Skip to main content

Singapura

Shanmugam tegaskan semua masyarakat tanpa kira kaum atau agama berhak rasa selamat di SG

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Nov 2025 07:39PM Dikemas Kini : 21 Nov 2025 01:31AM
SINGAPURA: Anggota masyarakat Yahudi di Singapura menghadapi gelombang "insiden yang tidak menyenangkan, permusuhan, secara online dan di luar talian", yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka di tengah-tengah ketegangan global mengenai konflik Israel-Hamas, kata Menteri Ehwal dalam Negeri K Shanmugam.

Berucap di Sinagog Chesed-El pada Khamis (6 Nov) sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-120, Encik Shanmugam berkata penduduk Yahudi kini berasa "kurang selamat".

"Saya datang ke sini hari ini kerana terdapat maklum balas daripada masyarakat Yahudi tentang bagaimana reaksi di Singapura ... terhadap peristiwa di luar negara telah memberi kesan terhadap kehidupan beberapa anggota masyarakat Yahudi," katanya.

Encik Shanmugam yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, menukil beberapa kejadian yang berlaku baru-baru ini.

Pada September lalu, tandas-tandas di beberapa sekolah antarabangsa di Singapura diconteng dengan kata-kata kesat anti-Israel.

Terdapat pelajar Yahudi berdaftar di sekolah-sekolah itu.

Pada bulan lalu, seorang pemandu menjerit 'Bebaskan Palestin' sambil berlalu di hadapan seorang anggota masyarakat Yahudi yang memakai kippah, dalam perjalanan ke sinagog atau saumaah di Waterloo Street.

"Di Singapura, penganut mana-mana agama yang memakai penanda agama yang jelas kelihatan... tidak seharusnya berasa seolah-olah mereka menjadi sasaran disebabkan oleh agama mereka," kata Encik Shanmugam.

Beliau juga berkongsi contoh seorang lelaki warga Melayu yang menyerang seorang lelaki warga Cina yang memakai topi yang ditampal sesuatu yang kelihatan seperti bendera Israel.

"Polis masih sedang menyiasat. Kami belum tahu fakta penuh, mengapa lelaki itu melakukan sedemikian... tetapi ia satu trend yang membimbangkan," katanya.

Pemerintah juga menerima laporan bahawa seorang individu beragama Katolik dikutuk oleh sebuah pasangan "atas nama Tuhan" kerana tidak melakukan apa-apa untuk rakyat Palestin.

Pada lewat tahun lalu, terdapat kejadian contengan grafiti dalam tandas awam yang menyatakan orang Melayu menyokong Hamas.

Encik Shanmugam berkata polis juga sedang menyiasat kejadian itu dan semua insiden diambil serius.

"Semua masyarakat kita, tidak kira kaum dan agama, berhak untuk berasa selamat di Singapura... tidak kira saiz masyarakat mereka," katanya.

"Tempat ibadat mereka - kita tidak boleh menjadikannya sebagai kubu. Ia perlu boleh diakses secara bebas, tetapi pada masa yang sama, rakyat Singapura dari semua agama seharusnya dapat menjalani kehidupan mereka dengan rasa selamat dan terjamin."

Beliau menambah Singapura sudah mengumpulkan jumlah dana yang besar bagi penduduk Palestin dan menawarkan biasiswa kepada penduduk Palestin untuk datang ke Singapura, tetapi rakyat Singapura tidak seharusnya menyasarkan warga Singapura yang lain.

"Kami tidak membawa masuk konflik asing untuk kita menentang satu sama lain. Dana apa yang berlaku di luar negara kekal di luar negara."
Sumber : CNA/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita