Skip to main content

Singapura

Shanmugam selar rencana The Economist kerana 'mempersendakan' peralihan pucuk kepimpinan politik SG

Anggaran Waktu Membaca:
Shanmugam selar rencana The Economist kerana 'mempersendakan' peralihan pucuk kepimpinan politik SG

Menteri Ehwal Dalam Negeri (MHA) merangkap Undang-Undang K Shanmugam bercakap kepada media pada 22 Jan 2024. (Gambar: Lim Li Ting/TODAY)

SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam pada Jumaat (19 Apr) mengkritik ulasan The Economist yang menurut Encik Shanmugam tidak dapat "menahan cemuhan" terhadap peralihan tampuk kepimpinan politik Singapura.

Ulasan akhbar mingguan British itu, yang diterbitkan pada Khamis, menarik perhatian bahawa Singapura "hanya" mempunyai tiga pemimpin sepanjang 59 tahun dan perdana menteri seterusnya, Encik Lawrence Wong "masih agak tidak dikenali dalam kalangan rakyat Singapura".

"Beliau bukan pilihan pertama 4G (pasukan pemimpin generasi keempat)," menurut akhbar itu, sambil menyatakan bahawa Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat telah menarik diri daripada jawatan perdana menteri pada 2021.

Sungguhpun demikian, rencana itu mendakwa bahawa Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan memenangi Pilihan Raya Umum akan datang disebabkan oleh "kekuatan parti itu, serangan bertubi-tubi terhadap pihak pembangkang, media yang lemah dan tunduk kepada parti tersebut", antara faktor lain.

Dalam responsnya yang dimuat naik ke Facebook pada Jumaat (19 Apr), Encik Shanmugam menegaskan bahawa akhbar tersebut "tidak dapat menahan diri daripada" mengejek Singapura disebabkan oleh naluri yang tanpa disedari begitu tertanam "dalam golongan pengulas British".

Britain merupakan pemerintah penjajah Singapura selama lebih satu abad.

"Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa orang yang biasa mereka beri arahan kini mencatatkan pencapaian yang lebih baik daripada mereka, secara menyeluruh," tegas Encik Shanmugam, sambil menggariskan bidang-bidang di mana Singapura maju lebih jauh daripada Britain.

Sedang Encik Wong, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, dijangka akan mengambil alih tampuk kepimpinan negara daripada Encik Lee Hsien Loong sebagai perdana menteri keempat Singapura dalam tempoh 59 tahun pada 15 Mei ini, Encik Rishi Sunak adalah perdana menteri keempat Britain dalam tempoh 4.9 tahun, kata Encik Shanmugam.

Sepanjang pergolakan politik Britain di tengah-tengah Brexit, Encik Sunak mengambil alih jawatan tersebut daripada Cik Liz Truss, yang hanya bertahan selama beberapa bulan dalam jawatan itu. Cik Truss menggantikan Encik Boris Johnson yang mengambil alih jawatan tersebut daripada Cik Theresa May.

Dari segi ekonomi, Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) per kapita Singapura berjumlah lebih S$109,000 dan kelima tertinggi dari segi kuasa membeli, "jauh mendahului Britain", tambah Encik Shanmugam.

Berhubung isu media, beliau menegaskan: "(The Economist) jelas lebih cenderung kepada keadaan seperti di Britain, di mana seorang individu boleh mengawal agensi-agensi media utama, dan meminta ahli politik tunduk kepadanya, dan di mana pemilik media boleh mempengaruhi siapa yang akan dipilih, dan siapa yang menjadi perdana menteri."

Encik Shanmugam menekankan bahawa Singapura menyediakan "jagaan kesihatan, perumahan dan pendidikan yang jauh lebih baik" kepada rakyatnya, tanpa mengira kedudukan mahupun kaum.

Negara ini juga mencatatkan prestasi lebih baik dari segi keselamatan awam dan perpaduan sosial, tekannya.

Rencana sebanyak 740 perkataan itu menyifatkan Encik Wong sebagai "calon kompromi" yang bukan pilihan pertama dalam kalangan pemimpin 4G. Ia menambah bahawa beliau setakat "mantan teknokrat yang sangat cekap".

Sungguhpun demikian, rencana itu mendakwa bahawa Encik Wong "dijamin akan meraih majoriti undi dalam pilihan raya akan datang yang akan membuat pemimpin negara lain menangis".

Sekalipun terdapat peluang yang tinggi untuk beliau dan parti tersebut untuk memenangi pilihan raya seterusnya, rencana itu mendakwa bahawa "lebih banyak akan dipertaruhkan" dalam pilihan raya akan datang.

"Yang dipertaruhkan untuk Encik Wong, apabila beliau melakukan lawatan ke negara ini (Britain), bukanlah mandat rasmi beliau (dan 4G) tetapi lebih kepada kesahan dan kewajaran moralnya," menurut ulasan itu.

Ini memandangkan kebanyakan rakyat Singapura yang lebih muda tidak lagi menilai parti itu (PAP)atas "penekanan tradisional untuk mencatatkan pertumbuhan ekonomi", tetapi sebaliknya menuntut agar pertumbuhan yang "lebih adil" dan politik yang "lebih bersifat penyertaan rakyat", katanya.

Mengulas mengenai bagaimana kesinambungan dijangka akan dicapai meskipun terdapat peralihan pucuk kepimpinan, rencana The Economist itu mendakwa "sekurang-kurangnya seorang anggota utama daripada barisan pemimpin terdahulu, Encik Shanmugam, akan kekal dalam Kabinet.

Mediacorp sudahpun menghubungi The Economist untuk mengulas tentang rencana tersebut.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita