Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shanmugam: Definisi 'kepalsuan' seharusnya mudah difahami masyarakat

Definisi 'kepalsuan' seharusnya mudah difahami oleh masyarakat tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Definisi 'kepalsuan' seharusnya mudah difahami oleh masyarakat tempatan.

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata demikian dalam sesi dialog bertajuk "Hak, Undang-Undang dan Pemikiran Munasabah" anjuran bersama Persatuan Peguam Muslim (AML) dan pertubuhan bukan untuk mengaut keuntungan Wise SG.

Menurut Encik Shanmugam, pertimbangan itu diambil selepas beliau menerima beberapa maklum balas menyusuli pembentangan Rang Undang-Undang Perlindungan daripada Kepalsuan Online dan Manipulasi (POFMA) di Parlimen pada minggu lalu.

UCAPAN SEBAR KEBENCIAN

Semasa berkongsi dengan 160 peserta yang terdiri daripada pemimpin agama, pensyarah, peguam dan juga golongan pelajar di sini, Menteri Undang-Undang K Shanmugam turut menyentuh tentang bahaya ucapan yang menyebar kebencian dan cara-cara menangani penyebaran kepalsuan online yang disengajakan di sini.

Merujuk kepada konsert kugiran 'black metal' Watain, ceramah Mufti Menk dan Dr Zakir Naik sebagai contoh, Encik Shanmugam turut menegaskan bahawa Singapura sentiasa mengambil pendekatan yang berlandaskan 'jalan tengah' dan 'seimbang'. Sungguhpun demikian, Singapura sama sekali tidak akan membiarkan ucapan yang menerapkan unsur-unsur kebencian mendapat tempat di negara ini.

Ini lebih-lebih lagi kerana kesan-kesan negatif daripada ucapan sedemikian boleh merapuhkan fabrik sosial dan memecahbelahkan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di sini.

'KAMI SEDANG LAKUKAN APA YANG KAMI MAMPU'

Sepanjang sesi dialog tersebut, Encik Shanmugam turut menjawab soalan-soalan yang menyentuh tentang Rang Undang-Undang Perlindungan daripada Kepalsuan Online dan Manipulasi (POFMA), yang diumumkan beliau baru-baru ini.

Antara soalan yang diajukan kepadanya termasuk: sejauh manakah perintah pembetulan merupakan jalan keluar yang efektif dalam menangani kepalsuan daripada berleluasa di sini, serta bagaimanakah pembetulan menerusi kaedah pemberitahuan sedemikian dapat memerangi gejala kepalsuan di sini.

Menjawabnya, Encik Shanmugan berkata apa yang sudah dilakukan di peringkat ini sememangnya bukan satu-satunya kaedah bagi membanteras kepalsuan. Namun, Pemerintah sedang mencuba sedaya upaya untuk memastikan gejala ini dapat ditangani dengan pantas.

Selain perintah pembetulan terhadap kenyataan yang salah, Encik Shanmugam berkata pendidikan dan pengetahuan terhadap kepalsuan juga akan dipertingkatkan.

"Ramai orang, walaupun yang terpelajar, tidak dapat membezakan antara yang benar dengan apa yang palsu apabila mereka menerima sesuatu secara online.

"Maka itu, kami akan menanganinya melalui pendidikan untuk memastikan masyarakat faham dan peka terhadap sebarang maklumat yang diterima.

"Kami sedang berusaha sedaya upaya dari segi pembetulan, sekiranya ada cara yang lebih baik, sila beritahu kami," katanya.

JADIKAN DEFINISI 'KEPALSUAN' LEBIH MUDAH DIFAHAMI

Sambil mengakui bahawa ia adalah satu isu yang rumit, Encik Shanmugam turut mendedahkan, beliau sedang menimbangkan untuk menjadikan definisi dan konsep kepalsuan sebagai sesuatu yang mudah difahami masyarakat.

Pengamatan Encik Shanmugam itu dikongsi berdasarkan maklum balas yang diterima dari seorang profesor undang-undang,

Encik Eugene Tan yang berpendapat bahawa meskipun definisi "kepalsuan" adalah sesuatu yang sangat jelas kepada para peguam.

Namun masyarakat secara amnya, menurut Encik Tan, mungkin sukar untuk memahaminya.
Maka itu, Encik Tan mengusulkan agar penjelasan yang lebih mudah dan bernas turut diambil kira bagi Rang Undang-Undang tersebut.

JADIKAN PROSES RAYUAN EFEKTIF

Menyentuh lebih lanjut tentang jangka waktu serta kos yang melibatkan proses rayuan pembetulan pula, Encik Shanmugan berkata pendekatan yang lebih efektif akan dipertimbangkan.

Ini termasuk memastikan proses tersebut "pantas," "mudah" dan "tidak melibatkan kos yang tinggi."

Persoalan-persoalan ini akan dibentangkan dalam bacaan kedua POFMA di sidang Parlimen seterusnya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan