Shahidah Travel agensi pertama tawar semula pakej umrah untuk berangkat Okt-Dis 2021
'Panggilan' umrah sudah mula kedengaran semula. Minggu ini (10 Mac), agensi umrah tempatan, Shahidah Travel, menjadi yang pertama menawarkan kembali tempahan bagi pakej-pakej umrah bagi jemaah tempatan.
SINGAPURA: 'Panggilan' umrah sudah mula kedengaran semula. Minggu ini (10 Mac), agensi umrah tempatan, Shahidah Travel, menjadi yang pertama menawarkan kembali tempahan bagi pakej-pakej umrah untuk jemaah tempatan.
Shahidah Travel turut memberitahu BERITAmediacorp, pihaknya sedang bekerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) untuk mengusulkan 'travel bubble' atau perjalanan aturan khas untuk jemaah umrah antara Singapura dengan Arab Saudi.
"Kami bersyukur mereka ingin membantu kami. Mereka (DPPMS) ada banyak perhubungan dengan kementerian-kementerian tertentu. Kami meminta kerjasama mereka untuk bicara dengan pihak kementerian dan meminta izin kepada Jawatankuasa Bertindak (Antara Kementerian) agar kami (dapat) berangkat," kata Ketua Pegawai Eksekutif Shahidah Group of Companies, Encik Ayoob Angullia.

Ini sememangnya suatu perkembangan baru. Sebelum ini Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Islam Singapura (AMTAS) pada Disember lalu mengisytiharkan penggantungan aktiviti penganjuran umrah sehingga suku ketiga tahun ini.
RANCANG 13 KEBERANGKATAN
Bagi Shahidah Travel, ia kini merancang 13 keberangkatan umrah kesemuanya - yang paling awal pada 6 Oktober ini. Setiap pakej sepanjang 11 hari, iaitu 4 hari 3 malam di Madinah dan 6 hari 5 malam di Makkah.
Agensi tersebut mula mengiklankan 'pakej cadangan' itu pada Rabu (10 Mac) dan dalam waktu sesingkat dua hari, Shahidah Travel sudah mendapat lebih 100 pertanyaan daripada jemaah.
Namun hakikatnya, belum ada lampu hijau untuk perjalanan umrah.
Jadi mengapa Shahidah Travel sudah mula menawarkan pakej?
"Saya anggarkan pada bulan Julai atau Ogos, banyak orang dalam lingkungan usia 40 hingga 60 tahun sudah divaksin. Jadi kita ada 'pool' atau jumlah jemaah besar yang sudah divaksin," jelas Encik Ayoob.
Beliau turut mengambil kira keupayaan Arab Saudi yang sudah membolehkan 2.6 juta jemaah mengerjakan ibadah umrah di tengah-tengan pandemik sekarang.

(Gambar: Haramain/Facebook)
"Bermakna mereka sudah boleh melakukannya. Mereka juga sudah melakukan yang terbaik. Mengapa kita tidak sambut keadaan itu?"
HARGA ASAS PAKEJ 20% LEBIH TINGGI
Harga asas bagi pakej umrah 11 hari Shahidah Travel itu umumnya 20 peratus lebih tinggi berbanding pakej umrahnya sebelum pandemik COVID-19.
Pakej bagi Oktober berharga sekitar S$5,500 (bagi bilik dua orang, termasuk semua makan minum) dan boleh mencecah hampir $6,300 bagi perjalanan pada Disember.
Jumlah itu belum lagi termasuk kos lain seperti ujian PCR yang perlu dijalani jemaah, insurans perjalanan mahupun kos penginapan sekiranya jemaah masih diperlukan menjalani kuarantin.
"Kenaikan kos adalah dari segi kapal terbang dan juga hotel. Mereka sudah naikkan cukai sebanyak 15 peratus. Kos pengangkutan pun naik. Tambah lagi dengan kurangnya jumlah jemaah dibolehkan dalam bas, iaitu maksimum 22 orang," terang Pengurus Shahidah Travel, Cik Rosila Salim.

Ada juga tanggungan kos tambahan dari segi menggajikan mutawwif.
"Kita harus menggunakan mutawwif yang ditetapkan oleh kerajaan Saudi. Tidak boleh bawa mutawwif dari sini," tambah Cik Rosila.
Sungguhpun begitu, faktor kos nampaknya tidak menghambat para jemaah untuk membuat tempahan. Sebaliknya, Cik Rosila berkata, para jemaah lazimnya hanya menyuarakan keprihatinan soal kuarantin.
"Kita sudah mendapat pertanyaan sebelum mengiklankan pakej-pakej kami. Jadi sudah ada yang menempah."
Cik Rosila turut memberitahu BERITAmediacorp, secara keseluruhannya 280 orang sudah mendaftar untuk melakukan umrah dengan Shahidah Travel. 170 daripadanya, ataupun 60 peratus, sudah membayar cengkeram. Mereka ini adalah jemaah yang sudahpun berdaftar dengan syarikat itu sebelum kempen pendaftaran umrah yang terbaru ini.

Bagi pakej yang baru dihebahkan serantanya ini, bakal jemaah tidak diwajibkan membayar cengkeram memandangkan ini 'pakej cadangan', menurut Shahidah Travel.
"Kami ingin bakal jemaah tunjukkan minat dengan jujur bahawa mereka ingin mengambil bahagian dan berangkat pada tarikh-tarikh yang kami tetapkan. Tidak bayar cengkeram pun tidak apa-apa tetapi kami tidak dapat pastikan. Itu pilihan bakal jemaah," jelas Encik Ayoob.
Beliau memberi jaminan bahawa cengkeram akan dikembalikan sekiranya keberangkatan akhirnya tidak dapat dilakukan.
SYARIKAT LAIN BELUM 'MASUK SEKAKI'
Buat masa ini nampaknya hanya Shahidah Travel yang berani tampil menawarkan pakej umrah.
Sebilangan agensi umrah lain yang BERITAmediacorp tinjau menyatakan mereka belum bersedia untuk menawarkan sebarang pakej buat masa ini dek keadaan yang masih tidak menentu.
Pun begitu, Encik Ayoob berkata syarikatnya nampaknya tidak berusaha secara solo.
Beliau mendedahkan bahawa syarikatnya sedang bekerjasama dengan DPPMS bagi usaha ini. Encik Ayoob berkongsi tentang beberapa saranan yang sedang diusulkan.

"Kami minta, mohon, supaya jemaah yang sudah divaksin tidak dikuarantin apabila mereka pulang ke Singapura. Biar mereka jalani ujian sahaja," kongsi beliau.
Jadi aturan ini sama seperti model 'travel bubble' yang pernah diusahakan pemerintah Singapura dengan beberapa negara lain. Kedua-dua pelancong dari Singapura dan Arab Saudi disarankan agar dapat melakukan perjalanan seperti biasa tanpa dikuarantin.
Encik Ayoob juga meminta diberi kemudahan dari pihak berkuasa Arab Saudi.
"Sekarang sistem mereka hanya membenarkan jemaah yang berusia 18-60 tahun menunaikan umrah. Tetapi mereka tidak ada sistem untuk memenuhi permintaan mereka yang sudah divaksin. Maka itu kita ingin DPPMS anjurkan kepada mereka, agar ikut IATA, iaitu dengan memperkenalkan pasport vaksinasi digital," ujarnya.
BERITAmediacorp cuba menghubungi DPPMS untuk mendapatkan penjelasan dari pihak dewan niaga itu. DPPMS bagaimanapun menolak untuk diwawancara.

(Gambar: Amien Taryamin/Unsplash)
Sedang perkembangan pendaftaran umrah ini berlaku, Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung pada Jumaat (12 Mac) berkata koridor perjalanan dua hala bagi mereka yang sudah divaksin, mungkin dibuka pada separuh kedua tahun ini.
Bercakap dalam wawancara bersama Money FM89.3, Encik Ong berkata walaupun vaksinasi dijangka menjadi faktor utama membuka semula perjalanan udara, Singapura juga perlu mengenal pasti negara-negara yang dianggap selamat dan berjaya mengawal COVID-19, bagi koridor perjalanan dua hala itu.
Singapura kata beliau, sedang terus meninjau cara-cara merancakkan kembali industri pelancongan dan penerbangannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.