SIA batal semua penerbangan ke Dubai hingga Rabu ini
Pesawat SIA di Lapangan Terbang Changi. (Gambar fail: Reuters/Caroline Chia)
SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) membatalkan semua penerbangan antara Singapura dengan Dubai sehingga Rabu (25 Jun) menyusuli konflik berterusan antara Israel dan Iran.
Dalam notis di lamannya, syarikat penerbangan Singapura itu mengumumkan bahawa pembatalan tersebut adalah menyusuli "penilaian keselamatan terhadap situasi geopolitik di Timur Tengah".
Enam penerbangan yang dibatalkan adalah:
- SQ494 berlepas dari Singapura ke Dubai pada Isnin pukul 3.10 petang
- SQ495 berlepas dari Dubai ke Singapura pada Isnin pukul 7.45 malam
- SQ494 berlepas dari Singapura ke Dubai pada Selasa pukul 3.10 petang
- SQ495 berlepas dari Dubai ke Singapura pada Selasa pukul 7.45 malam
- SQ494 berlepas dari Singapura ke Dubai pada Rabu pukul 3.10 petang
- SQ495 berlepas dari Dubai ke Singapura pada Rabu pukul 7.45 malam
Syarikat penerbangan itu sebelum ini membatalkan penerbangan antara Singapura dengan Dubai pada Ahad akibat konflik tersebut.
"Pelanggan yang terjejas oleh pembatalan penerbangan akan ditempatkan semula di penerbangan alternatif atau boleh mendapatkan bayaran balik penuh bagi bahagian tiket yang tidak digunakan."
SIA menambah bahawa pelanggan yang menempah penerbangan secara langsung boleh menggunakan Borang Permintaan Bantuan syarikat penerbangan itu untuk mendapatkan bayaran balik.
"Bagi tempahan yang dibuat melalui ejen pelancongan atau syarikat penerbangan rakan kongsi, pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi ejen pelancongan atau syarikat penerbangan yang membuat pembelian secara langsung untuk bantuan," menurut SIA.
"Memandangkan situasi kekal tidak menentu, penerbangan SIA lain antara Singapura dan Dubai mungkin terjejas," tambahnya.
Syarikat penerbangan komersil di seluruh dunia sedang mempertimbangkan berapa lama untuk menggantung penerbangan Timur Tengah sedang konflik yang sudah memutuskan laluan penerbangan utama memasuki fasa baharu selepas Amerika Syarikat menyerang tapak nuklear utama Iran dan Tehran berjanji untuk mempertahankan diri.
Ruang udara yang biasanya sibuk merentasi Iran dan Iraq ke Mediterranean sebahagian besarnya kosong daripada lalu lintas udara komersil selama 10 hari sejak Israel memulakan serangan ke atas Iran pada 13 Jun, kerana syarikat penerbangan melencongkan, membatalkan dan menangguhkan penerbangan melalui rantau itu disebabkan penutupan ruang udara dan kebimbangan keselamatan.
Pembatalan baharu beberapa penerbangan oleh syarikat penerbangan antarabangsa dalam beberapa hari kebelakangan ini ke hab penerbangan yang biasanya kukuh seperti Dubai, lapangan terbang antarabangsa tersibuk di dunia, dan Doha Qatar, menunjukkan bahawa kebimbangan industri penerbangan mengenai rantau itu sudah meningkat.
Flight Centre Travel Group yang berpangkalan di Australia berkata ia menerima sejumlah kecil permintaan pelanggan untuk menukar perjalanan ke Eropah daripada hab Timur Tengah.
"Hab pemindahan yang paling biasa kami lihat diminta ialah Singapura, Hong Kong, China, Johannesburg, atau bahkan terus antara Perth dan London," kata Graham Turner, Ketua Pegawai Eksekutif Flight Centre Travel Group yang berpangkalan di Australia.
Dengan ruang udara Rusia dan Ukraine juga ditutup kepada kebanyakan syarikat penerbangan disebabkan perang bertahun-tahun, Timur Tengah menjadi laluan yang lebih penting untuk penerbangan antara Eropah dan Asia.
Di tengah-tengah serangan peluru berpandu dan serangan udara sepanjang 10 hari lalu, syarikat penerbangan sudah melencongkan laluan ke utara melalui Laut Kaspia atau ke selatan melalui Mesir dan Arab Saudi.
Ditambah dengan kenaikan kos bahan api dan anak kapal daripada lencongan panjang dan pembatalan ini, syarikat penerbangan juga berdepan kemungkinan kenaikan kos bahan api jet apabila harga minyak meningkat berikutan serangan Amerika Syarikat.
RISIKO RUANG UDARA
Jumlah zon konflik yang bertambah menjadi beban operasi yang semakin meningkat kepada syarikat penerbangan, kerana serangan udara menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan berlaku tembakan secara tidak sengaja atau sengaja terhadap lalu lintas udara komersil.
Isyarat salah dan gangguan GPS di sekitar kawasan pergolakan politik, di mana sistem GPS berasaskan darat menyiarkan kedudukan yang salah yang boleh menyebabkan pesawat komersil tersasar dari laluan, juga merupakan isu yang semakin membebankan bagi penerbangan komersil.
Flightradar24 memberitahu Reuters bahawa ia melihat "peningkatan dramatik" dalam gangguan dan isyarat salah dalam beberapa hari kebelakangan ini di Teluk Parsi. SkAI, sebuah syarikat Switzerland yang mengendalikan peta gangguan GPS, pada lewat Ahad menyatakan pihaknya sudah memerhatikan lebih 150 pesawat terjejas oleh isyarat salah dalam 24 jam di sana.
Safe Airspace, sebuah laman yang dikendalikan oleh OPSGROUP, sebuah pertubuhan berasaskan keahlian yang berkongsi maklumat risiko penerbangan, menyatakan pada Ahad bahawa serangan Amerika Syarikat ke atas tapak nuklear Iran boleh meningkatkan ancaman kepada pengendali Amerika di rantau itu.
Ini boleh menimbulkan risiko ruang udara tambahan di negara-negara Teluk seperti Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, menurutnya.
Beberapa hari sebelum serangan Amerika Syarikat, American Airlines menggantung penerbangan ke Qatar, dan United Airlines serta Air Canada melakukan perkara yang sama dengan penerbangan ke Dubai. Mereka masih belum menyambung semula.
Walaupun syarikat penerbangan antarabangsa mengelak dari rantau itu, syarikat penerbangan tempatan di Jordan, Lubnan dan Iraq secara tentatif menyambung semula beberapa penerbangan selepas pembatalan meluas.
Israel sedang meningkatkan penerbangan untuk membantu orang ramai pulang ke tanah air, dan berlepas. Pihak Berkuasa Lapangan Terbang negara itu menyatakan penerbangan sedemikian ke negara itu akan diperluaskan pada Isnin dengan 24 penerbangan sehari, walaupun setiap penerbangan akan dihadkan kepada 50 penumpang.
Mulai Isnin, syarikat penerbangan Israel akan mula mengendalikan penerbangan keluar dari Israel, menurut pihak berkuasa.
Syarikat penerbangan Israel El Al pada Ahad menyatakan ia sudah menerima permohonan untuk meninggalkan negara itu daripada kira-kira 25,000 orang dalam masa sehari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.