SIA bincang dengan Airbus, Boeing beli 50 pesawat baharu; timbang tempah lebih banyak pesawat besar
Singapore Airlines (SIA) sedang berunding dengan Airbus dan Boeing untuk membeli sekurang-kurangnya 50 pesawat terbesar dalam industri penerbangan, sedang syarikat penerbangan itu merancang fasa pertumbuhan seterusnya bagi dekad akan datang, menurut dua sumber industri.
Pesawat Singapore Airlines di Lapangan Terbang Changi pada 16 November 2021. (Gambar fail: REUTERS/Caroline Chia)
SIA sedang membuat tawaran untuk membeli lebih banyak pesawat Boeing 777X dengan kapasiti sekitar 400 penumpang, model terbesar dalam industri buat masa ini, atau Airbus A350-1000 yang kecil sedikit, menurut sumber tersebut. Rundingan masih di peringkat awal, namun berkemungkinan merangkumi pilihan untuk membeli berpuluh-puluh lagi pesawat.
SIA turut mendedahkan bahawa ia sentiasa menyemak pelan pembaharuan pesawatnya, meskipun enggan mengulas mengenai "sebarang perbincangan sulit yang mungkin diadakan". Airbus dan Boeing juga enggan mengulas tentang perkara tersebut.
SIA adalah antara pembeli terbesar pesawat jarak jauh di dunia dan terkenal dengan rundingannya yang teliti yang diadakan secara tertutup, yang boleh mempengaruhi keputusan syarikat-syarikat penerbangan yang lain.
Bulan lalu, SIA menyatakan bahawa ia akan terus memperluaskan kapasiti meskipun sesetengah pesaing mengurangkan penerbangan selepas harga minyak melonjak.
SIA sejak sekian lama mengendalikan pesawat Boeing 777 dan merupakan antara pelanggan terawal bagi pesawat penggantinya, 777X, yang mengalami kelengahan yang ketara.
VARIAN LEBIH BESAR
Rundingan dengan SIA juga boleh membantu para pengeluar pesawat, khususnya Airbus, menilai permintaan bagi jenis pesawat lebih besar yang masih di peringkat perancangan, menurut sumber berkenaan.
Airbus menyatakan pada tahun lalu bahawa ia sedang menimbangkan model A350 yang lebih besar, dikenali sebagai A350-2000, untuk bersaing secara langsung dengan 777X, meskipun syarikat itu tidak mahu membesar-besarkan laporan mengenai projek tersebut.
Airbus pertama kali mengusulkan idea itu kepada SIA sekitar 10 tahun lalu, ketika Boeing turut menimbangkan untuk mengembangkan model 777X buatannya.
Boeing bersetuju untuk meneliti semula kajian bagi membina pesawat yang lebih besar selepas Emirates menempah lebih banyak pesawat 777X pada November lalu, namun syarikat penerbangan itu dilaporkan mengambil pendekatan yang berhati-hati memandangkan permintaan terhad bagi pesawat baharu yang lebih besar, sedang ia menumpukan perhatian terhadap usaha memulihkan kedudukannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.