Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SIA Group saksikan lonjakan besar trafik penumpang dalam setahun

Seramai 893,000 penumpang menaiki pesawat Singapore Airlines (SIA) and Scoot pada bulan lalu, iaitu peningkatan hampir sembilan kali lebih banyak berbanding setahun lalu, sedang sekatan perjalanan terus dilonggarkan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 893,000 penumpang menaiki pesawat Singapore Airlines (SIA) and Scoot pada bulan lalu, iaitu peningkatan hampir sembilan kali lebih banyak berbanding setahun lalu, sedang sekatan perjalanan terus dilonggarkan.

Laporan operasi terkini SIA Group menunjukkan dua syarikat penerbangannya membawa 790 peratus lebih ramai penumpang pada Mac berbandign tempoh sama setahun lalu. Jumlah 893,000 penumpang yang dicatatkan pada bulan lalu naik berbanding 554,600 pada Februari 2022.

“Terdapat peningkatan ketara bagi permintaan penumpang untuk kedua-dua Singapore Airlines (SIA) serta Scoot pada Mac 2022 sedang sekatan perjalanan dilonggarkan di hampir semua pasaran utama. Pemerintah Singapura juga menambah kuota Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) untuk ketibaan harian," menurut SIA Group pada Isnin (18 Apr).

SIA Group menyatakan kapasiti penumpang pada bulan lalu mencecah 51 peratus jumlah sebelum pandemik - naik tujuh peratusan mata berbanding bulan sebelumnya.

Dengan pelonggaran kawalan sempadan, syarikat itu menyatakan ia menjangkakan kapasiti penumpang akan meningkat lebih lanjut dan mencecah sekitar 61 peratus daripada paras sebelum pandemik menjelang Mei 2022.

Singapura membuka semula sempadannya kepada semua penumpang lengkap divaksin, menggugurkan semua VTL dan aturan pembukaan sehala dari 1 April lalu.

Di bawah langkah-langkah baru, semua penumpang lengkap divaksin serta kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah boleh masuk ke Singapura hanya dengan melakukan satu ujian COVID-19 sebelum pelepasan.

Faktor muatan penumpang kumpulan itu adalah 54.5 peratus pada Mac - kenaikan 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya. Perangkaan itu juga adalah peningkatan sebanyak 41.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus jumlah tertinggi sejak pandemik COVID-19 melanda.

Semua laluan rantau yang dikendalikan SIA Group mencatatkan kejatuhan pada muatan kargo pada Mac berbanding setahun sebelumnya.

Pada Mac, SIA Group menyambung semula perkhidmatan ke beberapa destinasi di Australia dan Asia Tengara selain ke Cape Town, Gatwick dan Newark, sekali gus membawa jumlah destinasi kepada 93.

Setakat akhir Mac, Singapore Airlines menyediakan khidmat penerbangan ke 69 destinasi dengan Scoot membuat penerbangan ke 43 destinasi iaitu sekitar dua pertiga daripada peratusan penerbangan sebelum pandemik, menurut kumpulan tersebut.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan