Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shanmugam tuntut perintah mahkamah, minta nama pengguna TikTok yang muat naik catatan hubungan sulit yang "palsu"

Anggaran Waktu Membaca:
Shanmugam tuntut perintah mahkamah, minta nama pengguna TikTok yang muat naik catatan hubungan sulit yang "palsu"

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam ditemui media pada 12 Okt 2023.

SINGAPURA: Syarikat media sosial besar TikTok berdepan saman sivil daripada Menteri Undang-undang dan Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, selepas ia gagal membantu Encik Shanmugam mengenal pasti tiga pengguna yang masing-masing didakwa memuat naikkan video yang menyebarkan dakwaan palsu mengenainya.

Pada Selasa (28 Nov), Mediacorp menerima tiga salinan afidavit yang difailkan oleh peguam Encik Shanmugam daripada WongPartnership, memperincikan dakwaan "palsu dan tidak berasas" yang ditolaknya berulang kali.

Afidavit tersebut difailkan untuk menyokong permohonan Encik Shanmugam mendapatkan perintah mahkamah, yang memerlukan TikTok mengemukakan dokumen dan maklumat yang dapat membantu mengenal pasti pengguna-pengguna yang terlibat.

Afidavit tersebut juga menyatakan bahawa TikTok enggan memberikan Encik Shanmugam maklumat peribadi ketiga-tiga pengguna tersebut, melainkan perintah mahkamah diperolehi.

KENYATAAN PALSU

Pada 13 Ogos tahun ini, seorang pengguna TikTok dengan nama pengguna trusted.seller, didakwa memuat naik video yang mengandungi dua gambar serta kapsyen "GIVE HIM A DEFAMATION SUIT SISTER #MINISTER #SG #VIRAL #EXWIFE".

Gambar tersebut merupakan
dua tangkap layar, salah satu daripadanya kelihatan seperti halaman Facebook yang memberi respons kepada pencarian "k shanmugam bekas isteri" dengan memaparkan gambar Encik Shanmugam serta bekas isterinya.

Satu lagi tangkap layar merupakan satu catatan forum yang mengandungi dakwaan terhadap Encik Shanmugam, dikaitkan dengan "Bekas Cik K Shanmugam".

Dua hari kemudian pada 15 Ogos, satu lagi pengguna TikTok dengan nama pengguna tharakhussin kononnya memuat naik video yang mengandungi gambar catatan Facebook, yang memaparkan artikel diterbitkan oleh celebscritic.com, termasuk kenyataan palsu dan fitnah terhadap Encik Shanmugam.

Meskipun video tersebut tidak membawa kepada artikel itu, ia memaparkan tajuk sepenuhnya, menonjolkan dakwaan hubungan sulit Encik Shanmugam dengan Anggota Parlimen (AP) Foo Mee Har.

Pengguna TikTok ketiga yang dirujuk dalam afidavit Encik Shanmugam dengan nama pengguna thaddeusthomas81, didakwa menyiarkan video pada 17 Ogos berkaitan menteri tersebut dengan kapsyen: "Penjelasan dan lihat siapa isteri dan perempuan simpanan yang didakwa".

Video tersebut juga mengandungi gambar, antara lain, Cik Foo Mee Har serta perkataan "dakwaan hubungan sulit dengan AP Foo Mee Har".

Dalam afidavitnya, Encik Shanmugam menyatakan bahawa beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang hubungan sulit.

Dalam usaha untuk menjelaskan dakwaan palsu itu, Encik Shanmugam menggunakan Facebook di mana beliau berkata bahawa dakwaan dikaitkan dengan bekas isterinya ditulis oleh seorang penyamar.

Encik Shanmugam berkata bahawa bekas isterinya memberitahunya bahawa dia tidak menulisnya, dan sebenarnya seorang penyamar yang membuat dakwaan tersebut.

TIKTOK ENGGAN DEDAH MAKLUMAT PENGGUNA

Selepas Encik Shanmugam menemui video tersebut, beliau menghubungi peguam untuk mengarahkan TikTok mengambil tindakan segera menyekat akses kepada video tersebut.

Beliau juga meminta TikTok memberikan maklumat ketiga-tiga pengguna tersebut.

Walau bagaimanapun, dalam satu e-mel yang dijawab oleh TikTok, ia menyatakan bahawa mereka tidak dapat mendedahkan maklumat tersebut tanpa perintah mahkamah atau keperluan undang-undang lain.

Meskipun TikTok tidak dapat memberikan bantuan, peguam Encik Shanmugam berjaya menghubungi dua pengguna TikTok tersebut melalui Facebook.

Mereka diminta untuk memadamkan video tersebut dan memohon maaf secara bertulis. Namun, tiada seorang pun yang menjawab permintaan tersebut.

MENYEDIAKAN MAKLUMAT PENGGUNA "DIPERLUKAN"

Disebabkan Encik Shanmugam tidak dapat memastikan identiti atau alamat ketiga-tiga pengguna TikTok itu, beliau tidak dapat memulakan prosiding undang-undang secara langsung terhadap mereka.

Dalam afidavitnya, Encik Shanmugam berkata bahawa permintaan bagi dokumen dan maklumat tersebut akan membantu mengenal pasti identiti pengguna, dan ia adalah wajar bagi TikTok untuk menyediakan maklumat tersebut.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan