Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shanmugam, AP pembangkang bahaskan kuasa presiden dalam Akta baharu keharmonian kaum

Anggaran Waktu Membaca:
Shanmugam, AP pembangkang bahaskan kuasa presiden dalam Akta baharu keharmonian kaum

Anggota Parlimen pembangkang (kiri) dan Leong Mun Wai (kanan), serta Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam (tengah) di parlimen pada 4 Feb 2025.

Diterbitkan : 05 Feb 2025 09:22AM Dikemas Kini : 05 Feb 2025 10:19AM
SINGAPURA: Peranan Presiden dalam Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum, dibahaskan di Parlimen pada Selasa (4 Feb), dengan seorang Anggota Parlimen (AP) pembangkang berkata bahawa Presiden tidak seharusnya berada dalam kedudukan, di mana beliau berkemungkinan tidak bersetuju dengan pemerintah berhubung hal perkauman.

Rang Undang-Undang tersebut diluluskan dengan sebulat suara, tetapi disertakan dengan pindaan perlembagaan untuk mengemas kini kuasa Presiden, yang menyaksikan seramai tujuh AP Parti Pekerja (WP) menolak cadangan tersebut. Baki 78 AP pula menyokong usulan itu.

Di bawah akta baharu tersebut, Menteri Ehwal Dalam Negeri boleh mengeluarkan perintah sekatan terhadap mereka yang terlibat dalam komunikasi, pengeluaran atau pengedaran kandungan yang mengancam usaha pemeliharaan keharmonian kaum di Singapura.

Akta itu akan menubuhkan Majlis Presiden bagi Keharmonian Kaum dan Agama, yang mampu memproses rayuan daripada mereka yang dikenakan perintah sekatan sedemikian, dan boleh menghantar cadangan bebas kepada presiden.

Antara kuasa lainnya, pindaan perlembagaan yang disertakan akan memberi presiden kuasa untuk mengesahkan, membatalkan atau mengubah perintah sekatan yang dikeluarkan dalam kes, di mana nasihat Kabinet bercanggah daripada saranan Majlis Presiden.

HUJAH TERHADAP KUASA PRESIDEN YANG DIKEMAS KINI

Tanggungjawab untuk memelihara keharmonian kaum, undang-undang dan ketenteraman, harus terletak di pundak pemerintah dan bukannnya presiden, kata AP Sylvia Lim (WP-Aljunied).

"Meskipun kita semua mempunyai peranan masing-masing, pemerintah bertanggungjawab atas hasilnya. Ia secara terbuka bertanggungjawab atas penentu prestasi utama bagi rakyat Singapura, menerusi Parlimen," jelas Pengerusi WP itu.

"Bukan tanggungjawab presiden yang dipilih untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam. Beliau tidak bertanggungjawab kepada parlimen dalam apa jua cara sekalipun."

Mekanisme yang dicadangkan untuk presiden mengkaji semula perintah menteri membawa kepada "beberapa risiko ketara", tambahnya.

Misalnya, jika presiden membatalkan perintah sekatan dengan secara tidak wajar, dan pertubuhan terbabit ternyata menjadi proksi bagi pelaku musuh asing, pemerintah menyatakan bahawa ia telah mengeluarkan keputusan yang tepat dan "tidak boleh dipersalahkan atas hasil yang buruk".

Beliau menambah bahawa presiden adalah simbol perpaduan dan personifikasi negara.

"Untuk menghendaki beliau membuat keputusan sukar mengenai perkara yang melibatkan etnik akan menjejas peranannya sebagai tokoh penyatuan."

Dalam ucapan penggulungnya, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam menarik perhatian bahawa kebimbangan yang dibangkitkan Cik Lim mengenai kuasa presiden yang dikemas kini "secara hakikatnya merupakan persoalan penghukuman".

"Pandangan pemerintah adalah parlimen dan orang awam adalah titik pemeriksaan penting bagi kuasa menteri, tetapi ada nilainya untuk menyertakan satu lagi lapisan pemeriksaan tambahan menerusi Majlis Presiden dan presiden," jelasnya.

"Adalah wajar bagi presiden, yang dipilih secara langsung oleh rakyat, untuk bertindak sebagai lapisan pemeriksaan ke atas kuasa ini yang boleh dilaksanakan oleh menteri."

Beliau menambah bahawa ini serupa dengan model yang telah diguna pakai oleh Singapura untuk undang-undang lain, seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Pemeliharaan Keharmonian Agama.

Menjawab Encik Shanmugam, Cik Lim berkata bahawa mungkin ada senario di mana presiden akan tidak bersetuju dengan menteri kerana Majlis Presiden juga tidak bersetuju.

Lantas, presiden berhak untuk tidak mengikut keputusan Kabinet dan boleh membatalkan perintah sekatan yang dikeluarkan oleh menteri.

Menjawab Cik Lim, Encik Shanmugam menjelaskan bahawa jika Majlis Presiden terdiri daripada individu seperti pemimpin masyarakat kanan dan pemimpin kumpulan agama, mereka boleh menasihati presiden jika mereka percaya perintah sekatan pemerintah tidak terbukti wajar.

BAGAIMANA AKTA BAHARU ITU BERBEZA DARIPADA FICA

Dalam pelanjutan perbahasan itu, AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Parti Kemajuan Singapura (PSP) Leong Mun Wai mengajukan pertanyaan mengapa presiden tidak mempunyai budi bicara (discretion) ke atas keputusan yang dibuat di bawah Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindak Balas) (FICA), yang bertujuan untuk mencegah campur tangan asing dalam politik dalam negara.

Encik Shanmugam menjelaskan bahawa FICA akan memerlukan pemerintah untuk bertindak dengan kerap berdasarkan risikan mengenai pengaruh asing, dan selalunya maklumat itu "bukan sesuatu yang boleh (dikongsi) dengan pihak ketiga".

"Ia akan menjadi prasangka yang serius kepada kepentingan negara jika kami keluar dan mendedahkan kepada sesiapa sahaja di luar sekumpulan kecil pegawai perisikan mengenai sifat maklumat ini," kata Encik Shanmugam.

Beliau menambah: "Dalam konteks seseorang bercakap tentang kaum, tiada apa-apa yang berkaitan dengan perisikan, kerana ia adalah awam - orang itu telah mengatakan apa yang dikatakan.

"Sekarang ia adalah persoalan mengenai penilaian, sekiranya sesuatu harus dilakukan berhubung hal itu."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan