Skip to main content

Singapura

Shanmugam sangkal dakwaan 'palsu' The Online Citizen beliau beri media maklumat tentang bekas pemandu Leon Perera

Anggaran Waktu Membaca:
Shanmugam sangkal dakwaan 'palsu' The Online Citizen beliau beri media maklumat tentang bekas pemandu Leon Perera
Diterbitkan : 20 Jul 2023 12:00AM Dikemas Kini : 20 Jul 2023 12:13AM
SINGAPURA: Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Rabu (19 Jul) berkata adalah "salah" untuk menyatakan bahawa beliau telah memberi maklumat kepada sebuah saluran media mengenai bekas pemandu mantan anggota Parti Pekerja (WP) Leon Perera.

Encik Perera adalah seorang Anggota Parlimen Aljunied sebelum beliau dan seorang lagi anggota partinya Nicole Seah meletak jawatan dari parti pembangkang tersebut pada Rabu. Ini selepas hubungan sulit mereka terbongkar.
Selepas rakaman video yang menunjukkan Encik Perera membelai tangan Cik Seah tersebar di Facebook pada Isnin, platform digital tempatan AsiaOne menyiarkan temu bual dengan bekas pemandu peribadi Encik Perera pada hari berikutnya.

Blog Online Citizen Asia (TOCA) kemudiannya memuat naik sebuah artikel pada Rabu dengan tajuk: 'Akses pantas AsiaOne kepada bekas pemandu Leon Perera: Kebetulan atau langkah diatur?' (AsiaOne’s quick access to Leon Perera’s former driver: Coincidence or calculated move?)

Artikel tersebut mempersoalkan masa rencana AsiaOne itu disiarkan dan mendakwa seorang kakitangan AsiaOne, Edmund Chua, telah berhubungan dengan bekas pemandu Encik Perera selama lebih setahun.

TOCA juga berkata Encik Chua bekerja untuk "Pertubuhan Akar Umbi Chong Pang" yang diketuai Encik Shanmugam. Ia menambah bahawa Encik Shanmugam telah pergi ke pejabat baharu AsiaOne beberapa hari sebelum video tersebut tular di media sosial.

Encik Shanmugam dalam satu catatan di Facebook berkata pada Rabu malam bahawa artikel TOCA "berhubungnya adalah palsu".

"Pertama sekali, terdapat gambaran bahawa seorang kakitangan AsiaOne, Edmund Chua pernah bekerja di kawasan undi saya. Memang betul. Sindirannya adalah saya mesti memberitahu Edmund untuk menghubungi bekas pemandu Encik Perera, dan itulah cara AsiaOne berjaya mendapatkannya," ujar menteri itu.

"Ia adalah palsu. Saya tidak kenal bekas pemandu itu, saya tidak mempunyai butiran untuk menghubunginya ataupun namanya, dan saya tidak memberi sebarang maklumat berhubung bekas pemandu itu kepada sesiapa termasuk AsiaOne."

Encik Shanmugam menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang maklumat sedemikian dan tidak berurusan atau bercakap dengan Encik Chua mengenai perkara tersebut.

Beliau turut berkata lawatannya ke pejabat AsiaOne "tidak dibuat beberapa hari sebelum video tersebut muncul" dan beliau malah, tidak berada di Singapura sehingga Isnin malam.

"Saya pergi ke AsiaOne pada 13 Jun, untuk bercakap dengan wartawan. Saya juga telah pergi ke Mothership, pada tempoh yang sama, pada 22 Jun. Ia adalah sebahagian daripada usaha saya mendampingi sebahagian masyarakat secara berkala termasuk ... wartawan daripada media aliran utama dan media online dan sebagainya," tambah Encik Shanmugam.

"TOCA terus menerbitkan secara melulu, tanpa menghiraukan kebenaran."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita