'SHIOK Children Fest' anjur pelbagai kegiatan pupuk hubungan keluarga dengan anak kecil
Para penduduk di kawasan Sembawang berpeluang mengunjungi pesta 'SHIOK Children Fest' pada Sabtu (12 Nov).
SINGAPURA: Para penduduk di kawasan Sembawang berpeluang mengunjungi pesta 'SHIOK Children Fest' pada Sabtu (12 Nov).
Pelbagai kegiatan menarik diatur bagi memupuk hubungan seisi keluarga terutamanya bersama anak-anak kecil.
Seawal 10 pagi lagi, orang ramai sudahpun berkumpul di Kelab Masyarakat Woodlands Galaxy untuk menghadiri acara tersebut yang kembali diadakan selepas dua tahun.
Ia bertujuan mendidik golongan ibu bapa muda tentang kepentingan penjagaan sebelum dan selepas anak dilahirkan, di samping memupuk pemahaman tentang keperluan anak-anak mereka.

"Ada kursus membuat kuih, atau kelas-kelas tambahan. Kami juga ada wakil-wakil dari Healthway Medical. Mereka datang untuk membuat pemeriksaan mata untuk kanak-kanak berumur empat hingga 12 tahun. Ini sangat penting," kata Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Woodlands, Cik Mariam Jaafar.
Para penasihat dari GRC Sembawang, Encik Ong Ye Kung dan Cik Poh Li San juga turut beramah mesra dengan para pengunjung.
Di acara itu juga, orang ramai berpeluang mendaftarkan diri untuk kursus-kursus yang ditawarkan di lima balai rakyat di GRC Sembawang.

Satu segmen pertandingan melibatkan ibu bapa dan anak-anak juga dianjurkan bagi mencungkil bakat si cilik dan membina keyakinan diri mereka.
"Saya rasa acara ini baik kerana saya dapat lagi mendekatkan diri dengan anak saya. Ia dapat membina hubungan yang kukuh dan memberinya lebih keyakinan dalam kehidupan," kata Encik Zainuddin, yang bernyani bersama anak perempuannya.
Sekitar 1,000 pengunjung menghadiri acara tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.