Skip to main content

Singapura

SIA sambung semula penerbangan ke 4 lagi destinasi bulan depan

Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) akan menyambung semula penerbangan ke Dubai, Lapangan Terbang Haneda di Tokyo, Mosko dan Munich mulai Januari.

Anggaran Waktu Membaca:
SIA sambung semula penerbangan ke 4 lagi destinasi bulan depan

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 18 Dec 2020 06:52PM Dikemas Kini : 18 Dec 2020 06:54PM

SINGAPURA: Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) akan menyambung semula penerbangan ke Dubai, Lapangan Terbang Haneda di Tokyo, Mosko dan Munich mulai Januari.

Demikian menurut SIA hari ini (18 Dis).

Ia juga juga akan menambah kekerapan penerbangan sedia ada ke beberapa destinasi di Amerika Syarikat, Eropah dan Afrika Selatan, mulai Januari.

Dalam catatan di laman Facebooknya, SIA menyatakan perubahan juga akan dilakukan pada jadual penerbangan syarikat serantaunya iaitu SilkAir dan penerbangan tambang murah Scoot.

Perubahan itu adalah sebahagian daripada "semakan terperinci" untuk menentukan syarikat penerbangan yang mana dalam portfolio kumpulan syarikat SIA Group yang "paling sesuai untuk memenuhi permintaan yang sentiasa berubah-ubah daripada penumpang dan juga permintaan kargo," menurut SIA.

Lantaran perubahan itu, jumlah penumpang yang akan ditampung oleh SIA Group dijangka mencecah 25 peratus daripada jumlah sebelum COVID-19 menjelang hujung bulan Mac depan.

SIA Group terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 disebabkan sekatan-sekatan sempadan di merata dunia. Kumpulan itu malah memotong gaji dan memberhentikan ribuan kakitangannya.

Bulan lalu, ia melaporkan kerugian bersih separuh pertama sebanyak S$3.5 bilion, sedang jumlah penumpang menjunam.

Jumlah penumpang dalam bulan November pula merosot 97.7 peratus dari tahun ke tahun, lapor SIA Group Selasa lalu (15 Dis).

Ia sedang berusaha untuk "memulihkan keadaan secara bertahap-tahap" bagi operasi penumpang sedang negara-negara dan rantau ini meneroka cara untuk membuka semula sempadan dengan selamat, dengan protokol sesuai dilaksanakan, tambah SIA Group pada Selasa lalu.

Pembangunan dan pengagihan vaksin juga menyokong "unjuran optimistik" bagi perjalanan udara kembali pulih," tambah SIA Group.

Awal bulan ini, SIA menyatakan ia akan mengutamakan muatan kargo bagi penghantaran vaksin COVID-19 sebaik sahaja vaksin tersebut sedia ada.

Sebagai sebahagian daripada semakan yang dijalankan, khidmat penerbangan Scoot ke Kuala Lumpur, Manila dan Perth akan digantung sementara, manakala SIA dan SilkAir akan menambah kekerapan penerbangan bagi laluan-laluan tersebut, menurut SIA hari ini.

Dalam masa yang sama, SIA dan SilkAir akan menggantung sementara khidmat ke Pulau Pinang, Surabaya dan Taipei sementara Scoot akan terus beroperasi ke destinasi-destinasi tersebut dengan lebih kerap.

Penerbangan-penerbangan yang pada mulanya dijadualkan beroperasi dalam bulan Disember sehingga Mac tetapi tidak disenaraikan dalam jadual penerbangan akan dibatalkan dan penumpang akan dimaklumkan menerusi SMS dan kiriman emel, menurut SIA.

Para penumpang yang terjejas akan dapat mengekalkan nilai penuh tiket yang tidak digunakan sebagai kredit penerbangan, menurut SIA lagi.

Kredit penerbangan bonus juga akan diberikan apabila mereka menempah semula penerbangan mereka.

Sebelum ini SIA menambah Brunei, Fukuoka, New York dan Shenzhen dalam rangkaiannya, menjadikan jumlah destinasi penerbangan syarikat itu kepada 36 bandar, sementara SilkAir menambah Kathmandu ke dalam senarai destinasi.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita