Skip to main content

Singapura

Shanmugam, Tan See Leng tuntut ganti rugi dari Terry Xu berhubung artikel TOC tentang GCB

Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng hadir di Mahkamah Tinggi pada Khamis (26 Feb) untuk menuntut ganti rugi daripada Encik Terry Xu, ketua editor laman web sosiopolitik The Online Citizen (TOC) kerana memfitnah mereka dalam satu artikel tentang urus niaga mereka yang melibatkan Rumah Banglo Kelas Baik (GCB).
Anggaran Waktu Membaca:
Shanmugam, Tan See Leng tuntut ganti rugi dari Terry Xu berhubung artikel TOC tentang GCB
Dari kiri: Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng dan ketua editor The Online Citizen Terry Xu. (Gambar fail: CNA, Parlimen Singapura)
SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng hadir di Mahkamah Tinggi pada Khamis (26 Feb) untuk menuntut ganti rugi daripada Encik Terry Xu, ketua editor laman web sosiopolitik The Online Citizen (TOC) kerana memfitnah mereka dalam satu artikel tentang urus niaga mereka yang melibatkan Rumah Banglo Kelas Baik (GCB).

Encik Xu, yang sudah berpindah ke Taiwan selepas dijatuhi hukuman berasingan kerana memfitnah anggota Kabinet, tidak hadir di mahkamah. Beliau juga tidak menghantar sebarang wakil.

Encik Xu didapati bertanggungjawab atas fitnah terhadap kedua-dua menteri dalam penghakiman yang dikeluarkan pada Ogos 2025.

Kenyataan pembukaan yang dikemukakan pada Khamis (26 Feb) oleh Peguam Kanan Davinder Singh, yang mewakili kedua-dua menteri, tidak menunjukkan sebarang angka untuk ganti rugi yang diminta.

Perbicaraan itu ringkas dan kebanyakannya bersifat prosedural, dengan para menteri mengambil giliran untuk mengangkat sumpah bagi afidavit mereka dan memberi respons kepada penjelasan hakim mengenai portfolio politik mereka.

Kes itu kemudiannya ditangguhkan untuk Encik Davinder memfailkan penyerahan hujah penutupan, yang juga perlu disampaikan kepada Encik Xu.

APA YANG BERLAKU

TOC menerbitkan sebuah artikel pada Disember 2024 bertajuk "Bloomberg: Nearly half of 2024 GCB transactions lack public record, raising transparency concerns".

Ini menyusuli artikel Bloomberg, bertajuk "Singapore Mansion Deals Are Increasingly Shrouded in Secrecy", yang diterbitkan pada 12 Dis 2024.

Para menteri juga telah menyaman Bloomberg dan wartawannya atas tuduhan fitnah, dengan perbicaraan dijadualkan pada April.

Menurut afidavit Encik Shanmugam, perkataan yang menyinggung perasaan dalam artikel TOC termasuk perenggan yang menggambarkan seolah-olah pasaran GCB adalah eksklusif di Singapura, yang semakin ditakrifkan oleh kerahsiaan dan penggunaan amanah, di tengah-tengah perdebatan yang semakin meningkat mengenai ketelusan.

Artikel itu memetik laporan Bloomberg yang mendakwa Dr Tan membeli GCB di Brizay Park pada tahun 2023 dengan harga S$27.3 juta.

Artikel itu turut mendakwa bahawa ini bukan penyertaan pertama Dr Tan dalam pasaran GCB, sambil menambah bahawa Business Times melaporkan bahawa beliau memperoleh GCB di Peirce Road dengan harga hampir S$24 juta semasa berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare.

Kata-kata yang menyinggung perasaan dalam artikel itu juga merangkumi perenggan tentang urus niaga oleh Encik Shanmugam, di mana beliau menjual GCB di Queen Astrid Park pada harga S$88 juta.

Dalam perenggan lain yang turut menyinggung perasaan, artikel itu mendakwa bahawa "jalinan tokoh politik dengan amalan hartanah yang tidak jelas menekankan keperluan bagi perlindungan yang lebih kukuh".

Encik Xu dipercayai enggan menggugurkan artikel yang menyinggung perasaan itu daripada laman web TOC.

KENYATAAN PEMBUKAAN

Dalam kenyataan pembukaannya pada Khamis (26 Feb), Encik Davinder menyatakan bahawa kesan kegagalan Encik Xu untuk memfailkan pembelaan adalah fakta dalam pernyataan tuntutan yang dianggap telah diakui olehnya.

Beliau perlu membayar kos guaman kedua-dua menteri, tidak boleh mempertikaikan liabiliti dan hanya jumlah ganti rugi dan kos yang akan ditentukan.

Encik Davinder berkata dakwaan fitnah Encik Xu terhadap kedua-dua menteri adalah "yang paling serius", memandangkan artikel itu secara palsu mendakwa bahawa kedua-dua menteri mengeksploitasi mekanisme undang-undang untuk privasi dalam transaksi hartanah mereka, merahsiakannya untuk mengelakkannya daripada diteliti dengan rapi dan bertindak secara tidak wajar.

"Semakin tinggi kedudukan pihak menuntut, maka semakin berat kerugiannya," kata Encik Davinder. Beliau berkata kedua-dua menteri itu adalah pemimpin awam dan "orang yang mempunyai integriti yang sangat tinggi dan kedudukan mereka tidak dapat dipertikaikan".

"Daripada meminta maaf dan/atau menggugurkan artikel itu, defendan telah dan terus melancarkan kempen awam untuk mendapatkan simpati dan sokongan daripada rakyat Singapura terhadap pihak menuntut dengan secara terbuka dan palsu menuduh mereka 'menindas kewartawanan yang sah' dan 'kebebasan media' melalui 'ancaman undang-undang' atau 'gangguan'," kata Encik Davinder.

Hakim akan memberikan keputusannya pada tarikh yang belum diputuskan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita