Sheng Siong ambil langkah pencegahan setelah 2 pelanggan dirempuh troli di tangga bergerak

Gambar: Singapore Incidents/Instagram
SINGAPURA: Sheng Siong akan mengambil "langkah yang diperlukan" untuk mengelak daripada berlakunya kejadian seperti rakaman yang kini tular menunjukkan sebuah troli merempuh sekurang-kurangnya dua pelanggan di tangga bergerak di sebuah cawangan, menurut syarikat itu hari ini (20 Apr).
Dalam menjawab soalan Mediacorp, jurucakap Sheng Shiong mendedahkan bahawa kejadian berlaku di cawangan di Block 105, Canberra Street pada Februari tahun ini.
"Kakitangan kami sudah meminta maaf dan menghulurkan bantuan kepada kedua pelanggan tersebut," tambah jurucakap Sheng Shiong.
Namun jurucakap Sheng Shiong tidak mendedahkan langkah yang diambil oleh syarikat itu berhubung kejadian tersebut.
Rakaman kejadian tersebut dimuat naik di Facebook oleh kumpulan 'Singapore Incidents' pada Selasa (19 Apr) dan sudah memperoleh lebih 142,000 tontonan dan 860 perkongsian setakat 20 April. Kumpulan itu juga memuat naik rakaman tersebut di akaun Instagram mereka.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang wanita dirempuh troli semasa beliau berada di tangga bergerak untuk ke lantai bawah.
Kejadian tersebut berlaku pada 25 Februari pada pukul 3.50 petang, seperti yang tertera pada rakaman tersebut.
Rakaman tersebut menunjukkan sebuah troli besi yang diisi dengan kotak yang dilipat, bergerak ke arah tangga bergerak. Namun, tiada kakitangan yang mengawasi troli berkenaan.
Pada masa itu, ada dua pelanggan di tangga bergerak tersebut.
Dalam hanya beberapa saat, troli besi itu bergerak dengan laju atas tangga bergerak dan merempuh seorang wanita sehingga beliau terjatuh di atas tangga bergerak itu.
Dua kakitangan dilihat bergegas ke troli besi itu dan pelanggan tersebut.
Troli itu kemudian dilihat merempuh pelanggan kedua, yang sudah ada di bahagian bawah tangga bergerak tersebut. Bagaimanapun, tidak jelas apa yang berlaku kepada pelanggan berkenaan selepas itu.
"Kesihatan dan keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami," kata jurucakap Sheng Siong.
"Kami akan belajar daripada kejadian tersebut dan mengambil langkah yang diperlukan untuk mengelak daripada berlakunya kejadian serupa," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.