SIA mohon maaf selepas penerbangan ke New Delhi tertangguh 17 jam; ikrar perbaiki khidmat
Syarikat penerbangan Singapore Airlines memohon maaf atas kesulitan yang dialami para penumpang akibat satu isu teknikal.
Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA). (Gambar: AFP/ROSLAN RAHMAN)
Syarikat penerbangan Singapore Airlines memohon maaf atas kesulitan yang dialami para penumpang akibat satu isu teknikal.
Isu tersebut menyebabkan penerbangan tertangguh selama hampir 17 jam sebelum pesawat berlepas.
Jumaat lalu, pesawat SQ406 dari Singapura ke New Delhi dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Changi pada 4.25 petang.
Sebaliknya ia berangkat pada 9.23 pagi pada keesokan hari.
Penangguhan itu membuat seorang penumpang bernama Deep Roy di Facebook naik berang. Beliau memuat naik catatan di laman Facebook SIA dan menyifatkan penangguhan itu sebagai satu "pengalaman yang sangat buruk" kerana terpaksa menunggu lama dan tidak diberikan maklumat lengkap mengenai apa yang berlaku.
Menurutnya, disebabkan oleh penerbangannya yang tertangguh, beliau tidak berpeluang untuk menghadiri majlis penyampaian anugerah anaknya.
Beliau juga berjanji tidak akan menaiki pesawat SIA lagi dan meminta syarikat itu memberikan bayaran balik penuh dan permohonan maaf atas pengalaman buruk itu.
Menjawab pertanyaan Mediacorp semalam, SIA menyatakan bahawa penerbangan itu pada mulanya tertangguh akibat cuaca buruk di sini.
Sejurus selepas pesawat itu bergerak dari pintu masuk naik pesawat pada 6.05 petang, anak kapalnya dimaklumkan mengenai satu isu teknikal melibatkan sistem brek pesawat tersebut.
Lantaran itu, pesawat berkenaan terpaksa berpatah balik ke pintu masuk atas sebab keselamatan.
Para jurutera kemudian memeriksa pesawat itu, menggantikan dua komponen dan menjalankan ujian tetapi tidak dapat mengesan sebarang kerosakan.
Para penumpang kemudian dipelawa untuk menaiki pesawat itu sekali lagi.
Menurut SIA, tanda kerosakan dipaparkan sekali lagi semasa pesawat itu ditolak dari pintu buat kali kedua pada pukul 11.30 malam.
Oleh demikian, pesawat itu terpaksa kembali ke pintu berkenaan.
Keputusan dibuat pada pukul 1.17 pagi untuk melakukan penerbangan menggunakan pesawat lain, yang hanya boleh berlepas pada pukul 7.30 pagi pada keesokan harinya.
Setelah pesawat SQ406 meninggalkan pintu itu buat kali ketiga pada keesokan hari, sebilangan penumpang memberitahu anak kapal bahawa mereka tidak sihat dan mahu turun dari pesawat, menurut SIA.
Pesawat itu kemudian perlu kembali ke pintu sekali lagi untuk menurunkan para penumpang dan anggota keluarga mereka serta mengeluarkan bagasi mereka.
Akhirnya, pesawat itu berlepas pada pukul 9.23 pagi - hampir 17 jam daripada yang dijadualkan - dan mendarat di New Delhi pada pukul 12.18 tengah hari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.