Skip to main content

Singapura

Shanmugam suarakan sokongan terhadap serbuan polis ke atas rumah pelacuran haram

Rasa simpati terhadap mangsa-mangsa sindiket tidak sepatutnya mempengaruhi pandangan kita tentang tindakan polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Shanmugam suarakan sokongan terhadap serbuan polis ke atas rumah pelacuran haram

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, K Shanmugam. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 10 Dec 2017 09:35AM Dikemas Kini : 10 Dec 2017 09:43AM

SINGAPURA: Rasa simpati terhadap mangsa-mangsa sindiket tidak sepatutnya mempengaruhi pandangan kita tentang tindakan polis, kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam yang menyuarakan sokongannya kepada pihak polis berhubung serbuan ke atas rumah pelacuran haram baru-baru ini.

Dalam satu catatan Facebook semalam (9 Dis), Encik Shanmugam menyentuh beberapa komen mengenai cara serbuan sedemikian dijalankan, yang pengkritik mendakwa ianya salah bagi polis untuk “memecah pintu, memakai pentutup muka dan sebagainya”.

Encik Shanmugam menekankan bahawa “ketangkasan dan kejutan” merupakan unsur utama dalam sebuah serbuan. Polis tidaklah dijangka melakukan yang sebaliknya iaitu “mengetuk pintu dan tunggu pintu dibuka”.

“Apa yang kami jangka berlaku? Anggota samseng (yang mungkin ada di dalam unit itu) membuka pintu dan dengan sopan mengaku salah? Dan sekiranya tiada anggota samseng sekalipun, kita sangka wanita-wanita terbabit akan bekerjasama?” soalnya sambil menambah bahawa anggota polis memakai penutup muka untuk melindungi identiti mereka.

“Rumah pelacuran haram selalunya dikendalikan oleh sindiket penjenayah. Ia merupakan perniagaan yang besar,” katanya. “Mereka yang mendalanginya akan bertindak balas, sekiranya mendapat peluang.”

Menurut beliau lagi, polis sedang berusaha untuk melindungi semua orang daripada kesalahan-kesalahan maksiat. Beliau juga menyoal kritikan-kritikan yang diajukan kepada pihak berkuasa dan simpati yang diberi kepada wanita-wanita yang terbabit dalam perdagangan haram itu.

“Sesetengah daripada wanita itu adalah mangsa iaitu mangsa sindiket. Dan seharusnya ada simpati bagi mereka. Dan jika ada peluang, kami harus cuba untuk membantu mereka. Tetapi, ia tidak seharusnya mempengaruhi pandangan kita tentang apa yang polis perlu lakukan,” jelas Encik Shanmugam. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita