Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shanmugam tolak permohonan Terry Xu batalkan arahan POFMA berhubung dakwaan polis membuli

Anggaran Waktu Membaca:
Shanmugam tolak permohonan Terry Xu batalkan arahan POFMA berhubung dakwaan polis membuli

Tangkapan skrin: Instagram/Nicholas Zayden Tan

SINGAPURA: Satu permohonan oleh penerbit The Online Citizen Asia, Terry Xu untuk membatalkan arahan pembetulan POFMA yang dikeluarkan terhadapnya baru-baru ini, telah ditolak oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online itu dikeluarkan pada 7 Mei lalu selepas Xu menerbitkan rencana online dan catatan Facebook, yang membuat dakwaan palsu terhadap pihak polis berhubung dengan satu peristiwa di Yishun Avenue 5 pada 2021.

Ia merupakan kali kedua pihak berkuasa telah mengeluarkan arahan pembetulan terhadap catatan-catatan yang diterbitkan Encik Xu berhubung kejadian tersebut.

Dia dikehendaki menerbitkan notis pembetulan seiringan dengan penerbitan di kedua-dua media sosial dan rencana online berkenaan, dengan menyatakan ia mengandungi kenyataan palsu.

Dia juga perlu menyertakan pautan kepada sebuah artikel yang mengandungi fakta kejadian.

Arahan pembetulan itu disertakan pada catatan Facebook Encik Xu pada 8 Mei.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan pada Isnin (22 Mei) bahawa syarat bagi mengeluarkan arahan pembetulan telah dipenuhi, dan permohonan Encik Xu supaya arahan itu dibatalkan "tidak mendedahkan sebarang alasan yang bercanggah".

"Selepas mempertimbangkan permohonan tersebut dengan teliti, Kementerian Dalam Negeri telah memutuskan untuk menolaknya," kata MHA, sambil menambah bahawa Encik Xu sudah dimaklumkan mengenai penolakan tersebut.

Insiden di Yishun Avenue 5 pada 17 Mei 2021 itu, muncul apabila seorang pengguna Instagram mendakwa empat pegawai telah "mengepung seorang warga emas yang menanggalkan pelitupnya kerana berasa sesak nafas" dan terus 'memarahi' wanita itu meskipun dia sudah memakai semula pelitup.

Menurut catatan di Instagram itu seorang individu kemudian terpaksa tampil untuk "menyelamatkan keadaan".

Polis menyangkal dakwaan tersebut sambil mengeluarkan kenyataan pada 19 Mei dan 25 Mei tahun itu. Polis menjelaskan pihaknya dihubungi untuk membantu warga emas tersebut pulang ke rumahnya memandangkan, dia kelihatan sesat.

"Dengan bantuan seorang anggota awam, disahkan kemudian bahawa warga emas tersebut, yang dipercayai menghidap demensia, tinggal di blok berdekatan dan pembantu rumahnya dihubungi untuk membawa wanita itu pulang," menurut polis pada 19 Mei 2021.

MHA menekankan pada awal bulan ini bahawa dakwaan palsu berterusan itu, mungkin menjejas kepercayaan serta keyakinan awam terhadap polis.

Tambahnya, ia memandang serius terhadap komunikasi yang disengajakan berhubung dengan kepalsuan berbaur niat jahat.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan