SIA, Scoot akan beroperasi dari Terminal 5 Lapangan Terbang Changi apabila ia dibuka
Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) dan Scoot akan beroperasi dari Terminal 5 di Lapangan Terbang Changi apabila ia dibuka kelak.

Gambar fail yang menunjukkan pesawat Singapore Airlines di Lapangan Terbang Changi.
Terminal baharu itu dijangka mengendalikan sekitar 50 juta penumpang dalam setahun pada fasa pertama pembukaannya pada pertengahan tahun 2030-an, menurut Changi Airport Group (CAG) dalam satu kenyataan media bagi majlis pecah tanah pada Rabu (14 Mei).
Dalam kenyataannya pula, Singapore Airlines Group menyatakan ia akan menggabungkan operasi SIA dan Scoot di bawah satu bumbung di terminal baharu itu apabila ia dibuka, "sekali gus menyediakan ruang bagi pertumbuhan masa depan kami dan meningkatkan sinergi operasi".
Kumpulan itu akan keluar dari Terminal 1, 2 dan 3 apabila ia berpindah ke Terminal 5.
Sementara itu, SIA Group akan "terus melabur dalam operasinya" di ketiga-tiga terminal tersebut, menurut syarikat itu.
"Kami komited untuk bekerja rapat dengan Changi Airport Group bagi memastikan Terminal 5 menyediakan pengalaman bertaraf dunia untuk para pelawat apabila mereka tiba, berlepas atau membuat persinggahan di tanah air kita," ia menambah.
SIA Group juga mengalu-alukan peluasan Lapangan Terbang Changi.
"Ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Singapura sebagai hab udara global utama, untuk mempertingkatkan ketersambungan dan daya tarikan jangka panjang negara ini sebagai sebuah bandar antarabangsa," ia menambah.
Pembinaan Terminal 5 pertama kali diumumkan pada 2013 dan projek itu ditunda selama dua tahun semasa pandemik COVID-19.
Terminal baharu itu akan dilengkapi "sistem lapangan terbang yang canggih dan penggunaan automasi secara meluas", yang akan membolehkan Lapangan Terbang Changi meningkatkan kapasiti pengendaliannya dan mengoptimumkan operasinya, menurut CAG pada Rabu.
Terminal 5 juga akan menempatkan sebuah pusat pengangkutan darat yang menyediakan khidmat bas, kereta api, teksi dan pengangkutan lain.
Terdapat juga rancangan untuk melanjutkan laluan MRT Thomson-East Coast dan Rentas Pulau (CRL) ke Terminal 5 untuk menghubungkannya ke pusat bandar Singapura dan "hab-hab utama yang lain".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.