Skip to main content

Singapura

Shanmugam, Balakrishnan saman Lee Hsien Yang berhubung isu Ridout Road

Anggaran Waktu Membaca:
Shanmugam, Balakrishnan saman Lee Hsien Yang berhubung isu Ridout Road

Gambar: Tangkapan skrin, AFP/Roslan Rahman

SINGAPURA: Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan telah mengambil tindakan saman fitnah terhadap Encik Lee Hsien Yang atas dakwaan berhubung penyewaan dua banglo hitam putih di Ridout Road.

Persidangan kes tersebut akan diadakan pada 9.00 pagi, Selasa (5 Sep), menurut senarai perbicaraan di laman web Mahkamah Singapura. Kedua-dua menteri tersebut diwakili pasukan peguam dari Davinder Singh Chambers.

Encik Shanmugam dan Dr Balakrishnan telah menghantar surat peguam kepada Encik Lee pada Julai lalu, dengan mengatakan mereka akan menyamannya kecuali beliau memohon maaf, menarik balik dakwaann yang dibuat dan membayar ganti rugi.

Dalam satu catatan Facebook pada 27 Julai, Encik Shanmugam berkata Encik Lee telah menuduh beliau dan Dr Balakrishnan "melakukan amalan rasuah bagi keuntungan peribadi dengan meminta Penguasa Tanah Singapura(SLA) memberikan mereka layanan utama dengan secara haram menebang pokok-pokok tanpa kelulusan, dan meminta untuk SLA membayar kerja-kerja ubah elok kepada 26 dan 31 Ridout Road".

Dakwaan-dakwaan tersebut adalah tidak benar, kata Encik Shanmugam.

Encik Lee, adik kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, tidak berada di Singapura. Beliau dan isterinya meninggalkan negara ini selepas enggan menghadiri temu bual polis pada Julai 2022 berhubung siasatan berbohong sewaktu prosiding kehakiman berkaitan wasit mendiang bapanya yang juga Perdana Menteri pengasas Lee Kuan Yew.

Isu berhubung penyewaan dua hartanah milik negara di Ridout Road muncul pada awal Mei apabila anggota politik pembangkang dan ketua Parti Reform Kenneth Jeyaretnam mempersoalkan sekiranya menteri itu "membayar kurang daripada nilai pasaran yang adil" bagi banglo tersebut. Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) ditugaskan untuk menyiasat sama ada terdapat sebarang salah laku berhubung transaksi itu dan tidak mendapati kesalahan bagi pihak dua menteri itu.

Laporan CPIB itu, yang dikeluarkan pada 28 Jun lalu, menyatakan bahawa dua menteri tersebut tidak meraih manfaat daripada sebarang maklumat istimewa. Mereka tidak diberi layanan istimewa dan kadar sewaan mereka setanding dengan hartanah jiran, tambah laporan tersebut.

Isu berkenaan dibahaskan di Parlimen pada 3 Julai.


Selepas Encik Shanmugam dan Dr Balakrishnan berkata bahawa mereka akan menyamannya jika beliau tidak menarik balik dakwaannya, Encik Lee berkata di Facebook pada 29 Julai bahawa menteri itu "salah" tentang apa yang dikatakan, sambil menambah bahawa catatannya pada 23 Julai "hanya menyatakan fakta-fakta yang sudah diterbitkan secara meluas di media Singapura dan antarabangsa".


Encik Lee manambah bahawa hantaran tersebut dibuat di United Kingdom.

"Jika K Shanmugam dan V Balakrishnan percaya bahawa mereka mempunyai kes, mereka patut menyaman saya di UK," katanya.

Meskipun Encik Lee berada di luar negara, beliau masih boleh dikenakan tindakan saman di Singapura.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita