Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shanmugam: Lebih banyak perlindungan bagi mangsa yang didera pasangan intim mereka

Tidak lama lagi, permohonan bagi perintah perlindungan para mangsa yang didera, dalam hubungan belum berkahwin atau mereka yang mungkin berdepan dengan kekerasan, akan diproses dalam tempoh 24 jam. Demikian menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam hari ini (21 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Feb 2019 12:07AM Dikemas Kini : 22 Feb 2019 01:53AM

SINGAPURA: Tidak lama lagi, permohonan bagi perintah perlindungan para mangsa yang didera, dalam hubungan belum berkahwin atau mereka yang mungkin berdepan dengan kekerasan, akan diproses dalam tempoh 24 jam. Demikian menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam hari ini (21 Feb).

Ia merupakan antara pindaan yang diusulkan bagi Akta Perlindungan Daripada Gangguan (POHA). Antara saranan lain termasuk menubuhkan satu mahkamah baru untuk mendengar kes-kes mangsa di samping memudahkan proses serta pengisian borang bagi para mangsa untuk membuat permohonan untuk perintah perlindungan.

Bercakap di acara ulang tahun ke-20 Pusat Pakar Keganasan Keluarga PAVE hari ini (21 Feb), Encik Shanmugam menyifatkan pindaan undang-undang itu sebagai satu "langkah penting".

"Tiada siapa yang seharusnya berdepan dengan kekerasan seperti itu... apa lagi kekerasan oleh seseorang yang mereka percayai," kata Encik Shanmugam.

Meskipun ada langkah-langkah yang dilaksanakan bagi membantu para mangsa yang didera pasangan mereka, perubahan itu akan menangani beberapa isu yang dihadapi mereka yang belum berkahwin - seperti masa menunggu bagi perintah perlindungan di bawah POHA.

"Proses sebenar untuk mendapatkan perintah perlindungan... mengambil masa. Ia tidak semudah seperti mendapatkan perlindungan di bawah Piagam Wanita," kata Encik Shanmugam.

Isu-isu ini dikemukakan oleh PAVE semasa Encik Shanmugam melawat pusat mereka pada Jun lalu.

Di bawah pindaan yang diusulkan, perintah perlindungan yang dipercepatkan boleh didengar dan diluluskan dalam tempoh antara 48 hingga 72 jam. Apabila mangsa berdepan dengan risiko keganasan atau keganasan sebenar, mahkamah boleh mendengar dan meluluskan perintah itu dalam tempoh 24 jam.

Borang dan proses bagi mereka yang ingin membuat permohonan juga dijadikan lebih mudah, kata Encik Shanmugam.

Mahkamah umumnya akan mencuba untuk mendengar permohonan perintah perlindungan dalam tempoh empat minggu dari saat permohonan difailkan. Permohonan akan dipercepatkan sehinggalah perintah perlindungan diluluskan atau ditolak mahkamah.

Seorang mangsa yang didera pasangan juga boleh ke mahkamah baru iaitu Mahkamah Perlindungan daripada Gangguan. Mahkamah itu akan mendengar semua urusan sivil dan jenayah POHA bagi memastikan para mangsa tidak perlu ulang-alik ke mahkamah sivil dan mahkamah jenayah.

Perubahan juga akan dijalankan bagi memudahkan pihak polis untuk memberkas mereka yang melanggar perintah perlindungan tanpa memerlukan waran. Hukuman lebih berat pun akan dikenakan bagi pelanggaran seterusnya.

Perintah perlindungan turut diperluaskan bagi melindungi mereka yang berkaitan dengan mangsa, seperti anggota keluarga atau anak-anak mangsa, tambah Encik Shanmugam.

Pindaan-pindaan ini diusulkan di samping perubahan yang disarankan bagi Kanun Keseksaan, yang akan memperuntukkan hukuman maksimum lebih berat terhadap mereka yang melakukan keganasan terhadap mangsa yang mempunyai hubungan rapat dengan mereka.

Pembacaan kedua Rang Pembaharuan Undang-Undang Jenayah, yang bermatlamat untuk memperkenalkan pindaan-pindaan ini kepada Kanun Keseksaan, dijangka berlangsung pada Mei.

"Mesejnya jelas: Tindakan pesalah tidak boleh diterima, hukuman lebih berat, rangka kerja perundangan lebih ketat, jadi tidak kira ia perintah sivil atau perintah perlindungan, jika anda melanggarnya, polis akan mengejar anda. Ia (keganasan) sama sekali tidak dapat diterima," kata Encik Shanmugam.

"Bagi para mangsa, undang-undang akan melindungi anda... tetapi kita juga perlu meningkatkan kesedaran, membuat mereka faham bahawa mereka tidak perlu terjerat dalam hubungan seperti itu... bahawa mereka boleh mengakhiri hubungan tersebut, dan ada sistem yang akan melindungi mereka."  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan