Skip to main content

Singapura

SIA laksanakan langkah keselamatan tambahan COVID-19 jelang penerbangan disambung

Mulai Isnin (8 Jun), penumpang di semua penerbangan syarikat kumpulan SIA akan diberi satu kit yang mengandungi pelitup pembedahan, tisu anti-bakteria dan sanitiser tangan, menurut SIA dalam satu kenyataan media pada Ahad (7 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
SIA laksanakan langkah keselamatan tambahan COVID-19 jelang penerbangan disambung

Gambar fail pesawat Scoot, Silkair dan SIA di landasan Lapangan Terbang Changi (Gambar: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 07 Jun 2020 03:20PM Dikemas Kini : 07 Jun 2020 03:30PM

SINGAPURA: Mulai Isnin (8 Jun), penumpang di semua penerbangan syarikat kumpulan SIA akan diberi satu kit yang mengandungi pelitup pembedahan, tisu anti-bakteria dan sanitiser tangan, menurut SIA dalam satu kenyataan media pada Ahad (7 Jun).

Kit kebersihan diri tersebut antara protokol baru yang dilaksanakan syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA), SilkAir dan Scoot di bawah langkah keselamatan yang dipertingkat jelang pelancaran semula perjalanan udara bagi melindungi penumpang dan anak kapal di tengah pandemik COVID-19, kata kumpulan syarikat itu.

Ini setelah SIA dan SilkAir mengumumkan akan menyambung semula penerbangan ke beberapa destinasi pada Jun dan Julai, selain operasi transit bermula di Lapangan Terbang Changi.

Sejajar dengan itu, kerja-kerja membersihkan pesawat dan ruang menunggu ditingkatkan, menurut syarikat penerbangan kebangsaan itu.

SIA menyatakan ia juga akan menguji prosedur membersihkan tandasnya dengan menggunakan cahaya ultra-ungu setelah mendarat sebelum setiap penerbangan.

Sejak 10 Mei lalu, penumpang dikehendaki memakai pelitup semasa berada dalam pesawat dan mematuhi jarak selamat apabila naik dan turun serta ketika beratur untuk ke tandas.

SCOOT GANTUNG PEMILIHAN TEMPAT DUDUK

Beberapa produk dan perkhidmatan tertentu Scoot akan digantung untuk mengurangkan keperluan kontak antara anak kapal dan pelanggan serta memudahkan pengesanan kontak, menurut anak syarikat SIA itu pada Ahad.

Ini termasuk keutamaan menaiki pesawat, ruang tambahan bagi beg, pilihan tempat duduk dalam penerbangan, belanja bebas cukai dalam penerbangan dan pembelian makanan dan minuman.

Pemilihan tempat duduk secara online juga digantung, dengan pelanggan diperuntuk tempat duduk semasa mereka mendaftar masuk, menurut Scoot.

"Seberapa mungkin, Scoot akan cuba untuk menempatkan pelanggan yang melakukan penerbangan dengan keluarga, atau pelanggan dalam tempahan sama, untuk duduk berhampiran," tambah syarikat penerbangan itu. "Pelanggan tidak boleh menukar tempat duduk semasa dalam penerbangan."

Syarikat penerbangan itu juga memperkenalkan sekatan bagasi kabin. Sebelum ini, Scoot membenarkan bagasi kabin hingga 10kg bagi Kelas Ekonomi.

Namun, mulai 1 Jun, pelanggan hanya dibenarkan membawa satu beg tidak lebih 3kg, yang boleh muat di bawah tempat duduk di hadapan mereka. Baki 7kg bagasi boleh didaftar masuk ke dalam pesawat tanpa sebarang kos.

Pelanggan juga akan diminta untuk mengisi borang pengisytiharan kesihatan sebelum mendaftar masuk.

Borang boleh diisi di kiosk daftar masuk Scoot atau melalui borang online yang boleh diakses melalui pemberitahuan SMS 24 jam sebelum berangkat.

SIA juga mencari huraian lanjut seperti e-menu dalam penerbangan dan perkhidmatan pesanan makanan digital di ruang rehat, yang akan diperkenalkan dalam beberapa bulan mendatang.

Ia juga sedang membangunkan khidmat "Print-n-Go" atau "Cetak dan Pergi" untuk membolehkan pelanggan mencetak pas masuk dan tag bagasi di kiosk layan diri lapangan terbang dengan cara tanpa sentuhan, melalui aplikasi SingaporeAir atau kod QR.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita