Skip to main content

Singapura

SIA bakal lancar penerbangan terus ke Riyadh pada Jun

Anggaran Waktu Membaca:
SIA bakal lancar penerbangan terus ke Riyadh pada Jun
(Gamba File: AFP/William West)
Diterbitkan : 02 Feb 2026 05:07PM Dikemas Kini : 02 Feb 2026 05:21PM
SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) akan melancarkan empat penerbangan terus setiap minggu antara Singapura dengan Riyadh, ibu negara Arab Saudi, bermula pada 2 Jun. Ini diumumkan oleh pihak syarikat penerbangan pada Isnin (2 Feb).

Tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, penerbangan SQ498 dari Singapura akan beroperasi pada setiap Selasa, Khamis, Sabtu, dan Ahad pukul 6.20 petang, menurut kenyataan SIA.

Penerbangan pulang SQ499 pula akan berlepas dari Riyadh pada hari yang sama pada pukul 11.00 malam waktu tempatan.

Syarikat penerbangan kebangsaan itu akan menggunakan pesawat Airbus A350-900 jenis jarak sederhana yang mempunyai 303 tempat duduk - terdiri daripada 40 tempat duduk kelas niaga dan 263 tempat duduk kelas ekonomi.

Riyadh akan menjadi destinasi kedua kumpulan SIA di Arab Saudi. Sebelum ini, anak syarikat tambang murahnya, Scoot, sudah pun mengendalikan penerbangan empat kali seminggu ke Jeddah.

Riyadh merupakan pusat pentadbiran dan kewangan bagi Arab Saudi.

"Pelancong boleh menerokai tapak bersejarah seperti Diriyah dan Kota Masmak, serta menikmati tarikan lain termasuk muzium bertaraf dunia, hotel mewah, dan pelbagai pilihan membeli-belah serta tempat makan," kata SIA.

Ketua Pegawai Komersial SIA, Encik Lee Lik Hsin, berkata: "Kembalinya kami ke Riyadh dilakukan ketika persekitaran perniagaan di sana sedang berkembang pesat dan pembangunan yang bercita-cita tinggi sedang dijalankan, menjadikan ia salah satu bandar paling dinamik di Timur Tengah.

"Selain menjadi destinasi baharu, perkhidmatan ini berpotensi membolehkan kami bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan buat pelanggan kami di seluruh rantau tersebut."

Tiket bagi penerbangan SIA ke Riyadh akan mula dijual secara berperingkat melalui pelbagai saluran jualan syarikat tersebut.

Menurut laporan TODAY, SIA kali terakhir terbang ke Riyadh pada September 2014. Pada ketika itu, syarikat tersebut menyatakan bahawa pembatalan perkhidmatan berkenaan adalah disebabkan oleh "prestasi ekonomi yang lemah secara berterusan".
Sumber : CNA/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita