Shanmugam ‘terkejut’ keputusan kes cabul NUS, kata AGC cadang kemuka rayuan
Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal dalam Negeri K Shanmugam berkata pada Jumaat (27 Sep) beliau "terkejut" dengan keputusan mahkamah selepas seorang pelajar Universiti Nasional Singapura (NUS) dijatuhi hukuman probesyen kerana mencabul seorang wanita.
SINGAPURA: Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal dalam Negeri K Shanmugam berkata pada Jumaat (27 Sep) beliau "terkejut" dengan keputusan mahkamah selepas seorang pelajar Universiti Nasional Singapura (NUS) dijatuhi hukuman probesyen kerana mencabul seorang wanita.
Terence Siow Kai Yuan, 23, didapati bersalah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsanya, yang identiti beliau tidak didedahkan atas arahan mahkamah.
Pada Rabu, Siow dijatuhi hukuman probesyen bersyarat selama 21 bulan dan diarah melakukan khidmat kemasyarakatan selama 150 jam selain menghadiri program pemulihan khas. Ibu bapanya juga membayar bon S$5,000 sebagai jaminan kelakuan baiknya.
Siow menyentuh paha mangsa sebanyak dua kali semasa menaiki MRT. Dia mencabul mangsa sekali lagi semasa menaiki tangga bergerak di stesen MRT Serangoon.
Dalam satu catatan di Facebook, Encik Shanmugam berkata beliau meminta pandangan Pejabat Peguam Negara (AGC) kerana terkejut dengan keputusan mahkamah.
"Para pegawai AGC berkata mereka tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah dan berhasrat untuk mengemukakan rayuan. Ia sejajar dengan pandangan saya sendiri," tulis beliau.
Encik Shanmugam menarik perhatian terdapat "reaksi yang ketara" terhadap kes ini, sambil menambah bahawa bapa mangsa juga telah menghubunginya.
"Saya faham bagaimana perasaan mangsa dan ibu bapanya. Bapanya menulis untuk menghubungi saya. Ramai di kalangan kami (dalam pandangan saya sebagai seorang bapa), juga berasa sama," kata beliau.
Meskipun orang ramai berhak meluahkan pandangan terhadap keputusan dan perasaan mereka terhadap hukuman yang dijatuhkan, Encik Shanmugam berkata mereka seharusnya "elak mencemar nama baik" hakim berkenaan.
Para hakim "melaksanakan tanggungjawab mereka sebaik mungkin" kata beliau.
"Kita seharusnya membiarkan Mahkamah Rayuan meneliti hal ini," tambah Encik Shanmugam lagi.
"Jika setelah keputusan rayuan diputuskan dan kita sebagai sebuah masyarakat masih berpendapat undang-undang sepatutnya menghasilkan keputusan berbeza, itu bukan salah mahkamah.
"(Apabila ini berlaku) ia terpulang kepada Parlimen untuk menanganinya, meminda undang-undang. Dan orang ramai tahu - di Singapura, Pemerintah akan bertindak dan membentangkan rang undang-undang untuk dipertimbangkan Parlimen."
PETISYEN MEMBANTAH "PILIH KASIH"
Setakat 1.00 tengah hari Jumaat, lebih 10,000 orang menandatangani petisyen di laman change.org yang menyeru orang ramai mengambil pendirian terhadap apa yang dilihat sebagai "pilih kasih" terhadap pesalah laku seks.
Hakim pada Rabu dilaporkan menyifatkan kesalahan Siow sebagai "gangguan kecil" dan jabatan probesyen mendapatinya sesuai untuk menjalani hukuman probesyen kerana prestasi akademiknya menunjukkan dia "berpotensi berjaya dalam hidup", menurut laporan New Paper.
Hukuman menggunakan kekerasan jenayah dengan tujuan mencabul kehormatan membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, didenda, atau gabungan mana-mana daripada ketiga-tiga hukuman tersebut.
Mediacorp tidak berada di mahkamah semasa Siow dijatuhkan hukumani. Menjawab pertanyaan Mediacorp, Mahkamah Negara menyatakan salinan komen hakim tidak dapat diedarkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.