SGTeguhBersatu lancar inisiatif perkukuh daya tahan psikososial masyarakat Melayu/Islam
Dalam masa-masa sukar seperti pandemik COVID-19 yang berlaku sekarang ini, pelbagai cabaran yang dihadapi oleh para individu dan keluarga dari segi fizikal, sosial dan juga emosi.
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Dalam masa-masa sukar seperti pandemik COVID-19 yang berlaku sekarang ini, pelbagai cabaran yang dihadapi oleh para individu dan keluarga dari segi fizikal, sosial dan juga emosi.
Namun, daripada dilihat hanya sebagai satu kelemahan, cabaran-cabaran dan kesulitan yang dihadapi sebenarnya adalah peluang untuk mereka membina daya tahan dan bangkit lebih teguh bersama, menurut pasukan bertindak SGTeguhBersatu dalam kenyataan medianya hari ini (13 Mei).
Demi mengukuhkan lagi daya tahan psikososial masyarakat Melayu/Islam, sebuah rangka kerja dihasilkan oleh pasukan bertindak SGTeguhBersatu dengan pimpinan pasukan pekerja sosial dan pakar terapi daripada Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).
Strategi berdaya tahan itu bertujuan untuk membina daya tahan diri, keluarga dan masyarakat bagi mewujudkan pembelajaran bersama selain memupuk sikap saling berkait dan kebergantungan dalam sebarang situasi.
Ia bertunjangkan tiga nilai utama masyarakat iaitu Sakinah, Mawaddah dan Rahmah.
SIRI 4 VIDEO KONGSI NILAI STRATEGI DAYA TAHAN
Demi membantu masyarakat menerapkan ketiga-tiga nilai itu dalam kehidupan seharian mereka, satu siri empat video dihasilkan bagi mengupas ketiga-tiga nilai yang dikongsi oleh para pekerja sosial.
Video yang pertama boleh ditonton melalui wadah SalamSG, media sosial PPIS dan M³/SGTeguhBersatu mulai esok (14 Mei).
Selain itu, satu kit bantuan secara online turut disediakan menerusi laman PPIS yang memberikan tips bagi menangani sebarang tekanan semasa krisis COVID-19.
Kit bantuan itu boleh diakses mulai 18 Mei.
Sehubungan itu, demi mengukuhkan daya tahan masyarakat sewaktu masa-masa mencabar ini, pasukan bertindak SGTeguhBersatu akan melancarkan beberapa inisiatif baru.
RANGKAIAN JAGAAN SGTEGUHBERSATU SEDIA SOKONGAN EMOSI, ROHANI
Rangkaian Jagaan SGTeguhBersatu yang diterajui oleh PPIS dan PERGAS akan menyediakan sokongan emosi dan rohani melibatkan pekerja sosial dan para asatizah menerusi sesi kaunseling secara maya kepada pesakit COVID-19 dan keluarga mereka termasuk umat Islam.
SGTeguhBersatu akan bekerjasama dengan agensi-agensi Pemerintah yang relevan seperti Kementerian Kesihatan (MOH) untuk membantu keluarga-keluarga yang terjejas.
Selain itu, sebuah forum interaktif online yang menampilkan PPIS, PERGAS dan MHPA akan diadakan yang akan memberi tumpuan kepada usaha membina daya tahan rohani, sosial dan mental dalam norma baru sedang Singapura melonggarkan langkah pemutus jangkitan.
"Kami mengalu-alukan kerjasama ini kerana ia sejajar dengan 3C dalam rangka kerja daya tahan kami di mana kami berusaha untuk mencapai Sakinah dan dalam proses meraih Mawaddah dan Rahmah.
"Sewaktu masa-masa sukar ini kita perlu merebut peluang untuk bekerja ke arah mencapai matlamat bersama dan apa yang terbaik untuk masyarakat kita," kata Presiden PPIS Rahayu Mohamad.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.