Skip to main content

Singapura

Shanmugam lancar buku baharu, kongsi perspektif tentang dasar SG

Anggaran Waktu Membaca:
Shanmugam lancar buku baharu, kongsi perspektif tentang dasar SG
Encik K Shanmugam semasa pelancaran buku baharu beliau Policy, Fairness and Compassion di Auditorium Media SPH pada 6 Feb 2026. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Diterbitkan : 07 Feb 2026 06:45AM Dikemas Kini : 07 Feb 2026 06:47AM
SINGAPURA: Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, K Shanmugam, melancarkan buku baharunya pada Jumaat (6 Feb). Beliau menyatakan bahawa buku itu memberikan satu titik tolak dan perspektif untuk dijadikan sebagai rujukan oleh ahli sejarah pada masa hadapan.

Buku yang bertajuk 'Policy, Fairness, and Compassion' itu merupakan koleksi ucapan dan temu bual beliau yang merangkumi tempoh lebih 30 tahun. Ia menghimpunkan pandangan beliau mengenai pelbagai rangka kerja dasar, isu-isu, serta pertimbangan dalam pelbagai jawatan pemerintah yang pernah disandangnya. Buku itu juga menyatukan pandangan beliau mengenai isu-isu utama masyarakat dan dasar awam.

Berucap di majlis pelancaran buku tersebut, Encik Shanmugam berkata beliau dihubungi oleh SPH beberapa tahun lalu untuk menulis sebuah buku, namun beliau menolak atas dua sebab.

"Sebuah buku yang baik memerlukan pemikiran yang mendalam dan masa yang lama. Kedua, ia sepatutnya menjadi bahan bacaan yang berguna, sekurang-kurangnya bagi sesetengah orang," katanya.

Beliau menambah, "Dalam kes saya, bagi sebab yang pertama, saya tidak mempunyai masa untuk menulis buku sedemikian. Dan kedua, ada perkara yang boleh saya katakan secara berguna, yang mungkin menarik atau tidak, tetapi perkara itu tidak boleh dinyatakan. Lagipun, bukan buat masa sekarang ini."

Akhirnya, beliau berkata beliau bersetuju dengan cadangan mereka untuk menerbitkan koleksi ucapan-ucapannya, kerana beliau percaya ia berguna untuk ahli sejarah pada masa akan datang dan juga untuk mengumpul wang bagi tujuan amal.

"Saya sudah berada dalam kehidupan awam sejak tahun 1988. Dari tempoh 1990-an hingga sekarang, Singapura melihat perubahan yang sangat besar," tambahnya.

"Dari segi sosial, budaya, ekonomi, dan juga rangka kerja undang-undang kita. Saya bertuah, bersama-sama ramai orang lain, kerana dapat menyaksikan semua perubahan ini dari barisan hadapan."
Semasa sesi perbincangan di majlis itu, Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata bahawa perspektif beliau mengenai isu-isu tertentu sudah berubah mengikut usia dan pengalaman.

"Apabila saya mula masuk sebagai peguam muda... saya mempunyai kebimbangan mengenai penahanan tanpa perbicaraan di bawah Akta Undang-Undang Jenayah (Peruntukan Sementara) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Saya pernah berkata ia menyentap nurani kita," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa rekod ucapannya mengenai perkara-perkara tersebut - seperti Akta Mengekalkan Keharmonian Agama - sering digunakan oleh pihak pembangkang hari ini untuk memetik kembali kata-katanya semasa beliau berusia awal 30-an tahun.

"Sekarang saya meminda dan mengetatkan lagi undang-undang tersebut kerana melalui pengalaman, saya melihatnya dan berpendapat ia perlu mempunyai rangka kerja ini. Sebagai contoh, Akta Mengekalkan Keharmonian Agama, selepas 30 tahun, saya memindanya, menjadikannya lebih ketat, dan meningkatkan hukuman," tambahnya.

Apabila ditanya sama ada penerbitan bukunya adalah satu "petanda" kepada sesuatu perkara, Encik Shanmugam berkata: "Saya akan katakan ada dua fasa kehidupan yang berbeza sebagai seorang ahli politik - apabila anda menceburi politik, apa yang anda lakukan, dan apabila anda bersara, ia mempunyai rentaknya yang tersendiri. Saya akan bersara mengikut cara generasi menteri sebelum ini bersara. Penerbitan buku ini bukanlah satu petanda... mahupun penentu kepada kerjaya politik seseorang."
Related article image
Encik K Shanmugam berucap semasa pelancaran buku baharu beliau Policy, Fairness and Compassion di Auditorium Media SPH pada 6 Feb 2026. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong, yang merupakan tetamu kehormat majlis tersebut, menekankan tentang pembaharuan undang-undang yang dilakukan oleh Encik Shanmugam, termasuk undang-undang mengenai bahaya online dan keselamatan negara.

Beliau berkata keputusan Encik Shanmugam untuk menyertai politik dibentuk oleh pengalaman peribadinya sendiri dengan ketaksamaan, serta sistem Singapura yang membolehkan beliau berjaya.

"Shan memahami tentang ketaksamaan dan jurang kekayaan secara peribadi," kata Encik Goh. "Beliau sudah melaluinya dan merasai kedua-duanya dalam kehidupannya. Beliau bukan berasal dari keluarga yang kaya. Ibu bapanya tidak mempunyai pengaruh sosial yang besar. Sistem Singapura membolehkan beliau berjaya. Beliau mahu kanak-kanak yang kurang bernasib baik mendapat peluang yang sama seperti yang beliau perolehi."

Beliau berkata menteri ehwal dalam negeri itu, yang sudah menceburi politik sejak 1988, melihat kehidupan awam sebagai satu perjuangan yang berbaloi. Namun, beliau menyatakan bahawa semakin sukar untuk memujuk orang yang berwibawa dan berkebolehan yang berada di puncak kerjaya mereka untuk mengabdikan diri dalam bidang politik.

"Ia bukan sesuatu yang baik untuk Singapura jika golongan paling berkebolehan dalam setiap generasi rakyat Singapura menjauhkan diri daripada perkhidmatan awam," tambahnya. "Mereka adalah produk sistem Singapura, tetapi mereka mungkin tidak merasakan keperluan dan tanggungjawab yang sama untuk menabur jasa kepada negara seperti generasi sebelumnya. Mereka mungkin menganggap kejayaan mereka adalah atas usaha sendiri dan keluarga mereka semata-mata. Mereka mungkin menganggap ekosistem Singapura akan terus berkembang maju, tidak kira siapa yang mentadbir negara."

Beliau juga berkata bahawa penelitian awam sudah menjadi lebih sengit dengan adanya media sosial, dan turut menyentuh soal gaji menteri.

"Wang juga merupakan satu faktor. Wang tidak boleh menjadi insentif untuk menyertai politik. Tetapi kos lepas kewangan (financial opportunity cost) untuk menjadi seorang menteri adalah faktor yang perlu dipertimbangkan oleh mana-mana individu yang rasional," kata Encik Goh.

Beliau menambah bahawa pemerintah mesti meyakinkan rakyat bahawa masa depan mereka bergantung kepada kemampuan sistem demokrasi untuk melahirkan pasukan lelaki dan wanita terbaik untuk mentadbir negara. Gaji tidak sepatutnya menjadi faktor untuk memikat mereka, tetapi ia juga tidak boleh menjadi faktor yang menolak mereka.
 
Related article image
Buku Encik K Shanmugam Policy, Fairness and Compassion di Auditorium Media SPH pada 6 Feb 2026. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Timbalan Setiausaha di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Janadas Devan, yang memberikan pengenalan di majlis itu, berkata kejayaan ekonomi dan kestabilan sosial Singapura tidak akan tercapai tanpa badan kehakiman yang bebas, undang-undang yang jelas, dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa.

"Mungkin ada yang belum benar-benar mengenali prinsip dan pendirian Encik Shanmugam," katanya. Beliau menjelaskan bahawa golongan haluan kiri menganggap Encik Shanmugam sebagai seorang yang tegas, namun mereka akan terkejut apabila membaca buku ini dan mengetahui betapa kerap beliau menyokong sudut pandangan yang liberal dalam beberapa kontroversi, yang kadangkala menyukarkan partinya sendiri.

"Beliau mempunyai imej sebagai ahli politik yang garang, serius, dan tidak bertolak ansur. Sebenarnya, di lapangan, terutamanya di kawasan undinya di Yishun, beliau adalah antara ahli politik yang paling popular, biasanya hanya diatasi oleh perdana menteri yang pernah berkhidmat dengannya."

Majlis tersebut turut dihadiri oleh mantan menteri kanan Teo Chee Hean dan S Jayakumar, tokoh-tokoh dari sektor swasta, serta pemimpin-pemimpin agama.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita