Skip to main content

Singapura

Shanmugam gesa parti pembangkang untuk 'segera, jelas' tolak campur tangan asing dan politik identiti

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Oct 2025 06:34PM Dikemas Kini : 15 Oct 2025 12:16AM
SINGAPURA: Respons Parti Pekerja (WP) terhadap kenyataan oleh guru agama Noor Deros dan ahli politik dari parti Islam Se-malaysia (PAS) semasa Pilihan Raya Umum 2025 adalah lewat dan "tidak jelas", kata Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Selasa (14 Okt).

Ini mungkin boleh mengelirukan para pengundi, terutama sekali kerana persaingan sengit sedang berlaku di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) antara Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam ketika itu Masagos Zulkifli dan ketua pasukan WP Faisal Manap, kata Encik Shanmugam yang menyampaikan kenyataan kementerian di parlimen mengenai isu kaum dan agama.

Encik Shanmugam yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara berkata beliau berharap di masa hadapan, parti-parti politik dapat segera menolak sebarang percubaan seumpamanya untuk campur tangan dalam proses politik Singapura.

"Jika ia tidak dilakukan segera, secara jelas dan tangkas, ia akan menimbulkan persoalan; kekeliruan."

Encik Noor, seorang guru agama yang bukan seorang ustaz bertauliah di Singapura dan justeru tidak dibenarkan memberi ceramah di negara ini, pertama kali menulis catatan di media sosial pada April lalu yang mengandungi senarai tuntutan kepada ahli politik Singapura.

Warga Singapura itu kemudian mendakwa beliau sudah bertemu dengan semua calon Melayu dari Parti Pekerja dan menyeru para pengundi di GRC Tampines supaya mengundi Encik Faisal dari Parti Pekerja dan bukannya Encik Masagos dari PAP.

Semasa tempoh berkempen, bendahari PAS Iskandar Abdul Samad juga menyatakan sokongan kepada Encik Faisal di media sosial, manakala ketua pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar menulis komen tentang bagaimana Anggota Parlimen Melayu/Islam di PAP tidak boleh dipercayai.

Sebagai warga asing, kedua-dua ahli politik itu dianggap cuba mempengaruhi pilihan raya Singapura dan akses kepada catatan media sosial mereka disekat di Singapura.

'TINDAKAN MELULU' UNTUK MINTA RAKYAT SG UNDI BERDASARKAN GARIS KAUM, AGAMA

Dalam catatannya semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Umum 2025, Encik Noor berkata beliau akan mengumpul undi bagi mana-mana parti politik yang bersetuju dengan tuntutannya, yang "berdasarkan garis kaum, agama", kata Encik Shanmugam.

Encik Noor juga membuat perbandingan antara kedua-dua calon Melayu/Islam dan menggesa warga Singapura supaya mengundi Encik Faisal, menampilkan calon WP itu sebagai individu yang lebih lantang bersuara mengenai isu kaum dan agama bagi masyarakat Melayu/Islam, kata Encik Shanmugam.

"Itu adalah isu utama yang membimbangkan. Bukan sama ada beberapa tuntutannya tidak masuk akal, atau sama ada seseorang bersetuju atau tidak bersetuju dengan tuntutannya, atau sama ada seseorang bersetuju atau tidak bersetuju dengan penilaiannya terhadap calon," kata Encik Shanmugam.

Meminta warga Singapura supaya mengundi bagi parti politik dan calon berdasarkan garis kaum dan agama adalah "tindakan yang melulu" dan ia menetapkan duluan yang berbahaya, kata beliau.

"Jika kita membenarkan ini, kumpulan kaum dan agama yang lain akan membuat tuntutan yang serupa, dan kita perlu membenarkan mereka membuat seruan yang serupa juga," katanya.

KENYATAAN WP BOLEH MENGELIRUKAN ORANG RAMAI: SHANMUGAM

Encik Noor juga menguar-uarkan pertemuannya dengan WP pada 23 April lalu, di tengah-tengah tempoh berkempen pilihan raya, kata Encik Shanmugam di parlimen, sambil menarik perhatian kepada dakwaan guru agama itu bahawa parti pembangkang itu satu-satunya parti yang memandang serius terhadapnya.

Dalam catatannya, Encik Noor menggesa semua penduduk Muslim di Singapura supaya mengundi WP jika mereka bersetuju dengan tuntutannya, dan menggesa penduduk Tampines supaya mengundi Encik Faisal berbanding Encik Masagos, kata Encik Shanmugam.

Pada 24 April, Encik Noor bercakap secara terbuka mengenai pertemuannya dengan WP, sambil mendakwa beliau bertemu dengan semua calon Melayu di parti tersebut dan mengulangi seruannya agar para penduduk Tampines mengundi bagi Encik Faisal, kata Encik Shanmugam.

WP kemudian mengeluarkan kenyataan pada pagi 26 April, "lebih dua hari" selepas guru agama itu menguar-uarkan pertemuannya dengan parti tersebut dan selepas satu kenyataan bersama dikeluarkan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Pilihan Raya, kata Encik Shanmugam.

"Ini semasa tempoh berkempen, di mana setiap hari adalah satu perubahan besar," kata Encik Shanmugam.

"Kelewatan ini, dalam perkara yang begitu penting, menimbulkan banyak persoalan. Ia boleh mengelirukan orang ramai. Contohnya, sebahagian pengundi mungkin terpengaruh untuk berfikir bahawa pada dua hari tersebut, WP kemungkinan sedang menimbangkan tuntutan Deros."

Dalam kenyataannya, WP menyatakan ia bertemu dengan pelbagai anggota masyarakat beragama Singapura, tidak kira kaum atau agama.

"Di satu pertemuan dengan beberapa pemimpin agama di mana Encik Noor turut hadir sama, parti itu mengesahkan tiada sebarang janji, komitmen atau perjanjian dibuat kepada mana-mana individu, termasuk Encik Noor, sebagai pertukaran bagi sokongan politik bagi calon WP," kata WP pada ketika itu.

Parti itu juga menarik perhatian kepada ucapan di Parlimen oleh ketua parti Pritam Singh dan Encik Faisal mengenai pemisahan agama dan politik.

"Kami kekal komited kepada masyarakat sekular, berbilang kaum, berbilang agama dan untuk melindungi integriti proses pilihan raya kami," kata WP pada ketika itu.

Perdana Menteri Lawrence Wong kemudian mengadakan sidang media pada petang 26 April untuk menegaskan bahawa sebarang warga asing yang menggesa rakyat Singapura untuk mengundi berdasarkan garis agama "telah melampaui batas".

MENOLAK POLITIK IDENTITI

Dalam ucapannya pada Selasa, Encik Shanmugam juga mengkritik calon Parti Demokratik Singapura (SDP) Damanhuri Abas, yang bertanding di GRC Sembawang pada GE2025.

Beliau juga bertanding dalam pilihan raya umum pada 2015 dan 2020 sebagai sebahagian daripada pasukan SDP di GRC Marsiling-Yew Tee.

Di satu acara SDP, Encik Damanhuri "cuba mendapatkan sokongan berdasarkan garis kaum", kata Encik Shanmugam pada Selasa.

Calon parti pembangkang itu juga menuduh AP Melayu di PAP gagal mewakili masyarakat Melayu dan tidak mengendahkan isu-isu mereka, kata Encik Shanmugam.

"Beliau mendakwa bahawa lebih banyak Anggota Parlimen Melayu dari parti pembangkang diperlukan untuk membangkitkan isu-isu Melayu di Parlimen."

Dalam temu bual yang disiarkan online, Encik Damanhuri berkata isu masyarakat Melayu "tidak diselesaikan selama 60 tahun di bawah pentadbiran pemerintah PAP", kata Encik Shanmugam.

"Beliau menyeru pengundi Melayu supaya mengundi menentang PAP, menjadikannya sebagai isu menjunjung maruah Melayu," katanya.

"Dalam satu podcast berasingan, beliau berkata meritokrasi digunakan secara terpilih. Beliau mengulangi hujah-hujah itu sekali lagi dalam ucapan-ucapan rapat umum, kali ini dalam Bahasa Melayu."

Retorik Encik Damanhuri adalah "untuk memperdaya", kata Encik Shanmugam.

"Apa yang beliau lakukan sebenarnya adalah untuk menggadaikan kebajikan jangka panjang masyarakat Melayu dan negara ini bagi keuntungan politik serta-merta beliau," kata Encik Shanmugam.

Pelbagai parti atau calon cuba menghasut masyarakat Melayu dan Cina dari semasa ke semasa dan usaha mereka tidak berjaya kerana dominasi politik pemerintah PAP, kata Encik Shanmugam.

"PAP menjadi kuasa politik yang dominan, jadi ia dapat menanggung kos politik untuk melawan sentimen sedemikian," katanya.

Individu seperti Encik Damanhuri seharusnya "lebih jujur" dengan pengundi mereka, kata Encik Shanmugam.

Jenis politik seumpamanya hanya akan berkesan selagi kuasa politik dominan di Singapura menolak politik identiti, kata Encik Shanmugam.
Sumber : CNA/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita