Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shanmugam tolak andaian penjara S'pura "terlalu padat"

Anggaran Waktu Membaca:
Shanmugam tolak andaian penjara S'pura "terlalu padat"

(Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)

Diterbitkan : 04 Jul 2022 09:42PM Dikemas Kini : 04 Jul 2022 10:22PM
SINGAPURA: Keadaan di penjara di Singapura boleh diterima, Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam memberitahu Parlimen pada Isnin (4 Jul). Beliau menambah rejim penjara juga sengaja dilaksanakan dalam keadaan yang ketat dan tegas.

Encik Shanmugam berkata lokap penjara tidak mempunyai kipas atau tilam untuk mengurangkan risiko keselamatan seperti perbuatan membunuh diri atau menyorok barang seludup manakala rejimnya ketat bagi mencegah banduan daripada mencederakan diri mereka sendiri atau mencetuskan keadaan keselamatan.

Encik Shanmugam menyampaikan kenyataan menteri mengenai keadaan penjara dan pemulihan, dalam respons kepada beberapa soalan parlimen dan "minat yang mendalam" mengenai topik itu menyusuli siri dokumentari 'Inside Maximum Security' terbitan CNA.

Anggota Parlimen (AP) Murali Pillai (PAP-Bukit Batok) bertanya jika keadaan penjara Singapura mencerminkan kedudukan Jabatan Penjara Singapura (SPS) sebagai sebuah agensi pembetulan terkemuka. Sementara itu, AP lain mengajukan soalan tentang bantuan yang dihulukan kepada banduan yang mengalami masalah perubatan atau kesihatan mental.

Pertubuhan luar juga mempersoalkan keadaan penjara Singapura, kata Encik Shanmguam, sambil merujuk kepada bagaimana mahkamah UK menyatakan ia "tidak sesuai" dalam kes David Roach, perompak bank Standard Chartered yang cuba membantah penghantaran pulang ke Singapura.

“Perkara lain yang dibangkitkan dari tempat-tempat lain, mengenai tempoh lama yang dihabiskan banduan di dalam lokap, banduan tidur atas tikar dan terlalu padat," kata menteri itu.

KAPASITI DAN SOKONGAN PERUBATAN

Encik Shanmugam menolak andaian seolah-olah bahawa penjara Singapura terlalu padat, dengan menyatakan ia beroperasi sekitar 70 peratus daripada kapasiti yang ditetapkan.

Beliau menukil laporan Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan keadaan terlalu padat penjara berlaku di seluruh dunia, dengan data sedia ada menunjukkan penjara-penjara di kurang separuh daripada 100 negara sedang beroperasi pada skala 100 peratus daripada kapasiti yang ditetapkan.

Encik Shanmugam menarik perhatian Kompleks Penjara Changi dibina pada awal tahun-tahun 2000. Penjara dan pusat pemulihan dadah kini mengambil ruang kurang satu peratus daripada tanah Singapura yang terhad keluasannya.

Encik Shanmugam berkata "keperluan penting" banduan dipenuhi dan semua banduan yang masuk bilik kurungan dinilai dari segi keadaan fizikal dan kesihatan mental mereka. Banduan boleh melaporkan diri mereka sakit pada bila-bila masa sekiranya mereka berasa tidak sihat.

“Mereka diberikan jagaan perubatan yang wajar oleh pegawai perubatan penjara, ahli psikiatri penjara dan kakitangan perubatan sokongan," katanya sambil menambah bahawa 94 peratus daripada banduan yang layak dari segi perubatan sudahpun menerima vaksinasi COVID-19.

“Mereka yang memerlukan perhatian pakar dan jagaan perubatan boleh dirujuk kepada Hospital Pemerintah yang Disusun Semula."

Encik Shanmugam berkata data mengenai banduan yang didiagnos dengan keadaan kesihatan mental sewaktu kemasukan ke penjara tidak "dijejak secara aktif" meskipun beliau menyatakan bahawa setakat Mac, sekitar lima peratus daripada bantuan bergantung kepada ubat-ubatan untuk menguruskan keadaan kesihatan mental mereka, kebanyakannya melibatkan penyesuaian dan gangguan mood.

Banduan yang memerlukan rawatan susulan aktif di Institut Kesihatan Mental (IMH) apabila dimasukkan ke penjara juga dirujuk kepada seorang ahli psikiatri, kata Encik Shanmugam.

KEADAAN FIZIKAL

Banduan yang memerlukan jagaan tambahan, seperti mereka yang sudah berumur atau mempunyai masalah pergerakan, akan ditempatkan di wad perubatan yang dipanggil unit pembetulan bagi kehidupan yang dibantu. Unit-unit itu mempunyai katil, mangkuk tandas, susur tangan, palang tempat berpaut dan lantai tidak licin.

Walaupun bilik-bilik kurungan biasa untuk menempatkan satu, dua dan lapan banduan juga dilengkapi dengan kemudahan tandas, ia tidak mempunyai tempat tidur. Banduan disediakan dengan tikar dan dua selimut.

Bilik kurungan itu juga tidak mempunyai kipas kerana kipas yang dipasang pada dinding boleh ditanggalkan dan bahagiannya digunakan sebagai senjata atau bertindak sebaga "sejata berpotensi untuk membunuh diri", kata Encik Shanmugam.

"Sebaliknya terdapat gabungan pengaliran udara secara asli dan mekanikal di dalam bilik kurungan," kata Encik Shanmugam.

REJIM KETAT

Encik Shanmugam berkata rejim penjara "sengaja" dilaksanakan dengan ketat, dengan "banyak penekanan" pada keselamatan serta pemantauan agar pegawai tahu apa yang berlaku.

Pendekatan ini mungkin antara penyumbang kepada kadar pembunuhan diri yang lebih rendah di penjara, kata Encik Shanmugam. Beliau menarik perhatian terdapat satu kes bunuh diri dalam penjara Singapura antara 2017 hingga 2021.

Kadar serangan di penjara Singapura juga rendah iaitu sekitar 47 bagi setiap 10,000 banduan sejak Tahun Kewangan 2019, kata Encik Shanmugam. Beliau membandingkannya dengan kadar lebih tinggi di Hong Kong (520), Australia (214) dan Korea Selatan (105) bagi tahun kalendar 2019.

PEMULIHAN DAN PENGULANGAN JENAYAH

Menyentuh tentang pemulihan, Encik Shanmugam berkata pendekatan SPS berdasarkan konsep jagaan atau penyeliaan secara berterus, yang melibatkan proses menangani keperluan pemulihan banduan di dalam penjara serta memudahkan integrasi semula mereka ke dalam masyarakat setelah dibebaskan.

Encik Shanmugam juga menarik perhatian kepada kadar pesalah bentan yang "rendah dan stabil" selama dua tahun di Singapura atau peratusan pesalah tempatan yang ditahan, dipenjara atau diarahkan supaya menjalani perintah melaporkan diri dalam tempoh dua tahun sejak pembebasan mereka dari penjara.

Kadar pesalah bentan yang terkini bagi kohort yang dibebaskan pada 2019 adalah 20 peratus iaitu paling rendah dalam tempoh tiga dekad lalu. Kadar pesalah bentan bagi tempoh lima tahun, untuk kohort 2015, adalah 41.7 peratus.

Encik Shanmugam juga berkata SPS menyediakan pelbagai wadah untuk banduan membuat pertanyaan, menyediakan maklum balas mahupun membangkitkan keprihatinan tentang pengurusan dan pemulihan mereka.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan