‘Shah’ antara banduan SG terpilih untuk sertai kejohanan catur online, bantu proses pemulihan

Buat pertama kalinya, para banduan Singapura diberi peluang untuk menyertai Kejohanan Catur Online Antara Benua untuk Banduan (IOCCP). (Gambar: Khidmat Penjara Singapura (SPS)
SINGAPURA: Buat pertama kalinya, para banduan Singapura diberi peluang untuk menyertai Kejohanan Catur Online Antara Benua untuk Banduan (IOCCP) anjuran Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE) dan Pejabat Sheriff Cook County.
Ia disertai 115 pasukan dari serata dunia dan dijuarai oleh pasukan dari Amirah Arab Bersatu (UAE) dalam kategori terbuka.
Strategi bermain catur dan peluang untuk belajar daripada kesilapan langkah yang diambil dalam pemainan itu dipercayai dapat membantu proses pemulihan para banduan.
Itulah yang mendorong Khidmat Penjara Singapura (SPS) untuk membolehkan para banduan di Kompleks Penjara Changi menyertainya kali ini.
Setiap negara yang menyertai peraduan itu boleh menghantar sebanyak tiga pasukan dan setiap pasukan dianggotai empat peserta.
Pasukan juga dibahagikan kepada kategori lelaki, wanita dan remaja.
Menyokong usaha ini, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim turut hadir untuk melihat prestasi para peserta dari Singapura dalam sesi kejohanan itu pada Selasa (8 Okt).
"Ini adalah peluang yang baik dan saya sangat gembira Khidmat Penjara Singapura (SPS) menyediakannya sokongan buat mereka. Kami dapati bahawa permainan catur ini menyediakan hobi alternatif. Ia juga menyediakan mereka dengan nilai-nilai yang bakal membantu dalam perjalanan pemulihan mereka. Ini termasuk nilai untuk berfikir dan menyusun strategi.
"Kami akan terus menyokong usaha ini dan berharap ia memberi kami peluang untuk memberikan para banduan laluan alternatif dalam perjalanan pemulihan dan kembali ke pangkuan masyarakat," kata Dr Faishal.
Pertandingan itu berakhir pada Jumaat (11 Okt).
RANCANGAN LUASKAN PROGRAM ‘CHESS FOR FREEDOM’
Para banduan yang menyertainya terpilih daripada program ‘Chess for Freedom’ dan dihadkan kepada kumpulan tertentu.
Dr Faishal mendedahkan bahawa ada perancangan untuk memperluaskan program itu untuk melibatkan lebih ramai banduan ekoran keberkesanan dan manfaatnya.
"Kami ingin meneroka cara untuk memperluakan (program ini). Kami juga mahu mengambil iktibar dari program ini supaya kami boleh menggalak banduan lain dan yakin dengan faedah dan sumber yang diperlukan.
"Ini bukan sesuatu yang baharu, menggunakan catur sebagai sebahagian daripada proses
pemulihan. Namun ia adalah kali pertama Singapura menyertai acara ini jadi kami harus belajar daripada pengalaman antarabangsa. Dari situ, kita boleh lihat bagaimana kita boleh menyediakan platform ini kepada lebih ramai banduan," kongsi Dr Faishal.
Setakat ini, seramai 58 banduan sudah menyertai program tersebut.
PESERTA KONGSI PENGALAMAN, RAIH PELAJARAN
Antara mereka ialah ‘Shah’ (bukan nama sebenar) yang sudah bermain catur selama hampir setahun.
‘Shah’ juga terpilih untuk mewakili negara dalam IOCCP kali ini.
"Persiapan saya untuk pertandingan ini adalah untuk mempelajari strategi catur dari sumber yang saya miliki oleh 'Chess for Freedom'. Sumber ini adalah pembukaan catur (chess openings), buku pembacaan catur dan buku yang mengajar catur dari pemain profesional," kata 'Shah'.
Selain itu, dia juga meraih ilmu mengenai permainan catur daripada guru 'grandmaster'.
Menerusi pengalaman dan pelajaran yang diraih menerusi permainan catur, 'Shah' berharap untuk menerapkannya dalam kehidupan sehariannya.
Dia pernah terjebak dalam kancah najis dadah dan mengedarkannya.
"Saya lebih bijak dalam membuat pilihan dalam hidup yang akan membantu saya memperbaiki diri saya dan mereka di sekeliling saya
"Jangan pernah takut untuk lakukan kesilapan kerana kesilapan akan membantu anda jika anda sedar dan mengubahnya. Anda harus beri tumpuan kepada tujuan utama dan tidak putus asa. Kesabaran dan ketabahan adalah kunci kejayaan," kata 'Shah'.
Dia berbesar hati dan juga menghargai peluang yang diberikan untuk menyertai program tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.