Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shanmugam adakan dialog Thaipusam dengan masyarakat Hindu

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam mengadakan pertemuan dengan sekitar 200 anggota masyarakat Hindu termasuk pemimpin kuil, penulis blog dan pembawa kavadi bagi dialog mengenai Thaipusam semalam (25 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Shanmugam adakan dialog Thaipusam dengan masyarakat Hindu

Seorang penganut Hindu membawa Kavadi. (Gambar: ROSLAN RAHMAN/AFP)

Diterbitkan : 26 Mar 2018 01:12PM Dikemas Kini : 26 Mar 2018 01:17PM

SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam mengadakan pertemuan dengan sekitar 200 anggota masyarakat Hindu termasuk pemimpin kuil, penulis blog dan pembawa kavadi bagi dialog mengenai Thaipusam semalam (25 Mac).

Dalam pertemuan itu, Encik Shanmugam menerangkan konteks sejarah di sebalik peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan sekarang berhubung alat muzik semasa perarakan Thaipusam.

Perarakan agama dilarang sejak 1964 selepas rusuhan tercetus ketika perarakan bagi menyambut maulud nabi pada tahun itu.

Namun, tiga perarakan Hindu diberi pengecualian – Thimithi, Thaipusam dan Panguni Uthiram kerana ia dianggap perlu untuk para penganut memenuhi niat tertentu.

Selain itu, penggunaan alat muzik dilarang sejak 1973. Lembaga Endowmen Hindu dan persatuan-persatuan agama membuat permintaan bagi larangan tersebut selepas berlakunya keadaan yang tidak diingi disebabkan persaingan yang mungkin timbul antara para pemuzik ketika perarakan Thaipusam.

Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lebih banyak muzik bercorak keagamaan dibenarkan. Misalnya, lagu puja dibenarkan tanpa alat pembesar suara sejak 2011. Alat muzik kecil yang dikenali sebagai jalra dan khartal juga dibenarkan.

Encik Shanmugam turut membuat perbandingan antara perayaan agama dengan acara kebudayaan yang diadakan di Singapura sambil merujuk kepada contoh-contoh seperti Perarakan Chingay dan Hari St Patrick’s. Beliau berkata bahawa ia diadakan di kawasan yang terkawal dan tiada unsur agama seperti lambang, muzik, pakaian atau aturcara agama dibenarkan.

Beliau selanjutnya menambah bahawa terdapat kemungkinan jumlah tempat untuk bermain alat muzik secara langsung boleh ditambah di sepanjang laluan Thaipusam.

Lembaga Endowmen Hindu menyatakan bahawa ia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menambah peruntukan yang diberikan sekarang.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan