Skip to main content

Singapura

SIA batal penerbangan ulang-alik ke Dubai hingga 31 Mei

Singapore Airlines (SIA) membatalkan penerbangan antara Singapura dengan Dubai sehingga 31 Mei, sambil merujuk kepada situasi geopolitik di Timur Tengah.

Anggaran Waktu Membaca:
SIA batal penerbangan ulang-alik ke Dubai hingga 31 Mei

Pesawat Singapore Airlines di Lapangan Terbang Changi di Singapura pada 13 Mei 2022. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 31 Mar 2026 07:13PM Dikemas Kini : 31 Mar 2026 07:14PM
SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) membatalkan penerbangan antara Singapura dengan Dubai sehingga 31 Mei, sambil merujuk kepada situasi geopolitik di Timur Tengah.

"Memandangkan situasi kekal tidak menentu, penerbangan SIA yang lain mungkin terjejas," menurut syarikat penerbangan itu dalam catatannya di laman Facebook pada Selasa (31 Mac).

"Para pelanggan boleh melungsuri laman status penerbangan SIA bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung penerbangan mereka," tambahnya.

Penerbangan SIA antara Dubai dengan Singapura digantung sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari, mencetuskan peperangan yang menjejas perjalanan udara.

Penerbangan SIA sebelum ini dibatalkan sehingga 30 April.

"Para pelanggan yang terjejas oleh pembatalan penerbangan akan dipindahkan ke penerbangan alternatif atau boleh memohon bayaran balik penuh bagi bahagian tiket yang tidak digunakan," menurut SIA.

Mereka yang membuat tempahan langsung bersama syarikat penerbangan itu boleh memohon bayaran balik menerusi online, manakala mereka yang membuat tempahan menerusi ejen pelancongan atau rakan syarikat penerbangan dinasihatkan supaya menghubunginya secara langsung bagi mendapatkan bantuan, menurutnya.

Berpuluh-puluh ribu penerbangan dibatalkan di seluruh dunia sejak perang itu meletus.

Syarikat penerbangan tambang jimat SIA, Scoot mengumumkan pada Khamis (26 Mac) bahawa penerbangan ulang-alik ke Jeddah akan dibatalkan sehingga 16 April.

Para pelanggan yang terjejas boleh memohon bayaran balik penuh jika mereka pilih untuk tidak meneruskan dengan perjalanan, atau menempah semula penerbangan Scoot alternatif, menurut syarikat itu dalam nasihat perjalanan pada lamannya.

Sedang perang itu berlarutan, syarikat-syarikat penerbangan terpaksa mengelak ruang udara di sekitar Iran dan zon-zon terjejas yang lain, menyebabkan laluan penerbangan yang jauh lebih panjang, meningkatkan penggunaan minyak dan menaikkan kos operasi.

Syarikat-syarikat penerbangan Asia juga berdepan harga bahan api jet yang lebih tinggi disebabkan penutupan Selat Hormuz, iaitu laluan air penting yang dilalui oleh seperlima bekalan minyak di seluruh dunia.

Bahan api jet ditapis daripada minyak mentah, dan 84 peratus daripada minyak mentah yang melalui selat itu ditujukan bagi pasaran Asia.

Syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific mengumumkan pada Khamis lalu bahawa ia akan menaikkan surcaj bahan api bagi semua penerbangannya sebanyak 34 peratus mulai 1 April, dan menyemaknya setiap dua minggu.

Thai Airways juga menyatakan ia akan menaikkan tambang sebanyak 10 hingga 15 peratus bagi menangani kos bahan api yang meningkat.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita