Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SGT3 Muhammad Faris singkap pengalaman gerun menyelamatkan mangsa kren setinggi 10 tingkat

Apabila anggota penyelamat Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) Sarjan (SGT3) Muhammad Faris Mohammed akhirnya dapat menghampiri mangsa, beliau sedar bantuan perubatan diperlukan dengan segera.

Anggaran Waktu Membaca:
SGT3 Muhammad Faris singkap pengalaman gerun menyelamatkan mangsa kren setinggi 10 tingkat

(Gambar: SCDF)

Diterbitkan : 10 Sep 2020 09:06PM Dikemas Kini : 10 Sep 2020 09:46PM

SINGAPURA: Apabila anggota penyelamat Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) Sarjan (SGT3) Muhammad Faris Mohammed akhirnya dapat menghampiri mangsa, beliau sedar bantuan perubatan diperlukan dengan segera.

"Mangsa mengalami kecederaan yang agak parah," kata SGT3 Faris yang berusia 33 tahun dan merupakan anggota Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (DART) kepada Mediacorp pada Khamis (10 Sep).

"Terdapat luka parah pada kaki kiri mangsa dari bahagian pinggul hingga ke buku lalinya."

Ini juga bukan bantuan perubatan kecemasan yang biasa dihadapi oleh SGT3 Faris. Dalam kejadian itu, beliau terpaksa berdiri secara membongkok di atas platform yang sempit, tanpa ruang yang secukupnya untuk menampung dua individu yang berdiri bersebelahan antara satu sama lain. Tambahan lagi, platform itu setinggi 10 tingkat!

Lebih merumitkan keadaan, kedudukan SGT3 Faris tidak mengizinkannya untuk mengeluarkan peralatan perubatan dan cuaca yang berangin menyulitkan lagi keadaan. Segala-galanya, termasuk tubuhnya, dipasang pada abah-abah bagi mencegahnya daripada terjatuh.

Begitulah situasi semasa operasi menyelamat yang dijalankan pada lewat petang Isnin (7 Sep), apabila para pegawai bomba SCDF dan pakar penyelamat DART dikerahkan ke sebuah tapak binaan di How Sun Drive apabila seorang pekerja yang bertugas di kren setinggi 40 meter mengalami kecederaan pada kakinya dan terperangkap di situ.

(Gambar petikan: Facebook/SCDF)

SCDF menyatakan pasukannya sudah biasa menjalankan operasi menyelamat dari tempat tinggi, memandangkan para penyelamat sering dikerahkan ke unit-unit perumahan bagi menangani kes-kes cuba bunuh diri.

Namun memandangkan kejadian pada waktu itu melibatkan sebuah kren, ini menjadikannya salah satu operasi yang paling rumit pernah mereka hadapi, menurut SCDF.

Di tapak binaan itu, empat anggota penyelamat DART bersiap sedia dengan usungan (stretcher) bagi menantikan ketibaan mangsa.

Lagi empat anggota, termasuk SGT3 Faris, memanjat tangga ke atas kren itu sebelum melintasi sejauh 15 meter di atas platform yang sempit itu untuk mendekati lelaki tersebut.

"Saya cuba membuatnya berasa selesa dengan membiarkannya berbaring dan memberikannya sedikit bekalan oksigen," kata SGT3 Faris, yang berkemahiran sebagai teknisyen perubatan kecemasan.

SGT3 Faris menyimpulkan bahawa lelaki itu memerlukan rawatan segera memandangkan operasi menyelamat akan mengambil masa, sambil menambah lelaki itu memberi kerjasama dan bergerak apabila disuruh.

Beliau membalut luka pada kaki mangsa bagi mengelakkan berlaku jangkitan sementara rakan sepasukannya menyiapkan usungan untuk membawa mangsa turun. "Kami cuba sedaya upaya untuk menyingkatkan masa yang diperlukan untuk membawa mangsa turun," kata SGT3 Faris.

Setelah itu, pasukan DART yang berada di atas dan di bawah kren itu menaikkan usungan ke tempat di mana lelaki itu berada dan meletakkannya di atas usungan tersebut. Tali pengikat pada usungan itu mengelakkan lelaki berkenaan daripada tergelincir keluar dari usungan meskipun beliau bergerak.

Seorang anggota paramedik SCDF kemudian memeriksa keadaan lelaki itu sebelum beliau dibawa ke Hospital Besar Sengkang. Kejadian itu sedang disiasat oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

TIDAK GENTAR DENGAN TEMPAT TINGGI

Apabila menyingkap semula kejadian itu, SGT3 Faris kelihatan tidak gentar dengan ketinggian dan keadaan cemas yang dialami semasa melakukan operasi menyelamat itu. Beliau sudah berkhidmat bersama SCDF selama 11 tahun dan juga bertugas sebagai seorang pegawai bomba.

"Sebelum kami menyertai unit DART, kami perlu menjalani latihan di mana kami perlu mengatasi cabaran-cabaran tersebut," katanya.

Menurutnya lagi, isteri, dua anak lelaki dan anak perempuannya memahami risiko tambahan yang perlu dihadapi apabila beliau menyertai pasukan DART.

"Saya menjelaskan kepada keluarga saya bahawa keselamatan adalah keutamaan kami," tambahnya. "Ini menenangkan mereka apabila saya berada di tempat kerja. SCDF mempersiapkan kami menghadapi situasi sedemikian."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan