Skip to main content

Singapura

Shanmugam bertegas 'tiada apa-apa untuk disembunyikan' mengenai hartanah di Ridout Road

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 May 2023 10:16PM Dikemas Kini : 23 May 2023 10:36PM
SINGAPURA: Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata pada Selasa (23 Mei) bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan tentang penyewaannya untuk banglo kolonial di Ridout Road dan menyifatkan dakwaan yang timbul mengenai perkara itu sebagai sesuatu yang "mengejutkan".

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata pada tengah hari Selasa (23 Mei) bahawa satu semakan akan dijalankan berhubung penyewaan dua hartanah negara di Ridout Road oleh Encik Shanmugam dan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan.

"Ini mesti dilakukan untuk memastikan pemerintah ini menegakkan piawai integriti tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Bercakap kepada media pada petang Selasa, Encik Shanmugam berkata: “Ini adalah harta benda awam. Rakyat berhak bertanya. Saya tahu apa yang saya buat. Saya mematuhi undang-undang.

"Tetapi apabila soalan timbul, anda tahu bagaimana ia akan ditangani. Pemerintah akan meneliti perkara itu.”

Encik Shanmugam berkata beliau menghubungi Perdana Menteri minggu lalu semasa PM Lee berada di luar negara bagi lawatan kerja untuk menyarankan kepadanya agar satu semakan bebas dijalankan.

Pendekatan seperti ini diperlukan "bagi memastikan sistem beroperasi dengan integriti", katanya, sambil menambah bahawa keraguan terhadap kewibawaan menteri tidak boleh dibiarkan begitu saja tanpa ditangani dengan sewajarnya.

“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Kita harus menyatakan fakta, membentangkannya di parlimen dan rakyat. Itulah satu-satunya cara untuk mengekalkan kepercayaan itu,” kata Encik Shanmugam.

"Dan apabila Parlimen bersidang pada bulan Julai, persoalan-persoalan itu akan ditangani."

Mengenai mengapa beliau meminta semakan bebas, Encik Shanmugam menjawab: "Kami yakin dengan cara kami menguruskan diri kami, maka itu kami meminta Perdana Menteri untuk satu semakan bebas."

Menjawab satu lagi pertanyaan mengenai dakwaan yang timbul, Encik Shanmugam berkata beliau tidak mahu "mengulas terlalu banyak" mengenai dakwaan tersebut sehingga semakan bebas dijalankan kelak.

Beliau menambah bahawa kedua-dua hartanah itu sudah "dikosongkan selama bertahun-tahun" apabila kedua-dua menteri tersebut membuat bidaan masing-masing.

Sebelum ini, Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan juga mengulas tentang hal tersebut.

“Saya berasa sangat gembira kerana PM Lee bersetuju untuk menjalankan semakan dan menerbitkan semua fakta dan dapatan yang relevan sebelum kita mengadakan perbahasan penuh di Parlimen,," kata Dr Balakrishnan.

Ridout Road terletak di pinggir Holland Road dan berhampiran dengan kawasan gaya hidup dan hiburan Dempsey Hill.

Ridout Road adalah sebahagian daripada Taman Ridout, yang disenaraikan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) sebagai salah satu daripada 39 "Kawasan Banglo Kelas Baik" di Singapura.

Pada awal bulan ini, Penguasa Tanah Singapura (SLA) mengesahkan dua banglo kolonial di Ridout Road -Nombor 26 dan 31 Ridout Road - masing-masing disewa oleh Encik Shanmugam dan Dr Balakrishnan.

Isu itu akan dibangkitkan dalam sidang parlimen pada bulan Julai, dengan Ketua Pembangkang Pritam Singh dan tiga Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) sudah mengajukan soalan berkaitan penyewaan hartanah negara.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita