar kata laluan dengan lebih kerap, menggunakan program antivirus yang diyakini dan log masuk akaun KrisFlyer hanya menerusi laman rasmi SIA di www.singaporeair.com".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.