Skip to main content

Singapura

Shanmugam beri amaran situasi dadah serantau semakin memburuk

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Aug 2025 07:50PM Dikemas Kini : 26 Aug 2025 10:55PM
SINGAPURA: Satu tinjauan menunjukkan bahawa kebanyakan penduduk di Asia Tenggara percaya bahawa undang-undang ketat Singapura, termasuk hukuman mati, amat berkesan dalam mencegah jenayah dan pengedaran dadah.

Namun Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam memberi amaran, situasi dadah serantau semakin memburuk.

Lantas, beliau menyeru agar komitmen antidadah ASEAN diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Encik Shanmugam berkata: "ASEAN merupakan sebuah rantau yang hebat, tetapi jika kita tidak mengawal situasi dadah, dalam 10-15 tahun akan datang, anak-anak kita dan kejiranan kita akan kelihatan sangat berbeza.

"Sindiket-sindiket mengambil kesempatan ke atas setiap sempadan yang rapuh, setiap kelemahan. Sekarang masa yang terdesak. Kita tidak mampu untuk kalah dalam pertarungan ini."

Di pertemuan peringkat ASEAN bagi menghuraikan isu dadah, Singapura menonjolkan pendekatan ketat yang diambilnya.

Ini memandangkan penduduk Asia Tenggara percaya undang-undang ketat Singapura berjaya mengawal jenayah dan dadah.

Satu tinjauan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) melibatkan sekitar 12,000 responden di enam bandar utama serantau, mendapati lebih 83 peratus setuju bahawa hukuman mati menghalang jenayah serius.

Sebanyak 84 peratus responden percaya ia menghentikan para pengedar daripada membawa jumlah dadah yang besar ke Singapura.

Sebanyak 88 peratus responden pula menyatakan undang-undang ketat berkesan dalam mencegah jenayah.

Ini sedang lebih 86 peratus yakin pesalah mungkin ditangkap dan dihukum jika mereka melakukan jenayah di Singapura.

Singapura turut mencadangkan satu kenyataan bersama ASEAN di forum global PBB mengenai pengawalan dadah tahun depan.

Ini mengesahkan semula komitmen ASEAN untuk menjadi rantau bebas dadah, serta menolak sikap yang semakin terbuka terhadap dadah.

"Apabila penguatkuasaan undang-undang lemah, apabila penyeludup dan ketua sindiket mengawal sebahagian sistem, dan dadah tersedia dengan bebas, walaupun anda bersikap terbuka hanya untuk setahun dua, ia dengan cepat menjadi berleluasa.

"Sebaik itu berlaku, sangat sukar untuk kembali ke asal, kerana orang ramai telah melabur ke dalamnya," tambah Encik Shanmugam.

Singapura juga mencadangkan Hari Peringatan Mangsa Dadah ASEAN pada setiap 26 Jun, yang juga merupakan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah.

Singapura akan menjadi tuan rumah acara sulungnya - bagi memperingati para mangsa serta menonjolkan kesan meluas angkara dadah, melangkaui si penagih.
Sumber : CNA/IQ/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita