Skip to main content

Singapura

Sheikh Haikel buka kedai Nasi Ayam Hainan selepas 7 tahun pendam hasrat

Anggaran Waktu Membaca:
Sheikh Haikel buka kedai Nasi Ayam Hainan selepas 7 tahun pendam hasrat

(Gambar: Ira Musfirah)

Diterbitkan : 12 Jul 2024 11:31PM Dikemas Kini : 12 Jul 2024 11:51PM
SINGAPURA: Cintanya pada nasi ayam jelas terpancar pada wajahnya sebaik sahaja pinggan demi pinggan dihidangkan di atas meja kami semasa wawancara dijalankan di kedainya yang baru dibuka itu.

Meskipun beliau kini memiliki perniagaan Nasi Ayam Hainan di 783 North Bridge Road serta cukup berbesar hati dapat menyajikan orang ramai dengan makanan kegemarannya itu, penyanyi rap Sheikh Haikel sebenarnya telah menyimpan hasrat untuk membuka kedai nasi ayam Hainan sejak tujuh tahun lalu.

"Saya sudah lama ingin membuka kedai nasi ayam Hainan, namun hasrat itu hanya benar-benar dapat direalisasikan selepas penutupan Fatpapas.

"Saya kemudian mengambil satu tahun untuk mendapatkan rasa Hainan yang saya inginkan bersama lima rakan kongsi saya yang semuanya berbangsa Cina. Merekalah yang membantu saya untuk melihat sama ada rasanya 'sampai' seperti kedai-kedai nasi ayam tidak halal yang popular.

"Lagipun nasi ayam juga ibarat makanan ruji penduduk Singapura," kata Sheikh Haikel, 49 tahun.
 
Related article image
(Gambar: Ira Musfirah)
'HAI GE JI' TERIMA SAMBUTAN MEMBERANGSANGKAN

Hai Ge Ji Hainanese Chicken Rice dibuka secara rasmi pada 7 Julai lalu, namun sudah mula beroperasi sekitar seminggu sebelum itu.

Namun disebabkan sambutan yang amat memberangsangkan, Haikel akur mereka masih cuba memperhalusi proses perniagaan mereka.

"Kedai kami dibuka dari 11.30 pagi hingga 9.30 malam. Namun ada beberapa hari kami 'sold out' seawal 6.00 petang lagi.

"Pernah juga satu kali apabila kedai kami penuh, nasi pula sudah habis dan masih dimasak. Pelanggan pula terpaksa menunggu 40 minit.

"Mujur mereka cukup memahami dan isteri saya Anna Belle Francis pula bijak mengawal keadaan dengan menyajikan hidangan sampingan kepada mereka, seperti kulit ayam rangup kami," kongsi Haikel.
Related article image
(Gambar: Ira Musfirah)
MAHU WUJUDKAN SUASANA KEDAI HAINAN ASLI

Malah, nama 'Hai Ge Ji' itu sendiri cukup menarik perhatian.

Sebenarnya, 'Hai Ge Ji' datang dari nama beliau sendiri. 'Hai Ge' adalah sebutan bagi nama 'Haikel' dalam bahasa Cina, jelasnya.

Dengan kedai yang berkonsepkan merah putih, lengkap dengan kata-kata motivasi dalam tulisan Cina, Haikel dan Anna Belle juga benar-benar ingin mewujudkan suasana seperti kedai nasi ayam Hainan asli.

Malah beliau turut menggajikan empat cef Cina - dua warga tempatan, seorang warga Malaysia dan seorang warga China - selain dua kakitangan Muslim, demi mewujudkan keaslian nasi ayam Hainan, dengan tiada jalan pintas dalam cara masakannya.

"Kulit ayam kami dibersihkan dengan maksimum pada bahagian luar dan dalam. Sebab itu ia bersih, dan bila digoreng, kerangupannya lain.

"Ayam kukus dan panggang kami juga dibuat dengan cara pembuatan asli, tanpa bahan perasa MSG," kata Haikel.
Related article image
(Gambar: Ira Musfirah)
Selain Nasi Ayam Kukus Hai Ge Ji yang amat diminatinya, Haikel malah menyenaraikan Salada Kulit Ayam (Chicken Skin Salad) dan 'Gua Bao Buns' yang jarang ditemui dalam menu gerai nasi ayam halal, sebagai hidangan yang "harus dicuba".

"Salada kulit ayam adalah hidangan orang lama kaum Cina. Apabila bapa saya makan hidangan ini, dia sampai menangis! Sebenarnya pertama kali saya ternampak hidangan ini adalah di Melaka, dan saya tertarik sekali.
Related article image
(Gambar: Ira Musfirah)
"Gua Bao Buns kami pula digantikan dengan brisket daging berbanding resipi asal yang menggunakan perut daging babi. Malah saya memang cuba menyediakan makanan halal yang paling dekat rasanya seperti yang bukan halal," kongsi beliau.

RANCANGAN SETERUSNYA

Walaupun kini hanya mampu menampung 50 pelanggan pada satu-satu masa, Haikel belum ada hasrat untuk mencari ruang lebih luas bagi kedainya.

"Saya lebih menumpukan kepada usaha untuk menghasilkan makanan dan pastikan rasanya itu 'betul'.

"Namun saya berhasrat meningkatkan keupayaan kami untuk menjual hampir seganda jumlah ayam berbanding sekarang.

"Bahkan jika ditanya rakan-rakan kongsi saya, impian kami adalah untuk membuka kedai ini 24 jam," kongsi bapa tiga anak ini.
Related article image
(Gambar: Ira Musfirah)
Yang pasti, setiap pinggan nasi ayam yang dihidangkan adalah demi pelanggan yang telah menyokongnya selama ini, jelasnya.

"Anda semua sangat penting.

"Anda semua yang membolehkan saya menjadi 'Sheikh Haikel', anda semua menerima saya.

"Andalah sebab mengapa saya ingin menghidangkan semua makanan ini," luahnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita