Skip to main content

Singapura

Shanmugam tolak gesaan WP supaya bangkitkan isu undang-undang antarabangsa dalam pertemuan dengan rakan luar negara

Anggaran Waktu Membaca:
Shanmugam tolak gesaan WP supaya bangkitkan isu undang-undang antarabangsa dalam pertemuan dengan rakan luar negara

Menteri Kanan K Shanmugam (kiri) dan Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Fadli Fawzi berucap di Parlimen pada 4 November 2026.

Diterbitkan : 04 Nov 2026 08:54PM Dikemas Kini : 04 Nov 2026 09:02PM
Shanmugam rejects WP call to raise international law issues in meetings with foreign counterparts
  • In Parliament on Nov 4, Senior Minister K Shanmugam and Workers’ Party Member of Parliament Fadli Fawzi debated how Singapore handles relations with Israel, following questions about a Haaretz report on a confidential visit by an Israeli delegation.
  • Fadli said illegal settlements in the West Bank and settler violence against Palestinian civilians should be raised when relevant, and that the principles of international law should be applied consistently to all countries.
  • Shanmugam rejected an approach requiring every ministry to raise international law issues at every meeting, explaining that MFA and the Cabinet set the country’s position while ministries handle matters within their respective areas.
  • He also explained that MHA meetings are usually confidential unless those involved request disclosure, and cited Rena Lee’s election to the ICJ as evidence of Singapore’s diplomatic efforts. Fadli rejected the claim that his questions were based on race or religion.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Singapura tidak boleh menjalin hubungan luar atas dasar setiap kementerian harus membangkitkan isu undang-undang antarabangsa setiap kali ia bertemu dengan rakan sejawatannya dari luar negara, kata Menteri Kanan K Shanmugam di Parlimen pada Rabu (4 Nov). 

Beliau menyifatkan pendekatan sedemikian sebagai "tidak masuk akal dan belum pernah berlaku".

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri, berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Fadli Fawzi. Encik Fadli berhujah bahawa Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) seharusnya membangkitkan pendirian Singapura mengenai penempatan Israel dan keganasan golongan peneroka semasa mengadakan pertemuan dengan para pegawai Israel.

Encik Shanmugam juga menuduh Encik Fadli menyampaikan "dua mesej kepada dua khalayak yang berbeza": satu mesej kepada orang ramai bahawa WP menumpukan perhatian kepada kepentingan negara, manakala satu lagi mesej ditujukan khusus kepada masyarakat Melayu/Islam, yang menggambarkan bahawa pemerintah "tidak berprinsip dan bersikap lembut terhadap Israel".

"Itulah tujuan soalan ini dan penjelasan susulannya — untuk membuat orang ramai melihat hubungan antarabangsa kita melalui sudut kaum dan agama," kata Encik Shanmugam.

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Fadli menolak tanggapan bahawa tindakannya didorong oleh isu kaum dan agama. Beliau menambah bahawa beliau tidak mencadangkan agar Singapura membangkitkan setiap isu dua hala atau dasar luar dalam setiap pertemuan, dan pendirian sedemikian bukan pendirian Parti Pekerja (WP). Encik Shanmugam bertikam lidah dengan Encik Fadli selama 18 minit yang berbangkit daripada pertanyaan yang dikemukakan oleh Encik Fadli pada 7 Oktober tentang pertemuan antara para pegawai Singapura dengan Israel.

Anggota Parlimen WP itu bertanya sama ada Singapura telah membincangkan cara menangani penempatan haram dan keganasan oleh peneroka Israel di Tebing Barat semasa pertemuan tersebut; sama ada Singapura meminta supaya pertemuan itu dirahsiakan; dan jika tidak, mengapa perintah pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) tidak dikeluarkan terhadap laporan berita oleh agensi berita Israel, Haaretz.

Akhbar Haaretz melaporkan pada 7 September bahawa sebuah delegasi yang terdiri daripada wakil Perkhidmatan Penjara Israel dan Kementerian Keselamatan Negara Israel telah mengadakan "lawatan sulit" ke Singapura pada bulan tersebut.

Laporan itu juga mendakwa bahawa hukuman mati telah dibincangkan semasa pertemuan itu, satu dakwaan yang disangkal oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Jawapan bertulis Encik Shanmugam pada 7 Oktober menjelaskan bahawa Singapura kerap mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sejawatan antarabangsa mengenai hal ehwal keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang. Beliau turut menjelaskan mengapa MHA memberikan respons kepada Haaretz tetapi tidak mengeluarkan notis di bawah POFMA.

Beliau juga meminta Encik Fadli menyatakan sama ada MHA seharusnya membangkitkan kebimbangan yang lebih luas mengenai dasar sesebuah negara semasa rundingan dua hala, dan sama ada pendekatan ini harus dilakukan secara konsisten terhadap negara-negara lain, bukan sekadar Israel.

Jika ya, Encik Fadli diminta menjelaskan bagaimana pendekatan sedemikian dapat menyokong kepentingan keseluruhan Singapura.

Pada Rabu, Encik Fadli berkata bahawa adalah relevan untuk menegaskan pendirian Singapura semasa pertemuan tersebut —bahawa penempatan Israel di Tebing Barat adalah haram di sisi undang-undang antarabangsa —serta menyuarakan kebimbangan mendalam mengenai keganasan oleh golongan peneroka terhadap orang awam Palestin di Tebing Barat.

Menjawab soalan Encik Shanmugam tentang sama ada prinsip ini harus terpakai hanya kepada Israel atau secara konsisten ke atas semua negara, Encik Fadli berkata: "Saya berpendapat bahawa prinsip di mana Singapura harus menangani isu-isu yang relevan dengan kebimbangan, komitmen, dan kepentingan kita, wajar diterapkan secara konsisten terhadap semua negara yang berurusan dengan Kementerian Ehwal Dalam Negeri." “Saya juga berpendapat bahawa apabila berurusan dengan rakan sejawatan dari luar negara, Singapura harus menegakkan pendekatan menyeluruh pemerintah dalam mendukung komitmen kita terhadap undang-undang antarabangsa serta aturan antarabangsa yang berasaskan peraturan.”

Menjawab pertanyaan beliau, Encik Shanmugam bertanya sama ada maksud Encik Fadli ialah setiap kementerian mesti membangkitkan isu-isu undang-undang antarabangsa apabila bertemu dengan rakan-rakan sejawatan mereka dari luar negara, walaupun isu tersebut tidak berkaitan secara langsung dengan kementerian berkenaan.

“Bolehkah saya bertanya, berdasarkan logik tersebut, bukankah lebih penting — sebagai satu peraturan—untuk turut membangkitkan isu-isu dua hala antara kedua-dua negara, tidak kira kementerian mana yang sedang mengadakan pertemuan?”

Encik Fadli menegaskan bahawa Singapura harus membangkitkan sesuatu isu semasa rundingan dua hala “sekiranya ia relevan dan demi kepentingan kita untuk berbuat demikian”.

Encik Shanmugam berkata bahawa Encik Fadli berpegang kepada pendirian bahawa prinsip tersebut harus terpakai ke atas semua negara, namun beliau tidak menjawab sama ada prinsip itu juga harus merangkumi keseluruhan spektrum isu dua hala antara Singapura dengan negara-negara tersebut.

Cadangan mengenai bagaimana urusan dua hala Singapura dengan negara lain harus diuruskan — iaitu setiap kementerian, apabila bertemu dengan Israel atau mana-mana negara lain, mesti membangkitkan semua isu yang mungkin berkaitan dengan undang-undang antarabangsa serta semua isu dua hala yang mungkin wujud —adalah sesuatu yang "mungkin merupakan satu pendekatan baharu", kata Encik Shanmugam.

Beliau menjelaskan bahawa Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kabinet menentukan pendirian Singapura terhadap mana-mana negara, serta tahap pertemuan yang akan diadakan, termasuk sama ada pertemuan tersebut wajar diadakan atau tidak.

Setiap kementerian juga menangani isu-isu yang relevan secara langsung mengikut bidang tugas masing-masing, tambah beliau.

Sebagai sebuah negara kecil, adalah penting untuk Singapura memastikan undang-undang antarabangsa ditegakkan. Namun, ini tidak bermakna prinsip-prinsip tersebut perlu ditekankan dalam setiap pertemuan.

"Perkara-perkara ini ditangani dengan pertimbangan yang wajar dan secara bijaksana. Dan jika Anggota Parlimen tersebut berpendapat bahawa dalam setiap pertemuan dengan Israel —berkaitan isu peneroka di Tebing Barat — isu-isu tersebut harus dibangkitkan, maka sila kemukakan usul penangguhan dan kita boleh membahaskannya," kata beliau.

PEMILIHAN SERTAI ICJ ADALAH "BUKTI" KEMAHIRAN DIPLOMASI SINGAPURA

Encik Shanmugam memberikan contoh Duta Undang-Undang Antarabangsa, Rena Lee, yang telah dipilih sebagai hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)— menjadikan beliau rakyat Singapura pertama dan wanita pertama dari Asia Tenggara yang mencapai kedudukan tersebut.

Cik Lee, 57 tahun, memperoleh jumlah undi tertinggi dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan 151 daripada 191 undi, dan turut mencatat jumlah undi tertinggi (berkongsi kedudukan) dalam Majlis Keselamatan PBB dengan 13 daripada 15 undi.

Kementerian Undang-Undang (MinLAW) dan Kementerian Ehwal Luar (MFA) telah bekerja keras untuk melobi negara-negara lain, kata Encik Shanmugam, sambil menambah bahawa beliau sendiri turut terlibat dalam perbincangan awal.

Jumlah undi yang diperoleh Cik Lee merupakan satu "bukti" tentang kemahiran diplomasi Singapura serta cara negara ini membawa diri di persada antarabangsa, tambah beliau.

Beliau mengemukakan satu senario, umpamanya jika Singapura bertemu dengan lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dan membangkitkan isu mengenai senjata yang telah dibekalkan oleh negara-negara tersebut ke zon konflik, di mana berlaku pelanggaran undang-undang antarabangsa. "Anda bermula dengan menyenaraikan kategori isu undang-undang antarabangsa ini, kemudian anda berkata, 'sebenarnya, bolehkah anda menyokong kami?' Saya rasa para Anggota Parlimen dan rakyat Singapura dapat melihat betapa tidak masuk akal dan peliknya pendirian sedemikian," kata Encik Shanmugam.

"DUA MESEJ"

Encik Shanmugam berkata bahawa ada satu "perkara yang lebih penting" tentang kenyataan Encik Fadli.

"Mengambil kesempatan daripada artikel Haaretz ini, mengemukakan cadangan yang tidak masuk akal tentang cara kami menangani urusan dan bagaimana kami seharusnya bertindak —dengan tanggapan bahawa orang ramai tidak faham bagaimana perbincangan antara kementerian sebenarnya berlaku, serta dengan keyakinan penuh bahawa orang ramai akan mengabaikan perincian tentang bagaimana Singapura menguruskan hubungan antarabangsanya— dan cuba menggambarkan seolah-olah pemerintah tidak berprinsip dan bersikap lembut terhadap Israel."

Encik Shanmugam menambah bahawa adalah satu kesalahan untuk cuba melihat hubungan antarabangsa Singapura melalui sudut kaum dan agama.

Encik Fadli menolak tanggapan bahawa pendiriannya didorong oleh faktor kaum dan agama.

"Ini pada dasarnya adalah isu mengenai bagaimana Singapura boleh menegakkan komitmennya terhadap undang-undang antarabangsa, secara konsisten, saksama, dan objektif," katanya.

Beliau menambah bahawa Singapura seharusnya hanya menyuarakan kebimbangan apabila ia "relevan".

Beliau menegaskan bahawa dalam kes pertemuan dengan pihak Israel, kewujudan penempatan haram adalah relevan kerana artikel Haaretz telah menamakan dua pegawai dalam delegasi Israel yang dikaitkan dengan pembinaan pos-pos haram di Tebing Barat.

Menjawabnya, Encik Shanmugam berkata beliau tidak faham bagaimana isu keganasan oleh golongan peneroka boleh menjadi relevan kepada perbincangan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), sedangkan Encik Fadli sendiri tidak tahu apa yang dibincangkan oleh kedua-dua pihak.

"Saya telah menyatakan dalam ucapan-ucapan saya bahawa teras utama dalam undang-undang dan pendekatan antarabangsa mestilah berdasarkan kepentingan diri yang bijaksana," katanya.

Beliau menambah bahawa Encik Fadli sepatutnya menyedari, melalui soalan yang diajukan oleh Encik Shanmugam, bahawa pendiriannya itu "tidak masuk akal".

"Sebaliknya, beliau terus melangkah lebih jauh dan berkeras dengan pendiriannya itu," kata Encik Shanmugam. Mengenai sama ada Singapura meminta supaya pertemuan dengan pegawai-pegawai Israel dirahsiakan, Encik Shanmugam menyatakan bahawa pertemuan antara Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dengan rakan-rakan sejawatannya hampir sentiasa dirahsiakan, kecuali jika terdapat permintaan daripada pihak-pihak terlibat untuk mendedahkannya kepada umum.

Encik Shanmugam menegaskan bahawa beliau telah memberikan jawapan bahawa salah satu pihak telah meminta supaya pertemuan tersebut didedahkan kepada umum.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita