Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shanmugam tegur Leong Mun Wai buat komen berbaur perkauman, perlekehkan pendekatan berbilang kaum SG

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai menunjukkan bahawa beliau tidak begitu menghargai pendekatan berbilang kaum Singapura dan mempunyai sejarah mengeluarkan komen berbaur perkauman, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam di Parlimen pada Rabu (5 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Feb 2025 07:26PM Dikemas Kini : 05 Feb 2025 11:06PM
SINGAPURA: Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai menunjukkan bahawa beliau tidak begitu meletakkan nilai yang tinggi pada pendekatan berbilang kaum Singapura dan mempunyai sejarah mengeluarkan komen berbaur perkauman, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam di Parlimen pada Rabu (5 Feb).

Menjawab, Encik Leong berkata pendiriannya terhadap Dasar Integrasi Kaum (EIP) bagi perumahan awam adalah atas dasar kos ekonomi semata-mata.

Perbalahan pendapat itu berlaku selepas Encik Shanmugam menjawab soalan oleh mantan Setiausaha Agung Parti Kemajuan Singapura (PSP) berkenaan mengenai usaha pemerintah untuk menyemak semula rangka kerja CMIO (Cina-Melayu-India-Lain-lain) di negara ini, iaitu satu alat pentadbiran bagi pemerintah untuk menguruskan dasar berhubung kaum.

Encik Leong berkata soalannya itu timbul dari apa yang dikatakan oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong di persidangan Institut Kajian Dasar pada 20 Januari lalu, di mana beliau berkata model CMIO itu perlu disemak secara kerap bagi mencerminkan landskap berbilang budaya Singapura yang semakin rumit.

NILAI DALAM PENDEKATAN BERBILANG KAUM

Encik Shanmugam kemudian menanyakan Encik Leong mengenai rasional beliau di sebalik soalan itu.

Tambahnya Encik Leong memegang "perspektif sangat berbeza" daripada dirinya dan Encik Tong berhubung rangka kerja CMIO dan kesannya, seperti ke atas EIP.

Diperkenalkan pada 1989, EIP menetapkan kuota bagi jumlah flat yang boleh dimiliki oleh setiap kumpulan kaum di sesebuah blok HDB atau kejiranan bagi mengelak sebarang kumpulan kaum daripada membentuk majoriti penduduk di estet HDB.

"Dan saya rasa perspektif berlainan itu adalah jelas bila, sebagai contoh, anda lihat apa yang pernah dikatakan Encik Leong sebelum ini, misalnya, berhubung kehidupan di HDB," kata Encik Shanmugam.

Beliau menukil komen Encik Leong sebelum ini mengenai warga Singapura "dihukum" untuk tinggal di flat-flat HDB.

Menurut laman HDB, lebih 80 peratus penduduk Singapura tinggal di flat HDB.

"Encik Leong juga mengeluarkan komen di Parlimen ini yang berbaur perkauman, dan dia secara terbuka mengaku telah berbuat demikian," kata Encik Shanmugam.

Merujuk kepada rekod perbahasan di parlimen, Encik Shanmugam membuat rujukan kepada perbahasannya dengan Encik Leong semasa sidang pada September 2021, di mana topik mengenai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh India-Singapura (CECA) dibangkitkan.

Ketika sidang itu, Encik Shanmugam menarik perhatian bahawa komen Encik Leong mengenai CECA bahkan menyulitkan anggota partinya sendiri di mana, menurut laporan media, mentafsirkan komen-komennya sebagai menyasarkan masyarakat India dan mempunyai nada perkauman.

Encik Leong akhirnya berkata "sesetengah individu beranggapan ada nada perkauman".

"Jika anda lihat pada komennya, iaitu di mana beliau berkata 80 peratus rakyat Singapura yang yang tinggal di flat HDB adalah "terkutuk", dan anda gabungkan dengan komen-komennya yang berbaur perkauman, Encik Leong mungkin tidak begitu menghargai pendekatan berbilang kaum kami, beliau mungkin tidak begitu menghagai dasar integrasi kaum di estet-estet perumahan kami," kata Encik Shanmugam pada Rabu.

Beliau juga menekankan bahawa EIP adalah sebahagian utama daripada pendekatan Pemerintah untuk memastikan integrasi penduduk dengan baik dan estet-estet perumahan diuruskan dengan baik.

"Dan CMIO merupakan tunggak utama dasar-dasar sedemikian," katanya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan