Shanmugam persoal motif penulis Nikkei Asia kritik cara Pemerintah S'pura tangani KTV
Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal dalam Negeri K Shanmugam pada Khamis (29 Jul) mempersoal motif dan "kecenderungan politik" individu yang menulis sebuah rencana di Nikkei Asia, yang mengkritik cara Pemerintah menangani pusat-pusat KTV di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam. (Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal dalam Negeri K Shanmugam pada Khamis (29 Jul) mempersoal motif dan "kecenderungan politik" individu yang menulis sebuah rencana di Nikkei Asia, yang mengkritik cara Pemerintah menangani pusat-pusat KTV di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Menurut laman berita Jepun itu, penulis rencana bertajuk 'The Institutional Failures Behind Singapore's Latest COVID Outbreak', yang diterbitkan pada 23 Julai, Andy Wong, adalah seorang penganalisis politik dan kecerdasan perniagaan.
Kementerian Ehwal dalam Negeri menyelar rencana itu pada Rabu (28 Jul), sebagai "penuh fakta tidak tepat".
Dalam satu catatan Facebook pada Khamis, Encik Shanmugam menyifatkan rencana Nikkei Asia berhubung kelompok KTV COVID-19 sebagai "karya fiksyen" dan mengandungi "beberapa kepalsuan" tentang dasar imigresen dan pendekatan Pemerintah terhadap operasi KTV.
Encik Shanmugam juga berkata bahawa penulis itu "ironinya" didakwa pada Rabu kerana memiliki dan berkongsi bahan-bahan lucah dalam sebuah kumpulan sembang Telegram "bertema seks", dengan siasatan ke atas kumpulan itu bermula sejak November 2019.
"Rasa marah dari segi moral terhadap apa yang dia anggap sebagai perbuatan seksual yang salah diungkapkan dalam artikel itu, dengan beberapa andaian yang tidak benar dan serangan ke atas dasar-dasar Pemerintah dalam menangani tingkah laku seksual," kata Encik Shanmugam.
"MHA menyelar artikel itu sekeras-kerasnya, dan telah menyatakan bahawa jangkaan moralnya yang tinggi adalah terpuji namun komen-komennya tentang dasar awam perlu dibuat berdasarkan fakta, bukan andaian."
Dalam rencana pendapatnya itu, Encik Wong mendakwa "sudah berdekad-dekad lamanya pihak institusi gagal" menangani "kartel jenayah terancang yang mengendalikan KTV sebagai rumah pelacuran", lantas menjejas usaha Singapura untuk mengawal pandemik COVID-19.
Encik Wong juga menggesa Pemerintah agar "menjelaskan kesilapan yang berlaku dan bagaimana ia berlaku".
Encik Shanmugam berkata Pemerintah telah dan akan terus mengambil "pendekatan tegas" terhadap jenayah-jenayah seksual.
"Kami tertanya-tanya adakah siasatan jenayah terhadapnya menjadi sebab dia mengeluarkan kata-kata cercaan berdasarkan kepalsuan; dan sejauh mana ia merupakan satu tugasan mengganggu politik," katanya, sambil menambah beliau terkejut Nikkei Asia menerbitkan rencana tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.