Shanmugam, Balakrishnan peroleh injunksi terhadap Lee Hsien Yang berhubung dakwaan palsu Ridout Road
Menteri Undang-Undang K Shanmugam, Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dan Lee Hsien Yang. (Gambar-gambar: Petikan gambar, AFP/Roslan Rahman)
Injunksi tersebut, yang diminta Menteri Undang-Undang dan Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan, diberikan Mahkamah Tinggi dalam satu penghakiman yang dikeluarkan pada Isnin (27 Nov), yang mana ia menjelaskan keputusan tersebut.
Hakim Goh Yihan membuat keputusan untuk memihak kepada kedua-dua menteri tersebut, tanpa kehadiran Encik Lee, sama ada dia mencabar dakwaan palsu tersebut atau tidak.
Sesi perbicaraan untuk memutuskan ganti rugi yang harus dibayar Encik Lee kepada kedua-dua menteri itu akan ditetapkan pada tarikh lain.
Dalam satu penghakiman bertarikh 2 November, namun dikeluarkan pada Isnin, Hakim Goh Yihan mengarahkan supaya perbicaraan dijalankan untuk menilai dan menetapkan ganti rugi dalam kes kedua-dua menteri tersebut.
Beliau juga memberi injunksi yang melarang Encik Lee daripada "menerbit atau menyebarkan dakwaan palsu serta fitnah" bahawa kedua-dua menteri "melakukan amalan rasuah bagi keuntungan peribadi."
Hakim Goh mengarahkan supaya Encik Lee membayar ganti rugi kepada kedua-dua menteri, yang akan ditetapkan di perbicaraan di mana ganti rugi tersebut akan dinilai.
Menurut Hakim Goh, terdapat "hujah yang kukuh" untuk mempercayai bahawa Encik Lee akan mengulangi dakwaan palsu tersebut.
Pertama, Encik Lee enggan menghapuskan catatannya di Facebook selepas diarahkan untuk melakukan demikian, melalui surat tuntutan pada 27 Julai, kata Hakim Goh.
Encik Lee juga "terus menarik perhatian, dan mengajak pembaca di Singapura untuk membaca" catatan tersebut, melalui catatan-catatan lain yang dimuat naik pada Julai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.