Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SIA Group tambah penerbangan ke Jepun, HK, Taiwan bagi penuhi 'permintaan tinggi'

"Ini akan membolehkan SIA dan Scoot untuk memenuhi permintaan tinggi bagi perjalanan antarabangsa, terutama sekali menjelang musim cuti hujung tahun dan pada suku pertama 2023," kata kumpulan syarikat SIA itu.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kumpulan syarikat Singapore Airlines (SIA Group) menambah penerbangan ke destinasi-destinasi utama di Asia Timur termasuk Jepun, Hong Kong dan Taiwan sedang syarat kemasukan dan permintaan perjalanan kian meningkat.

Rangkaian penumpang SIA Group itu bakal meliputi 110 destinasi di 36 negara dan wilayah, termasuk Singapura, pada 1 Nov, menurutnya dalam satu kenyataan media pada Isnin (3 Okt).

"Ini akan membolehkan SIA dan Scoot untuk memenuhi permintaan tinggi bagi perjalanan antarabangsa, terutama sekali menjelang musim cuti hujung tahun dan pada suku pertama 2023," jelasnya.

LEBIH BANYAK PENERBANGAN KE JEPUN

Mulai 30 Okt, SIA akan menambah khidmat penerbangan harian kedua (SQ636) ke Lapangan Terbang Haneda di Tokyo.

Buat masa ini, ia menyediakan penerbangan harian (SQ634) ke Haneda dan khidmat harian (SQ638) ke Lapangan Terbang Narita di Tokyo.

Dengan adanya khidmat harian (SQ12) dari Singapura ke Los Angeles melalui Narita di Tokyo, syarikat penerbangan itu akan mengendalikan empat penerbangan ke Tokyo setiap hari.

Juga bermula 30 Okt, khidmat SQ618 dari Singapura ke Osaka akan disambung semula, sekali gus membawa khidmat penerbangan antara dua destinasi itu kepada dua kali sehari.

Khidmat penerbangan SQ656 ke Fukuoka juga akan tambah kepada tiga kali seminggu.

Buat masa ini, Scoot melakukan penerbangan harian ke Lapangan Terbang Narita di Tokyo, serta empat penerbangan seminggu ke Lapangan Terbang Narita di Tokyo melalui Taipei, dan lima penerbangan seminggu ke Osaka.

Bermula 30 Okt, penerbangan TR808 ke Lapangan Terbang Narita, TR898 ke Narita melalui Taipei dan TR818 ke Osaka semuanya akan menjadi khidmat harian, menurut SIA Group.

Scoot juga akan melakukan penerbangan tanpa henti musiman sebanyak empat kali seminggu ke Sapporo (SQ890) bermula 2 Nov 2022 hingga 27 Feb 2023.

Satu lagi khidmat ke Sapporo sebanyak tiga kali seminggu melalui Taipei, TR892, juga akan dimulakan pada 1 Nov.

KHIDMAT TAMBAHAN KE SEOUL, TAIPEI

SIA akan menambah khidmat penerbangan harian yang baru ke Seoul (SQ606) bermula 30 Okt. Termasuk dua penerbangan harian sedia ada ke ibu kota Korea Selatan itu (SQ600 dan SQ608), syarikat penerbangan tersebut akan mengendalikan tiga penerbangan ke Seoul setiap hari.

Scoot juga akan menyambung semula khidmat penerbangan TR896 Singapura-Taipei-Seoul sebagai khidmat lima kali seminggu pada 30 Okt.

Mulai 5 Nov, syarikat tambang rendah itu juga akan menambah khidmat penerbangan ke Jeju kepada lima kali seminggu, daripada tiga kali seminggu sekarang ini.

Penerbangan SQ876 akan disambung semula sebagai khidmat empat kali seminggu ke Taipei mulai 31 Okt, menurut SIA Group. Ini selain khidmat tiga kali seminggu ke Taipei (SQ878) sekarang ini.

Dengan Scoot kini menambah khidmat penerbangan ke Lapangan Terbang Narita dan Sapporo melalui Taipei, serta menyambung semula khidmat Singapura-Taipei-Seoul, syarikat tambang rendah itu akan mengendalikan 18 penerbangan ke Taipei setiap minggu.

Juga pada Oktober, Scoot akan melancarkan operasi ke Lombok dan Makassar Indonesia, serta menyambung semula perkhidmatan ke Pekanbaru dan Yogyakarta.

Naib Presiden Kanan Perancangan Pemasaran SIA JoAnn Tan berkata bahawa kumpulan SIA menyaksikan permintaan kukuh bagi perjalanan udara menjelang musim cuti akhir tahun, dirangsang oleh pelonggaran lagi syarat kemasukan di Hong Kong, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

"Ramai pelanggan sangat berminat dengan destinasi yang sebahagian besarnya ditutup sejak beberapa tahun kebelakangan ini," kata Cik Tan.

Beliau menambah bahawa kumpulan itu merancang untuk menawarkan lebih nilai dan pilihan kepada pelanggannya semasa mereka membuat rancangan percutian mereka, dan syarikat itu akan menyesuaikan perkhidmatannya sejajar dengan permintaan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan