Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SIA batal 2 penerbangan susuli latihan tentera China dekat Taiwan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dua penerbangan ulang-alik Singapore Airlines (SIA) antara Singapura dan Taiwan dibatalkan disebabkan oleh "sekatan ruang udara yang berubah-ubah" di tengah-tengah latihan tentera China yang dijalankan berdekatan Taiwan, menurut SIA pada Jumaat (5 Ogos). 

Menjawab pertanyaan Mediacorp, SIA menyatakan penerbangan SQ878 dan SQ879 yang dijadual berlepas pada Jumaat (5 Ogos) sudah dibatalkan. 

SQ878 melakukan penerbangan dari Singapura ke Taipei, manakala SQ879 pula dari Taipei ke Singapura.

"Keselamatan pelanggan dan kakitangan kami adalah keutamaan nombor satu kami. SIA akan terus memantau keadaan dengan teliti dan membuat sebarang penyesuaian, jika perlu," menurut SIA. 

Para pelanggan yang terjejas boleh memilih untuk menukar tempahan mereka atau meminta bayaran balik. 

"Bagi tempahan yang dilakukan menerusi ejen pelancongan atau rakan syarikat penerbangan, para pelanggan dinasihatkan supaya menghubungi ejen pelancongan mereka atau syarikat penerbangan untuk mendapatkan bantuan," tambah SIA. 

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Khamis (4 Ogos) menyatakan syarikat-syarikat penerbangan dari Singapura sedang mengelak kawasan-kawasan yang terjejas oleh latihan tentera China berdekatan Taiwan, manakala SIA menyatakan, kecuali penerbangan SQ878 dan SQ879, pesawat penumpang dan kargo syarikat tersebut "tidak merentasi ruang udara Taiwan buat masa ini". 

Scoot turut menyatakan bahawa ia akan "terus memantau keadaan dengan teliti dan membuat sebarang penyesuaian yang wajar". Setakat ini, kesemua penerbangannya kecuali TR996, TR997, TR898 dan TR899 "tidak merentasi ruang udara Taiwan". 

TR996 dan TR997 melakukan penerbangan antara Singapura dan Taipei. TR898 yang melakukan penerbangan dari Singapura ke Tokyo melakukan persinggahan di Taipei, manakala TR899 pula dari Tokyo ke Singapura dengan persinggahan di Taipei. 

Di tengah-tengah latihan tentera China, peluru berpandu balistik China dipercayai gugur di zon ekonomi eksklusif (EEZ) Jepun buat pertama kali, dedah Menteri Pertahanan Jepun Nobuo Kishi pada Khamis (4 Ogos). 

Menurut Encik Kishi, Jepun sudahpun "mengemukakan bantahan kepada China melalui saluran diplomatik". 

Kementerian Pertahanan Taiwan menyatakan peluru berpandu itu terbang tinggi di atmosfera dan tidak membawa sebarang ancaman, dalam responsnya terhadap keprihatinan orang ramai mengenai sama ada peluru berpandu tersebut merentasi ruang udara Taiwan.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan