Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shahruddin Datok posmen Pulau Ubin; redah jalan berbukit, hidupan liar demi hantar surat

Anggaran Waktu Membaca:
Shahruddin Datok posmen Pulau Ubin; redah jalan berbukit, hidupan liar demi hantar surat

(Gambar:CNA/Calvin Oh)

Diterbitkan : 17 Jul 2022 10:14PM Dikemas Kini : 17 Jul 2022 10:17PM
SINGAPURA: Mempertahankan diri daripada hidupan liar sambil menghantar timbunan surat adalah sebahagian daripada rutin mingguan posmen Pulau Ubin, Shahruddin Datok.

Dalam tempoh empat tahun menjadi posmen di pulau berkenaan, lelaki 66 tahun yang bertubuh kecil itu pernah bertembung dengan babi hutan, anjing-anjing dan kumpulan monyet liar.

Pengalaman Encik Shahruddin dalam persekitaran hutan sudah mengajar beliau bagaimana untuk memasukkan surat ke dalam peti surat dengan berhati-hati supaya tak dipatuk dek ular.
(Gambar: CNA/Calvin Oh)
Beliau juga sudah pelajari bagaimana untuk menghentikan monyet daripada melempar buah kelapa dari pokok supaya beliau dapat menyelesaikan tugasnya dengan selamat.

Sebagai sebahagian daripada kerjanya, Encik Shahruddin menaiki feri ke Pulau Ubin tiga kali seminggu.

Beliau harus meredah kawasan berbukit untuk menghantar surat-surat kepada penduduk pulau itu.

Encik Shahruddin melakukan demikian dengan berjalan kaki ke kawasan terpencil di pulau seluas 1,020 hektar itu dengan beg yang dipenuhi dengan surat-surat yang disandang pada bahunya.
(Gambar: CNA/Calvin Oh)
Menurut anggaran sebelum ini oleh Lembaga Taman Negara (NParks), ada sekitar 30 penduduk di pulau itu.

Meskipun perjalanan jauh yang akan mengambil masa antara satu dengan tiga jam berdasarkan jumlah rumah yang Encik Shahruddin harus kunjungi untuk menghantar surat, beliau rasa lebih selamat berjalan kaki.

"Saya lebih suka berjalan kaki kerana jika saya menunggang basikal, tangan saya tidak bebas. Saya tidak dapat mempertahankan diri sekiranya diserang oleh monyet atau babi hutan," kata Encik Shahruddin.

Beliau membawa bersamanya tongkat kayu sekiranya beliau terpaksa menggunakan senjata itu untuk mempertahankan diri.
(Gambar: CNA/Calvin Oh)
Encik Shahruddin mengimbas kembali detik beberapa bulan beliau mula bekerja. Beliau terlihat dari jauh, seekor ular tedung yang sedang menyelinap di atas jalan raya.

"Ada beberapa kanak-kanak yang sedang mengayuh basikal di kawasan itu. Saya menjerit kepada mereka dan menyuruh mereka berhenti," kata lelaki 66 tahun itu.

"Saya sangat takut kerana ia ular yang berbisa dan sangat berbahaya.

"Saya harus berjalan melalui jalan raya itu untuk menghantar surat, jadi saya terpaksa tunggu sehingga ular itu beredar daripada kawasan tersebut sebelum meneruskan perjalanan. Saya amat takut."
(Gambar: CNA/Calvin Oh)
MENJADI POSMEN PULAU UBIN

Meskipun prospek diserang oleh hidupan liar adalah sesuatu yang tidak menyenangkan bagi ramai orang, Encik Shahruddin percaya bahawa ia adalah pekerjaan yang paling sesuai untuk beliau.

Selepas bekerja dengan Singapore Post (SingPost) sebagai posmen selama lebih tiga dekad, lelaki 66 tahun itu memutuskan untuk memohon pebagi kerja sambilan di Pulau Ubin selepas bersara pada 2018.

"Saya inginkan pekerjaan yang lebih santai dan kerja sambilan ini hanya mengambil masa lima jam (sehari) untuk menghantar surat,” kata beliau.

Selain tempoh bekerja yang lebih singkat, suasana yang lebih tenang di Pulau Ubin, yang dikelilingi pemandangan tenang dan pepohon menghijau yang subur, turut menarik perhatiannya.
(Gambar: CNA/Calvin Oh)
"Apabila saya bekerja sepenuh masa, saya tidak ada masa untuk berhenti dan menikmati keadaan sekeliling saya. Saya ada banyak surat untuk dihantar dan harus bergerak dengan pantas," kata beliau.

Beliau menambah bahawa pada waktu itu, beliau lazimnya bekerja lapan hingga sepuluh jam.

"Saya harus berjalan lebih di sini berbanding apabila saya menjadi posmen di darat. Kadang kala saya rasa letih namun saya seronok kerana tidak rasa tertekan. Saya juga gembira dapat berbual dengan penduduk Pulau Ubin apabila saya menghantar surat."

Kini, pulau itu sudah menjadi rumah kedua bagi Encik Shahruddin yang sudahpun biasa dengan kebanyakan jalan dan lokasi rumah-rumah di pulau itu.
(Gambar: CNA/Calvin Oh)
"Saya sudah menjadi posmen selama empat tahun tetapi saya rasa saya hanya tahu sekitar 85 peratus rumah di sini. Untuk yang lain, saya harus ke pejabat NParks di sini untuk mencari lokasi rumah dengan tepat, tambah beliau.

Meskipun terdapat cabaran, beliau ketawa apabila disoal oleh wartawan mengenai berapa lama beliau bercadang untuk menjalankan tugas sebagai posmen di Pulau Ubin.
(Gambar: CNA/Calvin Oh)
"Selagi saya masih boleh berjalan dan seronok menjalankan tugas, saya akan terus berkerja," kata beliau.

"Penduduk di sini sangat ramah dan mereka sudah menjadi kawan saya. Saya juga gemar berada di luar dan berjalan untuk menghantar surat adalah senaman yang baik untuk saya kekal sihat."
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan