Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shanmugam, Balakrishnan letak bidaan lebih tinggi daripada 'sewa panduan' bagi hartanah negara Ridout Road, dedah SLA

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan membuat bidaan melebihi "sewa panduan" bagi hartanah negara di Ridout Road. 

Demikian menurut Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada Jumaat (12 Mei). 

Dalam satu kenyataan, lembaga berkanun itu mengesahkan bahawa hartanah di No 26 Ridout Road dan No 31 Ridout Road - kedua-duanya rumah banglo kolonial - masing-masing disewakan kepada Encik Shanmugam dan Dr Balakrishnan. 

Tambahnya, penyewaan itu dilaksanakan dengan "mematuhi sepenuhnya prosedur SLA yang berkaitan". 

Kenyataan SLA itu dikeluarkan sebagai respons kepada beberapa rencana online yang diterbitkan oleh Ketua Parti Pembaharuan Kenneth Jeyaretnam sejak Sabtu lalu (6 Mei). Dalam rencana-rencana tersebut, beliau menggesa SLA untuk "menjelaskan" proses melelong hartanah-hartanah tersebut dan mempersoalkan sama ada menteri-menteri itu "membayar jumlah lebih rendah berbanding nilai pasaran yang adil". 

Menarik perhatian kepada lokasi utama kawasan tersebut dan anggaran saiz hartanah-hartanah berkenaan, Encik Jeyaretnam berkata: "Ia sukar untuk menggambarkan bagaimana (Dr Balakrishnan atau Encik Shanmugam) mampu membayar sewa pasaran bagi sebuah hartanah yang begitu mahal." 

Menurut SLA dalam kenyataannya, hartanah di No 26 Ridout Road tidak berpenghuni selama lebih empat tahun sejak Disember 2013 sebelum ia disewakan kepada Encik Shanmugam pada Jun 2018. 

"Encik Shanmugam memberitahu seorang rakan sekerja kanan di Kabinet bahawa beliau akan meletakkan bidaan untuk hartanah tersebut," menurut SLA.

Tambah pihak berkuasa itu, Encik Shanmugam adalah pembida tunggal bagi hartanah itu dan tawarannya, yang dilakukan menerusi seorang ejen, lebih tinggi daripada sewa panduan - yang tidak didedahkan kepadanya. 

Mediacorp sudahpun menghubungi pakar hartanah untuk maklumat lanjut mengenai "sewa panduan" dan cara ia ditentukan. 

Menurut SLA lagi, pada Jun 2021, Encik Shanmugam memperbaharui penyewaan bagi hartanah itu untuk tiga tahun lagi. 

Sementara itu, hartanah di 31 Ridout Road pula tidak berpenghuni selama lebih enam tahun sejak Julai 2013 sebelum ia disewakan kepada Dr Balakrishnan. 

Beliau meletakkan bidaan pada November 2018 melebihi sewa panduan, yang juga tidak didedahkan kepadanya. 

Dr Balakrishnan merupakan pembida tertinggi, menurut SLA. Penyewaan hartanah itu diberikan kepadanya berkuat kuasa Oktober 2019 dan ia diperbaharui tiga tahun kemudian. 

Penguasa tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan berapa yang dibayar kedua-dua menteri berkenaan untuk menyewa hartanah tersebut. 

Ia menyatakan, "lebih banyak butiran mengenai isu ini" akan disediakan sewaktu sesi parlimen seterusnya pada Julai. 

Menurut data SLA, hartanah di 31 Ridout Road mempunyai keluasan tanah 136,101 kaki persegi. 

Maklumat mengenai hartanah di 26 Ridout Road hanya boleh ditemui dalam lot yang termasuk 24 dan 31 Ridout Road, dengan jumlah keluasan tanah 525,171 kaki persegi. 

Tiada maklumat yang boleh ditemui semasa melakukan carian di pangkalan data online SLA mengenai maklumat pemegangan dan urus niaga penyewaan sebelum ini bagi hartanah di 26 dan 31 Ridout Road. 

Ridout Road adalah sebahagian Taman Ridout, yang disenaraikan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) sebagai salah satu daripada 39 "Kawasan Banglo Kelas Baik" di Singapura.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan