Skip to main content

Singapura

Sheng Siong perluas CCTV pengecaman wajah di semua cawangannya

Anggaran Waktu Membaca:
Sheng Siong perluas CCTV pengecaman wajah di semua cawangannya

Sheng Siong akan melancarkan sistem CCTV pengecaman wajah di semua 83 cawangannya. (Gambar: CNA/Lan Yu)

SINGAPURA: Rangkaian pasar raya Sheng Siong akan memperluaskan sistem CCTV pengecaman wajah dengan sokongan kecerdasan buatan (AI) ke semua 83 cawangannya, sebagai sebahagian daripada usaha untuk membendung peningkatan kes mencuri dalam kedai.

Teknologi ini, yang memaklumkan kakitangan secara masa nyata apabila pencuri barang kedai memasuki mana-mana cawangannya, dengan kerjasama Pasukan Polis Singapura (SPF) di bawah Program 'Shop Theft for Retailers' (STAR).

Inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan pengesanan dan mengurangkan jenayah runcit.

Inisiatif tersebut diperkenalkan di tengah-tengah peningkatan kes mencuri dalam kedai.

Menurut perangkaan jenayah pertengahan tahun yang dikeluarkan oleh SPF pada Selasa (26 Ogos), kes mencuri barang kedai kekal sebagai antara kesalahan paling lazim dilakukan dalam kalangan golongan belia.

Sebanyak 2,097 kes mencuri barang kedai dilaporkan dalam separuh pertama 2025 - peningkatan sebanyak 4.2 peratus daripada 2,013 kes dalam tempoh yang sama pada 2024.

Kebanyakan kes melibatkan barangan bernilai kurang daripada S$50, termasuk makanan, minuman dan produk penjagaan diri.

Dalam kalangan peruncit utama, Cold Storage dan Sheng Siong mencatat purata kes lebih tinggi bagi setiap cawangan, dengan cawangan Cold Storage di Ngee Ann City mencatat 36 kes dalam separuh pertama tahun ini.

Laporan kemampanan Sheng Siong bagi 2024 menyatakan bahawa kadar mencuri barang kedai bagi setiap cawangan meningkat daripada 4.91 pada 2023 kepada 8 pada tahun 2024.

Syarikat itu menyifatkan peningkatan ini sebagai hasil pengesanan yang lebih baik selepas sistem tersebut dipasang di 50 cawangan sejak April 2024.

BAGAIMANA TEKNOLOGI INI BERFUNGSI

Apabila terdapat percanggahan antara stok dan inventori, kakitangan akan menyemak rakaman CCTV untuk mengesahkan sama ada berlaku kecurian.

Setelah identiti suspek dikenal pasti, gambar mereka dimuat naik ke dalam sistem.

Jika individu tersebut memasuki semula mana-mana cawangan Sheng Siong, kakitangan akan menerima pemberitahuan melalui aplikasi korporat.

Sekiranya kakitangan yakin bahawa individu itu melakukan pencurian, pihaknya boleh mendekati individu tersebut dan membuat aduan polis.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lim Hock Chee berkata sistem ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran.

“Harapan kami ialah di mana sahaja pelanggan berjalan, akan ada lebih banyak ‘mata’ yang memerhati mereka supaya mereka boleh memupuk tingkah laku yang lebih baik dari semasa ke semasa.

"Ini menjadikan persekitaran lebih selamat,” tambah beliau, sambil menyamakan pendekatan ini dengan kamera had laju di ekspreswe.

Sebelum ini, kakitangan perlu menyemak rakaman CCTV secara manual untuk mengenal pasti suspek.

“Itulah kelebihan teknologi ini. Kami tidak perlu memantau sepanjang masa. Selepas menggunakan teknologi ini, kadar mencuri barang kedai meningkat. Sebelum ini, disebabkan kami bergantung kepada daya penglihatan manusia, kita mungkin terlepas pandang,” katanya.

Beliau menambah bahawa teknologi ini pada asalnya diperkenalkan - bukan semata-mata untuk menangkap pencuri - tetapi untuk mewujudkan persekitaran yang lebih fokus kepada pelanggan.

Contohnya, jika berlaku insiden melibatkan kakitangan, rakaman CCTV boleh digunakan sebagai peluang belajar.

Sejak menggunakan teknologi tersebut, Sheng Siong juga berjaya mengenal pasti pelanggan yang pembayaran mereka gagal diproses.

Sebelum sistem CCTV canggih ini diperkenalkan, Sheng Siong mengalami kerugian sekitar S$10,000 sebulan akibat urus niaga yang gagal.

Kini, jumlah itu turun kepada antara S$1,200 hingga S$1,500 sebulan, kata Encik Lim.

SPF juga menggalakkan peruncit utama lain untuk melaksanakan langkah serupa dan menyertai program STAR.

Setakat sehingga 30 Jun, lebih 1,000 cawangan runcit sudah menyertai program ini, termasuk NTUC FairPrice dan Cold Storage.

Pengurus Kumpulan FairPrice Group, Chua Tze Lin, berkata pasar raya tersebut sudah meningkatkan langkah terhadap mencuri barang kedai.

Pada 2024, FairPrice memasang kamera khas di kawasan layan diri sebagai bentuk pencegahan dan pengesanan.

Jurucakap Cold Storage memberitahu Mediacorp bahawa pasar raya itu sedang bekerjasama rapat dengan SPF bagi mengurangkan kes mencuri barang kedai.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita