Skip to main content

Singapura

Shell tutup loji penapis minyak di Pulau Bukom selepas disyaki berlaku kebocoran

Anggaran Waktu Membaca:
Shell tutup loji penapis minyak di Pulau Bukom selepas disyaki berlaku kebocoran

Gambar: Shell

Diterbitkan : 27 Dec 2024 07:42PM Dikemas Kini : 27 Dec 2024 09:46PM
SINGAPURA: Shell menutup unit pemprosesan minyak di Pulau Bukom untuk memudahkan siasatan ke atas kebocoran yang disyaki dalam sistem itu, menurut kenyataan bersama pelbagai agensi pada Jumaat (27 Dis).

Unit pemprosesan minyak di Taman Tenaga dan Kimia Shell (Shell Energy and Chemical Parks) digunakan untuk menghasilkan produk minyak yang sudah ditapis seperti diesel. Air yang diambil dari laut digunakan sebagai sebahagian daripada proses untuk menyejukkan produk minyak sudah ditapis dalam unit tersebut.

"Shell menganggarkan beberapa tan produk minyak yang sudah ditapis bocor, bersama dengan pelepasan air penyejuk," menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC).

Syarikat itu telah meletakkan bendung dan bahan penyerap di tempat air penyejuk dibuang. Sistem penapisan minyak terbina juga telah diaktifkan.

“Bendungan dan bahan penyerap telah diletakkan di saluran berkenaan untuk mengelakkan sisa minyak bocor daripada merebak ke laut. Tiada tompokan minyak dikesan buat masa ini di sekitar Pulau Bukom,” menurut kenyataan itu.

MPA dan Shell telah mengerahkan bot-bot untuk membersihkan kilauan minyak ringan yang diperhatikan di Pulau Bukom menggunakan kedua-dua bahan serak dan bahan penyerap.

Menurut kedua-dua agensi itu, mereka akan memantau keadaan dengan teliti dan telah mengerahkan satelit dan dron untuk menjalankan pemantauan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, bahan penyerap minyak akan diletakkan di Taman Marin Sisters' Islands (Pulau Subar Darat dan Pulau Subar Laut) dan pantai-pantai di Sentosa.

“Trafik pengemudian di kawasan itu tidak terjejas. Tiada kesan terhadap operasi bunker di Pelabuhan Singapura,” tambah agensi-agensi tersebut.

“Kemas kini lanjut akan diberikan sekiranya terdapat perkembangan ketara. NEA sedang menyiasat insiden itu dengan MPA dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan jika sebarang salah laku atau kelemahan dikesan.”
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita