Shanmugam tolak dakwaan CAPHRA tindakan tegas SG terhadap vape akan wujudkan pasaran haram
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam, bercakap semasa temu bual media bersebelahan Blok 103 Yishun Ring Road pada 30 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Gabungan Penyokong Pengurangan Kemudaratan Tembakau Asia Pasifik (CAPHRA) memberi amaran bahawa larangan akan "mendorong pasaran haram" sambil menafikan akses perokok kepada alternatif yang lebih selamat, menurut artikel oleh Tobacco Reporter, yang mempamerkan badan itu di lamannya sebagai "jurnal perdagangan terkemuka di dunia".
CAPHRA menyatakan demikian sebagai membalas ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan Perdana Menteri Lawrence Wong awal bulan ini, di mana beliau berkata bahawa vape akan dianggap sebagai masalah dadah.
Singapura mengurangkan penggunaan vape, dan tidak lama lagi akan menyenaraikan etomidate - agen anestetik yang dikesan dalam beberapa vape - dalam Akta Penyalahgunaan Dadah.
Mulai 1 September, etomidate akan disenaraikan sebagai dadah Kelas C, bermakna ia akan diharamkan daripada pengedaran, pengilangan, import, eksport, pemilikan atau penggunaan etomidate tanpa kebenaran.
CAPHRA menyokong usaha mengurangkan kesan buruk, dengan menyarankan para pengguna cara terkawal untuk hisap tembakau atau dadah, untuk mengurangkan secara keseluruhan kesan buruk yang mungkin timbul.
Ia memberi amaran bahawa hukuman yang lebih berat "berisiko menjejas usaha global untuk mengurangkan bahaya tembakau", sambil menambah bahawa negara yang mengawal selia produk nikotin yang lebih selamat menyaksikan "pengurangan mendadak" kematian berkaitan merokok.
Bercakap kepada media sebelum acara masyarakat di Chong Pang pada Sabtu, Encik Shanmugam menyelar CAPHRA serta kenyataannya.
Beliau menggelar CAPHRA sebagai "kumpulan aktivis" yang mana ahlinya mempromosikan alat merokok elektronik dengan menggunakan alasan mengurangkan bahaya tembakau.
Beliau juga berkata mereka seolah-olah seperti kumpulan yang menyokong syarikat tembakau, dengan naratif bahawa rokok elektronik adalah alternatif yang lebih selamat daripada rokok konvensional.
"Ia maklumat palsu yang dijaja oleh pertubuhan ini dan mereka mengelak daripada berkata ia berbahaya sama sekali," katanya.
Encik Shanmugam berkata penyelaras eksekutif CAPHRA kerap bercakap di Forum Tembakau dan Nikotin Global, yang menurutnya disokong oleh syarikat tembakau antarabangsa utama.
"Kesimpulan saya (adalah) mereka merupakan orang tengah, pendek kata jurucakap berbayar untuk industri tembakau, yang berharap untuk menolak nikotin melalui vape. Dan mereka tidak begitu peduli jika barangan lain juga ditolak melalui vape," katanya.
Pengharaman vape akan menjejas perniagaan mereka, dan tumpuan utamanya bukanlah kesihatan rakyat Singapura, tambahnya.
“(Pemerintah) Singapura, bagi kami, tumpuan utama adalah keselamatan, keselamatan dan kesihatan rakyat Singapura … Saya tidak mahu mendengar beberapa NGO, yang nampaknya dibiayai oleh syarikat tembakau, dan mendapatkan nasihat daripada mereka tentang apa yang baik untuk masyarakat kita dan anak-anak kita,” katanya.
Mengenai kedudukan CAPHRA terhadap pendirian Singapura, Encik Shanmugam berkata pandangan NGO itu tidak mewakili pandangan rakyat.
Beliau berkata NGO tersebut berkempen menentang perjanjian Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai kawalan tembakau, dan mempromosikan dakwaan yang mengelirukan tentang e-rokok.
“Vape berasaskan nikotin serupa empat paket rokok dalam satu vape, dan kini jika anda mempunyai vape, anda boleh menggabungkannya dengan pelbagai jenis barangan lain… Bolehkah anda benar-benar katakan ia bagus untuk anda?”
Mengenai usaha mengurangkan kesan buruk, Encik Shanmugam berkata ia mungkin membantu di negara-negara di mana penggunaan dadah berleluasa, tetapi keadaan tidak sama di Singapura.
"Kami berada dalam situasi di mana, sebenarnya, kami pertama sekali agak berjaya menghentikan pengedaran dadah," katanya, sambil menambah bahawa sistem perundangan, polis dan Biro Narkotik Pusat (CNB) berhasil menangani perkara ini.
“Secara keseluruhannya, masyarakat kita bebas dadah, dan oleh itu, mengapa kita perlu pertimbangkan tentang mengurangkan kesan buruk?” soal Encik Shanmugam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.