Shanmugam tuduh WP tidak ambil pendirian rasmi berhubung 377A; Pritam dakwa menteri salah taksir ucapannya
SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) tidak mahu mengambil pendirian berhubung pemansuhan Seksyen 377A dan pindaan terhadap Perlembagaan untuk melindungi takrifan perkahwinan, kata Menteri Undang-Undang K Shanmugam pada Selasa (29 Nov).
Begitu juga dengan usul Parti Kemajuan Singapura (PSP) untuk mengadakan satu pungutan suara bagi menentukan takrifan perkahwinan, yang disifatkan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli sebagai mengelak daripada mengambil pendirian berhubung isu itu.
Berucap semasa menggulung perbahasan selama dua hari itu, Encik Shanmugam menarik perhatian bahawa Ketua WP Pritam Singh mengangkat 'whip' parti bagi kedua Rang Undang-Undang, dan berkata parti tersebut tidak mempunyai pendirian mengenai isu tersebut.
Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak melakukan sedemikian bermakna semua Anggota Parlimen (AP) parti itu mengundi berdasarkan pendirian parti tersebut.
"WP, sebagai sebuah parti, tidak ingin mengambil pendirian mengenai isu ini. Ia tidak mahu dilihat sebagai menyokong pemansuhan. Pada masa yang sama, ia juga tidak mahu dilihat sebagai menentangnya," kata Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri.
"Dengan cara ini, ia berharap untuk menjadi segalanya bagi semua orang, namun sebenarnya tidak bererti langsung bagi sesiapa pun."
WP tidak mempunyai "pendirian rasmi" mengenai pemansuhan Seksyen 377A, tambah Encik Shanmugam.
Encik Singh dan wakil Aljunied lain, Cik Sylvia Lim, Encik Leon Perera, serta Cik He Ting Ru (WP-Sengkang) menyokong pemansuhan tersebut, tetapi Cik Lim dan Cik He tidak setuju dengan pindaan perlembagaan, manakala Encik Singh menyokong langkah tersebut, ujar Encik Shanmugam.
Dalam pada itu, Encik Dennis Tan (WP-Hougang) dan Encik Gerald Giam (WP-Aljunied) menentang pemansuhan Seksyen 377A, tetapi menyokong pindaan terhadap perlembagaan.
"Parti Pekerja berbahas antara mereka sendiri. Mereka berbahas dan berbincang, tetapi tidak membuat keputusan mengenai pendirian parti," kata Encik Shanmugam.
"Jika inilah cara sebuah parti membuat keputusan, bagaimana parti itu akan berfungsi sekiranya mereka berkuasa?"
Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang untuk meminda takrifan perkahwinan dalam Perlembagaan Singapura, dengan 85 AP menyokongnya, dua AP menolak langkah tersebut dan dua AP lain berkecuali.
UCAPAN "DISALAH TAKSIR"
Menjawab komen Encik Shanmugam mengenai langkah WP mengangkat 'whip' parti, Encik Singh memberitahu Parlimen bahawa menteri tersebut "menukil ucapannya dalam konteks berbeza".
Encik Singh menarik perhatian bahawa apa yang dikatakan beliau khusus kepada pendirian parti tersebut pada 2019. Pendirian parti berkenaan ketika itu "berbeza dan berbelah-bagi" tanpa sebarang kata sepakat sama ada Seksyen 377A harus dimansuhkan. Beliau mengangkat 'whip' parti dan tidak mahu menjejas hak undian AP WP.
"Semua AP Parti Pekerja, selain Encik Faisal Manap yang dijangkiti COVID-19, sudah memberikan pendirian peribadi mereka. Dan dalam pendapat saya, mereka bertindak sebagai pihak pembangkang yang taat setia. Bukan kepada PAP, tetapi kepada warga Singapura, dengan mengenali pendirian warga Singapura di luar Parlimen," ujar Encik Singh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.