Skip to main content

Singapura

Shanmugam tolak permohonan SDP ubah perintah POFMA berhubung kenyataan mengenai bantahan di luar Istana

Anggaran Waktu Membaca:
Shanmugam tolak permohonan SDP ubah perintah POFMA berhubung kenyataan mengenai bantahan di luar Istana

Dari kiri: Siti Amirah Mohamed Asrori, Annamalai Kokila Parvathi dan Mossamad Sobikun Nahar di Mahkamah Negara pada 27 Jun 2024. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 11 Apr 2025 02:16PM Dikemas Kini : 11 Apr 2025 02:35PM
SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam menolak permohonan Parti Demokratik Singapura (SDP) untuk mengubah perintah pembetulan yang dikeluarkan terhadapnya atas kenyataannya mengenai kes tiga wanita yang menganjurkan perarakan di sekitar kawasan Istana tanpa permit.

"Setelah menimbangkan permohonan itu dengan teliti, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang telah menilai bahawa tidak ada merit untuk permohonan itu dan telah menolaknya," kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan media pada Jumaat (11 Apr).

ketiga-tiga wanita itu – Annamalai Kokila Parvathi, Siti Amirah Mohamed Asrori dan Mossammad Sobikun Nahar – didakwa kerana menganjurkan perarakan pada 2 Feb 2024 sebagai menyokong perjuangan Palestin. Mereka bertiga didakwa pada 27 Jun tahun lalu atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam.

SDP telah dikenakan arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) dua hari kemudian pada 29 Jun kerana dua kenyataan dalam catatan media sosialnya menggambarkan seolah-olah ketiga-tiga wanita itu didakwa semata-mata kerana menganjurkan acara untuk menyokong rakyat Palestin; dan pemerintah dan seorang menteri mendakwa ketiga-tiga wanita itu kerana mereka telah menyuarakan pandangan yang tidak disetujui pemerintah.

MHA mendedahkan pada Jumaat (11 Apr) bahawa parti itu telah mematuhi perintah pembetulan tersebut pada 29 Jun.

"Kini, lebih sembilan bulan kemudian, pada 7 Apr 2025, SDP telah mengemukakan permohonan itu. Ia menjelaskan dalam kenyataan yang disertakannya bahawa ini adalah untuk membangkitkan isu 'menjelang Pilihan Raya Umum'," tambahnya.

MHA sekali lagi menegaskan bahawa kenyataan SDP adalah palsu dan wanita-wanita itu didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Ketenteraman Awam 2009 kerana menganjurkan perarakan di kawasan Istana.

"Istana adalah kawasan larangan yang ditetapkan di bawah Seksyen 12 (Akta Ketenteraman Awam) dan Perintah Ketenteraman Awam (Kawasan Larangan). Perarakan tidak dibenarkan di tempat seperti itu," tegas MHA.

SDP pada Selasa (8 Apr) memuat naik kenyataan di Facebooknya yang menyatakan bahawa ia telah memohon kepada Encik Shanmugam untuk mengubah perintah POFMA.

SDP menambah bahawa ia akan "membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi" jika perintah tersebut tidak diubah.

MHA pada Jumaat (11 Apr) menyatakan bahawa SDP telah mengemukakan rayuan untuk kenyataan pertama mengenai tiga wanita yang didakwa kerana menganjurkan acara bagi menyokong perjuangan Palestin.

"SDP tidak merayu terhadap kenyataan kedua dalam permohonan itu, yang membayangkan bahawa SDP bersetuju bahawa kenyataan yang dibuatnya adalah palsu," kata MHA.

MHA menambah bahawa SDP telahpun dimaklumkan mengenai keputusan menteri itu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita