Shah Noor Iman Yazid antara belia juarai peraduan MCCY sepadukan teknologi dengan keharmonian agama
Iman bersama pasukannya baru-baru ini adalah antara tiga pasukan utama yang memenangi peraduan Mission:Unite anjuran Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Tiga pasukan yang menjuari peraduan Mission:United anjuran Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia. (Gambar: Facebook/ StartupX)
SINGAPURA: Minat beliau adalah untuk membangunkan laman web serta aplikasi yang bermanfaat.
Selain itu, Shah Noor Iman Yazid juga aktif dalam kegiatan agama seperti aktiviti-aktiviti yang memupuk hubungan silang agama.
Maka itu, tidak hairanlah jika Iman berupaya "tunjuk taring" apabila diberikan peluang untuk menggabungkan kedua-dua minatnya dalam satu platform.
Iman bersama pasukannya baru-baru ini adalah antara tiga pasukan utama yang memenangi peraduan Mission:Unite anjuran Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).
Peraduan itu bermatlamat untuk mencungkil huraian daripada golongan belia bagi memupuk dan memelihara keharmonian kaum dan agama di Singapura.
Iman dan pasukannya, Team CS.io, berjaya menumpaskan lagi 38 pasukan yang bersaing dalam peraduan berkenaan.
Mereka merancang untuk membangunkan sebuah laman yang bertindak sebagai buku panduan maya yang menawarkan khidmat rundingan bagi membimbing pertubuhan-pertubuhan yang berminat untuk menganjurkan kegiatan dan acara silang agama.
"Saya mula belajar membangunkan aplikasi laman web dari ITE Kolej Timur. Saya rasa senang dapat membangunkan aplikasi yang masyarakat boleh gunakan serta meraih manfaat," kata Iman, 18, kepada BERITAmediacorp.
AKTIF DALAM KEGIATAN SILANG AGAMA MASJID KHALID
Jika tahun 2020 ini mendatangkan banyak cabaran yang dibawa oleh pandemik COVID-19, Iman pula meraih kejayaan melalui pengalaman yang lain daripada yang lain.
Beliau berpeluang menjalani latihan amali di Masjid Khalid pada Julai lalu dan dari situlah beliau menyertai beberapa projek silang agama seperti Projek Korban di mana beliau dapat melihat dengan lebih dekat kerjasama masjid tersebut dengan Gereja Heart of God.
"Saya seronok dengan pengalaman yang diraih dan merasakan lebih ramai anak muda sepatutnya terlibat. Secara peribadi, saya tidak rasa sebarang cabaran kerana saya selesa bergaul dengan para pelajar daripada pelbagai latar belakang," kongsi Iman.
Atas kerjasama dan keserasian Iman itulah, Team CS.io dapat berbincang sebelum mengusulkan huraian buku panduan maya itu.
Ini kerana mereka merasakan "tidak ada koleksi tersedia bagi acara-acara berkaitan keharmonian yang bersandarkan konteks Singapura yang boleh dimanfaatkan oleh pertubuhan-pertubuhan dan para sukarelawan".
Beliau menjelaskan: "Kami sedar ada banyak acara berkaitan keharmonian tetapi tidak ada yang meletakkan maklumat mengenai acara itu dalam satu tempat perkongsian.
"Apabila acara itu berakhir, orang akan lupa siapa yang terlibat, permit pihak berkuasa mana satu yang diperlukan, apakah bajetnya dan sebagainya. Buku panduan maya itu akan membolehkan semua amalan terbaik acara berkaitan keharmonian disimpan dalam satu tempat perkongsian."
MASIH DALAM PERANCANGAN; INGIN AKTIFKAN LAMAN ITU
Buat masa ini, Iman memberitahu BERITAmediacorp bahawa huraian itu masih di peringkat perancangan.
Walau bagaimanapun mereka berharap apabila dapat diaktifkan kelak, orang ramai, tempat ibadat dan pertubuhan agama dapat memanfaatkan aplikasi berkenaan.
Meskipun bercita-cita menjadi seorang usahawan yang berjaya pada satu hari nanti, buat masa terdekat ini, Iman mahu membangunkan huraian pasukannya supaya dapat diaktifkan untuk orang ramai.
"Saya akan bekerjasama rapat dengan pasukan saya untuk membincangkan bagaimana kami dapat mengoperasikan aplikasi itu.
"Saya berharap aplikasi itu akan memudahkan pertubuhan-pertubuhan agama untuk menganjurkan acara-acara yang berkaitan keharmonian nanti," kongsi beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.